Polis Berbuat Salah, Tapi Buat Kerja
Baik, kata Pemimpin MIC
(Police wrong, but do a good job,
says MIC leader)
23/5/02.
Bendahari Agung MIC, Dato’ M Mahalingam telah ditahan kerana tidak membayar
empat saman lalulintas. Dia dikenakan empat saman lagi sebagai tambahannya.
Namun dia masih memuji PDRM kerana mengesan pesalah yang culas membayar saman
mereka. Tetapi apa yang dibuat oleh polis adalah tindakan yang haram, kerana
tidak sah. Semua saman itu adalah catatan dalam komputer milik polis, dan
bukannya bahan bukti saman yang telah diserahkan seperti yang dimestikan. POLIS
TIDAK MENYERAHKAN SEMUA SAMAN ITU. Menteri de fakto kehakiman, Dato Rais Yatim,
berkata tindakan polis itu adalah tidak sah tetapi merobah pendapatnya itu
selepas pihak polis memberitahunya secara berahsia. Polis (yang menggunakan
abjad PDRM, tetapi kini mudah disebut sebagai PRDM – Polis Raja Di Malaysia!)
Perbuatan polis itu memang tidak sah, tetapi kalau nama anda ada dalam komputer
polis, anda mesti membayarnya . Tidak ada tolak dan tetapinya.
Oleh kerana Bendahari MIC itu ada bernama, apa yang dikatakannya muncullah (muka
dan pendapatnya) dalam akhbar-akhbar. “Saya hairan kenapa saya tidak pernah
menerima saman polis ini kerana saya telah lama menetap berdekatan r kediaman
rasmi Menteri Besar sejak 14 tahun dulu lagi,” katanya, sambil memberi
penekanan betapa rapatnya beliau dengan penggerak dan penyangak kerajaan
Selangor. Ini adalah helahnya untuk menonjolkan ketokohannya supaya tidak
mencela pihak polis, tetapi menambah: “Polis mesti siasat perkara ini dan cari
mana punca masalahnya apakah kena mengena juga dengan pihak pos.” Jadi, dia
alihkan tuduhan kerana tidak menerima saman itu kepada pejabat pos. Dia tidak
menerima pakai peraturan undang-undang kalau sesuatu saman itu tidak diserahkan,
ia dikira tidak sah. Apalagi dengan tindakan membawa pesalah ke mahkamah ataupun
mengaibkan masyarakat awam seperti yang dilakukan sekarang.
Operasi polis yang berjalan sekarang adalah satu kenyataan betapa polis begitu
haprak dan tidak cekap sehingga menimbulkan masalah besar. Kenapakah tidak
diberitakan masalah besar membabitkan 4.6 juta saman lalulintas yang tertunggak,
agar satu tindakan menyekatnya dapat dilaksanakan? APA JADINYA DENGAN SATU
SISTEM CANGGIH YANG PERNAH DIPERBESAR-BESARKAN DULU DI MANA LESEN MEMANDU DAN
CUKAI JALAN TIDAK BOLEH DIPERBAHARUI SELAGI SAMAN MASIH TERTUNGGAK?
Apabila 4.6 juta saham merupakan tindakan polis yang terperam sejak tahun 1999
sedangkan lesen boleh diperbaharui setakat tahun 2002, menunjukkan kita disuruh
membayar segala khidmat haprak Jabatan Pengangkutan Jalan dan PDRM. Jabatan
Peguam Negara tidak pula mahu mengulas kehaprakan ini, seperti juga pihak yang
lain. Apa yang diperbuat oleh polis dikira sah dan tidak dianggap sebagai
tindakan haram.
Demikianlah caranya institusi kerajaan mendera rakyat sesuka hari mereka. Apakah
polis ambil kisah menyediakan kaunter yang secukupnya untuk membolehkan orang
awam memeriksa apakah mereka pernah mempunyai saman yang tertunggak, dan
mengutip pembayaran yang berbangkit darinya? TIDAK. Barisan orang menunggu
begitu panjang kerana sebagai contohnya di Jalan Bandar, hanya terdapat satu
kaunter sahaja untuk membuat pemeriksaan daftar saman itu dan satu kaunter lagi
untuk membayar samannya. Memanglah barisan manusia itu panjang. Kalau polis
begitu serius menanganinya, sudah tentu dibuka banyak kaunter di seluruh negara,
bukan sahaja di balai polis, tetapi di pejabat pos dan beberapa pejabat kerajaan
yang lain supaya perkara ini boleh diselesaikan dengan segera.
Tetapi ini tidak bererti apa yang dilakukan oleh polis itu adalah kerja yang sah.
Penyebab utama semua itu ialah kehaprakan polis kerana tidak cekap menjalankan
tugas. Polis mesti berterus terang bagaimanakah 4.6 juta saman tidak
diserahkannya. Kenapa pula perkara itu tidak diselesaikan sekian lama. Ini
bererti tindakan polis menokok-tambah jumlah denda kerana tidak membayar saman
menepati masanya adalah satu tindakan kurang ajar yang tidak sah juga .Yang
membuatkan orang ramai tidak berapa berminat mencabar tindakan polis itu ialah
kerana tidak gemar turun-naik mahkamah dan segala kos berbangkit darinya. Apatah
lagi dengan bahaya mempertikaikan tindakan polis. Itupun bukannya ada jaminan
apabila selesai kerja-kerja turun naik ini, kejadian yang serupa tidak akan
berulang lagi. Kita pernah diberikan janji manis oleh polis ketika gerakan
operasi mereka dulu, segala masalah semacam ini dapat dihapuskan. Sekarang kita
tahu mereka masih tidak mampu menyelesaikannya. Terdayakah mereka melakukannya?
TIDAK....tidak mungkin, selagi anda bernyawa dan selagi ada saman lalulintas
dalam komputer mereka.
M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my
Terjemahan SPAR (Suntingan M@R)