Bila Ular Lidi Nak Jadi Naga
(A minnow amongst whales thinks he
is a whale)
22/5/2002.
CNN tidak punyai hak untuk mengaibkan Perdana Menteri Malaysia. Lebih-lagi
selepas Presiden Bush dan pegawai tinggi Amerika mendengar pendapatnya dengan
penuh khusyuk mengenai masalah dunia. Terutama sekali mengenai cara menumpaskan
‘pejuang-pejuang’ Islam. Tetapi itulah yang CNN telah lakukan, dan itulah
juga sebabnya CNN dimomok-momokkan. Satu ketika dahulu cemuhan seperti itu
ditujukan kepada BBC. Dua saluran media ini adalah dianggap bersalah kerana
menimbulkan beberapa soalan mengenai bekas timbalan perdana menteri yang
terpenjara, sedangkan tidak ada seorangpun wartawan Malaysia yang bermaruah,
kerana mudah bergelumang dengan budaya upahan, yang sanggup menyoalnya. Di
Malaysia, hanya kerajaan yang punya hak menerbitkan berita dunia. Pendapat pihak
lain hanya dibenarkan kalau ia tidak menggugat pendapat dan kedudukannya..
Memang tidak ada salahnya dengan perkara ini. Setiap masyarakat mempunyai had
batasan, yang mengongkong kebebasan anggotanya. Kini, had itu hanya terkongkong
kepada budaya sosial dan dalaman sahaja sedangkan pandangan luar yang bergerak
bebas hanya dapat dilihat begitu sahaja.
Kebanyakan kerajaan memang tidak faham menentukan kaedah yang sesuai untuk
masyarakatnya, sehingga terjebak kepada tekanan dalaman dan luarannya. Malaysia
adalah contoh fenomena itu. Tetapi tekanan itu menjadi begitu hebat disebabkan
oleh seorang pemimpin autokrat yang mempunyai pandangan yang bertukar-tukar
setiap hari. Dia menjadi kalut, sebagai contohnya, apakah dan bagaimanakah
Bahasa Inggeris harus dikembalikan ke tengah-tengah masyarakat Malaysia. Dia
tidak menerima hakikat betapa dua bahasa itu harus jalan bersaing, di mana yang
satu memperkasakan budaya nasionalisme tanpa menjerumuskan Malaysia semacam
Singapura di mana wang dan Bahasa Inggeris sudah menjadi dua dewata yang utama.
Ataupun di India, di mana Bahasa Inggeris hidup subur seiring jalan 20 lagi
bahasa utama wilayah. Di sana Bahasa Inggeris mendapat tempat utama sebagai
bahasa penyambung pertuturan yang menggunakan loghat kedaerahan itu. Di
Singapura, bahasa Inggeris mendominasi pertuturan dengan mengenepikan bahasa
lain. Di India, ia terus diberi kepentingan seperti bahasa-bahasa lain, dan
terus menyerlahkan wajah sejagat di bidang perhubungan.
Apabila hakikat ini tidak dimengertikan dan seorang insan menentukan amalan
norma, seperti yang sedia ada, kemelut yang menghantuinya di CNN adalah satu
perkara yang harus dijangka. Media asing memang mempunyai ruang yang lebih
longgar tetapi kalau Perdana menteri itu tidak mereka sakat dan gugat, dan pihak
pembangkang termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim diperlekehkan sebagai tidak
berguna. Itu sebabnya majalah luar dan akhbar-akhbar asing diharamkan kerana
melanggar peraturan begitu, selalunya dengan tindakan yang memberikan jawapan
yang penuh dengan teka-teki yang buat orang keliru. Beberapa isu keluaran ‘The
Economist’, ‘Far Eastern Review’, Asian Wall Street Journal’ dan banyak
lagi, masih belum diedarkan walaupun tarikh edarannya sudah lama pupus. Inilah
caranya kerajaan menghukum puak yang menentangnya. Perdana Menteri, adalah
laksana satu mangkuk purba zaman dinasti Ming, yang perlu dijaga dengan penuh
kasih sayang. Dia mudah naik angin, terutama sekali kalau dikemukakan soalan
yang membuatkan dia mencemek muka autokratnya. Temubual di CNN (yang terbaru itu)
mendedahkan betapa perdana menteri rupanya mempunyai sifat mudah gelabah juga.
