Krisis MCA: Bermulanya Kepupusan Ling.
(The MCA Crisis: The Ling Countdown Begins)
17/5/2002.

Peniaga yang melarikan dirinya satu ketika dulu, Dato’ Soh Chee Wen, telah pulang untuk menghadapi perbicaraan dan sudah pasti menjadi tontonan media. Dia terlalu kepingin lauk yang paling diminatinya, kari kepala ikan, katanya. Kari mamak yang disediakan di rumah adalah lebih enak lagi berbanding masakan tempat lain. Dia juga terlalu rindukan Mamak si tukang masak, dan Mamak si ahli politik. Mamak si ahli politik itulah yang memperkenalkan Dato’ Soh kepada hidangan lazat masakan Mamak si tukang masak. Dia muncul dengan muka selamba seolah-olah Mamak si ahli politik yang juga dikenali sebagai Perdana Menteri, Mahathir Mohamed tidak ada kena mengena dalam perundingan rahsia untuk membolehkan beliau pulang menikmati kari kepala ikan masakan ala-mamak. Pada waktu yang sama, kepala ikan yang mereput dalam MCA yang lebih dikenali sebagai Presiden Ling Liong Sik, pasti merasakan dirinya tergugat. Demikianlah kebenarannya betapa sarkas media itu dilancarkan.

Apa juga kelentongan yang dikemukakan oleh Dato’ Soh adalah bertujuan menyulitkan kedudukan Ling yang masih degil mahu bertenggek pada jawatannya. Dia telah membuat perjanjian dan persepakatan dalam pelbagai bentuk rupa dan nama yang mungkin mahu anda sebutkan, walaupun dia akan berdegil menafikan semuanya itu. Soh telah ditahan ketika tiba di negara ini, kerana adanya waran tangkap untuknya ekoran beberapa skandal kewangan melibatkan perniagaan. Tetapi dia dibebaskan dengan jaminan RM2 juta yang disediakan oleh seorang ketua tentera udara yang sudah bersara. Oleh kerana pihak pendakwaraya mahu memanggil 300 saksi, ramai yang menggigil kerananya termasuklah pegawai bank, peniaga, dan ahli politik. Banyak nama yang ternama dan tersohor di negara ini sudahpun disebut-sebut juga.

Sasaran utama ialah Ling, yang memperlekehkan kemunculan Soh dan mengaku tidak peduli akan ketibaannya, walaupun ia adalah satu pertanda betapa dia sudah menggigil juga. Akhbar Star melaporkan kepulangan Soh sebagai satu usaha yang dicongak untuk menyekat bencana. Kepulangan Dato’ Soh merupakan satu ketika yang kena pada tempatnya. Mahathir pernah memaksa pemimpin MCA menyetujui arahannya agar bertenang supaya membolehkan keseluruhan majlis tertinggi MCA mengekalkan jawatan mereka. Di samping itu mereka dikehendaki mematuhi satu perjanjian yang dipersetujui oleh Ling dan musuh ketatnya yang juga merupakan timbalan presiden MCA, Dato’ Lim Ah Lek, yang mengambil-kira tarikh pengunduran mereka pada satu ketika yang ditentukan. Ling telah melebarkan peraturan pembekuan jawatan itu kepada semua jawatan lain dalam parti di peringkat bahagian, di peringkat pertubuhan wanita MCA dan pada sayap pemudanya. Inilah yang memecah-belahkan parti itu lebih teruk lagi.

Kongres parti yang akan diadakan sudah tentu merupakan majlis yang penuh geloranya. Kini sudah timbul kesedaran betapa kemunculan Dato’ Soh adalah laksana seorang ‘agent provocateur’ agen perusuh untuk memisahkan kepala ikan yang mereput daripada ikan peliharaan MCA. Selagi MCA tidak mencari satu jalan penyelesaian untuk mengelakkan pertumpahan darah, masa depannya tidak akan terus cerah. Mereka mesti mengimbau kembali sejarah silam. Ketika orang yang mendahului Ling, Encik Tan Koon Swan, menghadapi satu longgokan tuduhan jenayah sebelum pemilu 1988 dulu, Mahathir telah berjanji menyelesaikan masalah itu tetapi hanya setelah selesai pilihanraya. Dia telah diberitahu agar MCA menyokongnya. Encik Tan telah memberitahu kawan-kawan beliau betapa dia mampu menelefon ataupun berjumpa Perdana Menteri bila-bila masa dia suka. Tetapi sebaik selesai pemilu itu, Mahathir telah tidak memperdulikannya. Apabila mereka dapat berjumpa di Bangkok pada kali terakhirnya, Mahathir memberitahu Tan Koon Swan bahawa dia tidak mahu campur dalam hal pendakwaan jenayahnya. Inilah perkara yang sama yang akan menghantui Ling.