Kerana temubual CNN itu dianggap satu jenayah yang mesti diperangi. Kelmarin (18
Mei 2002), berita radio dan TV mengutuk CNN dengan tuduhan yang tidak ada
asasnya.
Jelas betapa membengkaknya tekanan politik. Barisan Nasional (BN) menjadi
gelabah apabila nama Perdana Menteri dicemari. Tidak kiralah apakah Dr. Mahathir
muncul dalam satu sesi temu-bual daripada satu ceruk dunia. Itu bukannya program
dia kerana dia hanya mengambil peranan sedikit sahaja. Tetapi itulah bahana
apabila dia tersilap congak dan kalah. Dia terlupa betapa dia baru sangat
menghalakan kesetiaan Malaysia sedikit sahaja kepada Amerika Syarikat, sedangkan
itulah tindakan yang belum pernah dilakukan oleh perdana menteri sebelumnya. Dia
merelakan perbuatan menjilat itu dengan harapan Washington akan menggugurkan
sikap terhadap satu kemusnahan politiknya. Setiap langkah Dr. Mahathir dihantui
oleh bayangan Dato’ Seri Anwar laksana watak Macbeth dalam skrip Shakespeare
yang dibayangi oleh Hantu. Kemelut itu tidak mudah dilesapkan dengan ugutan dan
serangan yang tidak relevan tetapi dibuat secara terancang.
Tetapi, kenapakah berlarutan kekalutan ini? Seseorang ahli politik seharusnya
megah dengan kewibawaannya, dan bukan disebabkan cara dia dilayan sentiasa oleh
para wartawan yang kurang berpengetahuan sambil berceloteh dengan mereka dalam
majlis yang tidak relevan. Dr. Mahathir memang arif dengan format temubual CNN.
Seharusnya dia berdiam diri tanpa mahu menggembar-gemburkan bahawa dia telah
menguasai majlis pertemuannya dengan Bush. Tetapi perkara itu tidak difahaminya
kerana dia memang tidak faham-faham. Dia pergi menemui Bush seolah-olah
merafak-sembah membawa ufti, dan itulah yang telah terjadi kerana permintaan itu
dipersetujui. Tidak ada perkara lain yang menarik yang telah terjalin kecuali
omongan kosong ketika menikmati sajian kopi dan kek sebelum para wartawan
dibenarkan menemui mereka berdua. Masakan seekor ular lidi dapat mengongsi
sarang seekor naga? Satu minggu sebelum itu, Perdana Menteri Nepal melakukan
kunjungan hormat yang serupa menemui Presiden Bush, dan diberikan janji-janji
manis yang sama sahaja bentuknya. Kalau dibandingkan apa kenyataan yang dibuat
oleh dua tetamu itu selepas keluar daripada Rumah Putih, memang terserlah
ketokohan mereka berdua yang sungguh berbeza.
Kenyataan Dr. Mahathir sebaik pulang mendedahkan kegusarannya betapa dia mungkin
telah banyak beralah melebihi yang sepatutnya. Dia telah mempalitkan Malaysia
dalam rencana sejagat Presiden Bush memerangi perjuangan kebangkitan Islam.
Tetapi bukan mengikut syarat yang disenanginya. Washington mahu tunggah enggeh
di setiap wilayah di pelosok dunia ketika ia menyelesaikan masalah Indonesia
yang memang lama menjadi pilihannya. Inilah caranya sistem hegemoni dilaksanakan.
AS sudah mempunyai sekongkolan India di bahagian Asia Selatan dan Jepun di Asia
Timur untuk mengekang kebangkitan pengaruh China. Indonesia kini sedang
memperbetulkan masalah dalamannya dan kerana itu Washington memerlukan seorang
tukang-jilat sementara. Apabila Mahathir menawarkan khidmatnya secara sukarela,
Amerika pun bersetuju sahaja. Mahathir tidak punya pilihan lain, kerana
Pembangkang sudah semakin berdaya menyusun agenda mereka bersama. Perjuangan
Dato’ Seri Anwar untuk mendapatkan keadilan sudah mula menyagat kewibawaan
Mahathir. Kerana itu Mahathir mencungap untuk menyelamatkan kulit keringnya dan
bukannya maruah negara yang sedang diperjuangkannya. Walaupun usaha itu bermakna
dia terpaksa berkonfrontasi dengan CNN.
M.G.G. Pillai.
pillai@mgg.pc.my
Terjemahan SPAR (Suntingan M@R)