Cara hidup Dato’ Soh dan kerenah perniagaannya membuatkan beliau tenggelam timbul antara lautan kekayaan dan pelampung kemuflisan beberapa kali dalam hidupnya. Dia pernah muflis ketika berusia 24 tahun, menjadi seorang Dato’ ketika berusia 28 tahun, dan naik mencanak dalam dunia perniagaan beberapa tahun kemudiannya. Tetapi bertukar menjadi orang pelarian pada usia 36 tahun. Ling melantik Soh menganggotai Majlis Presiden dalam usaha menarik pembabitan anak lelakinya (Ling Junior). Anaknya Ling Hee Liong telah menerima pinjaman bank bernilai RM1 bilion untuk melancarkan kerjaya perniagaan. Hubungan persahabatannya dengan Soh menanah dan empayar niaga Lin Junior punah dalam lautan hutang, membuatkan mereka berdua berpisah dengan penuh dendam dan ugutan perundangan. Tindakan menjual saham kepunyaan Dato’ Soh yang diamanahkannya kepada sebuah firma saham yang memacu kemunduran pasaran saham pada tahun 1997. Episod ini dijangka akan terdedah secara terbuka apabila perbicaraan mereka dimulakan pada tahun hadapan.

Ling telah menuduh Dato’ Seri Lim yang telah menggadaikan MCA kepada UMNO. Dia telah membangkang pembabitan Mahathir yang berlagak seperti dalang untuk menggerakkan MCA. Tetapi Ling sudah tidak dipercayai lagi. Kalau dia sudah peka kepada isyarat yang kelihatan secara terbuka, sepatutnya dia sudah lama berundur secara hormat dan mengelakkan MCA dan masyarakat Cina bergolak dalam krisis kekurangan keyakinan dan harapan. Tetapi tindakan berundur secara terhormat bukan merupakan kelakuan yang diminati oleh pemimpin parti gagasan Barisan Nasional. Mereka bertegas bahawa jawatan mereka itu adalah jawatan sampai mati, dan hanya akan berundur apabila dibuat secara paksa. Tidak kiralah apakah parti mereka itu UMNO ataupun PPP. Tetapi, presiden UMNO yang memegang tali teraju mereka. Dia menjatuhkan presiden sebuah parti komponen BN kerana menyedari bahaya yang akan muncul menyengat kesihatannya.

Pembelian Nanyang Press oleh MCA merupakan penyebab utama kenapa Ling kini tersenak dalam jawatannya. Dia membuat keputusan membeli itu tanpa merujuk dulu kepada majlis tertinggi parti ataupun mendapatkan keizinan mereka. Apabila dicabar, dia bertegas bahawa dia tidak perlu menjawab soalan mereka. Dia telah menggadaikan aset akhbar The Star untuk mendapatkan pinjaman bank bernilai RM400 juta untuk membeli Kumpulan Nanyang. Dalam kekecohan itu dia hanya mampu mendapatkan persetujuan secara undi kecil perwakilan dalam satu mesyuarat tergempar parti.

Inilah yang memecah-belahkan parti sehingga berupaya mencetuskan situasi pertumpahan darah dalam upacara pemilihan jawatan dalam parti. Mahathir sudah lama menyedari perkara ini dan mengarahkan pemimpin MCA menyetujui agar semua jawatan dalam parti dibekukan tanpa sebarang pertandingan ketika MCA berkongres pada bulan Julai. Walaupun Ling pernah akur dengan arahan Mahathir dia kini mahu melakukan yang sebaliknya. Inilah yang membuatkan Mahathir naik angin dan menasihatkan beliau berundur sahaja. Tetapi sebagai seorang ahli politik yang licik, dia mahu melihat Ling berundur dengan jasabaik orang lain yang melakukannya. Di sinilah muncul muka Dato’ Soh. Kini sudah muncul beberapa utusan bahawa kalau Ling terus memimpin MCA, hubungannya itu adalah laksana penyakit AIDs yang mengganggu-gugat masyarakat kelilingnya.

MGG Pillai
pillai@mgg.pc.my
Terjemahan SPAR (Suntingan M@R)