Pendidikan dan Kejengkelan Negara
(Education and the National Ennui)
22/5/02.
Tulisan Asal B.I. disiarkan dalam Harakah 01-15 Jun 2002.
Ada dua bencana yang muncul gara-gara perdebatan politik mengenai pendidikan.
Bencana itu adalah bahasa dan pelajaran. Kedua-duanya kini sudah berserabut
kerana politik yang bercelaru, politik takut-menakut, politik hasut-menghasut,
dan sikap bermartabat tinggi sehingga membogelkan banyak sejarah jijik yang
sepatutnya menjadi rahsia besar politik. Standards ataupun piawaian pendidikan
menjadi begitu buruk sehingga ia terpaksa terjerumus ke lembah yang lebih teruk
sebelum boleh bangkit menjadi berkualiti semula. Inilah tanggapan masyarakat
selepas kerajaan membuat keputusan untuk mengembalikan mata-pelajaran Bahasa
Inggeris ke dalam kurikulum. pendidikan sekolah-sekolah. Memang tidak ada
cacat-celanya tindakan ini. Malahan, mempelajari satu bahasa lain, terutama yang
begitu penting seperti Bahasa Inggeris, sepatutnya digalakkan. Malahan bukan
Bahasa Inggeris sahaja. Lagi banyak kita mengetahui dunia ini melalui pelbagai
budaya dan bahasanya, lebih mudah kita memahami cara orang lain hidup di dunia.
Di Malaysia yang mempunyai penduduk yang majmuk ini, perkara ini tidak boleh
diperlekehkan. Tetapi, Bahasa Inggeris ataupun bahasa yang lain tidak dapat
bernafas seandainya kaedah mempelajarinya disogokkan secara paksa dan dijadikan
bahan agenda politik juga.
Pendidikan adalah lebih besar bidangnya berbanding bahasa. Ia mencelikkan kita
untuk memahami kelakuan tamadun dunia. Apa yang kita fahami sebagai ketamadunan
itu adalah kesan daripada pendidikan juga. Tetapi di Malaysia pendidikan
diperkotak-katikkan seandainya ia membawa faedah kepada puak lain. Kalau orang
Melayu dianggap tidak berjaya meraih sesuatu faedah daripada sesuatu bentuk
pendidikan, bukan sahaja dalam mata-pelajaran Inggeris, tetapi apa sahaja yang
dapat dicapai dengan cemerlangnya oleh pelajar bukan-Melayu, maka mata-pelajaran
itu mesti dimansuhkan. Bahasa Inggeris telah di keluarkan daripada kurikulum
pendidikan sebagai satu dasar politik yang disengaja untuk menempangkan pelajar
bukan-Melayu. Menteri Pendidikan ketika itu, Dato’ Abdul Rahman Yaakub, yang
kemudiannya menjadi ketua menteri dan Yang DiPertua Negeri Sarawak, telah
mengeluarkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan pada 1970 tanpa
mendapatkan keizinan Kabinet.
Oleh kerana wujudnya suasana politik yang tegang sejurus selepas pergaduhan Mei
1969, tidak ada sesiapa termasuk kabinet waima Perdana Menteri sewaktu itu, Tun
Abdul Razak, yang berani merobah pendirian itu. Usaha itu tidak berjaya juga. Ia
memperakukan betapa manipulasi politik terhadap bahasa sebagai bahasa pengantar,
sehingga ia menaikkan semangat budaya Melayu. Tetapi bahana yang dahsyat belum
muncul juga. Orang Melayu telah mengabaikan Bahasa Inggeris, tetapi tidak pula
kaum yang bukan-Melayu. Tiga puluh tahun kemudiannya, jurang penggunaan Bahasa
Inggeris menjadi lebih melebar berbanding penggunaannya pada permulaan
penjajahan British pada awal abad ke-18 dulu.
Kerajaan memperkenalkan semula Bahasa Inggeris dengan cara yang sama ia menarik
mata pelajaran itu daripada sekolah-sekolah pada 1970. Kini, ia menyebut alasan
betapa Malaysia akan terpinggir dalam urusan dunia, dan kerana itu Bahasa
Inggeris mesti dipelajari semula. Tetapi, perkara itu diperdebatkan dengan
kutukan terbuka terhadap pandangan budaya Melayu terhadap dunia dan kerana itu
memanjangkan lagi konfrontasi yang tidak sepatutnya wujud. Kini kerajaan mahu
Bahasa Inggeris dipraktikkan secara meluas seperti ia digunakan di Singapura,
sedangkan beberapa kumpulan budaya Melayu mahu yang sebaliknya. Dengan lain
perkataan, kedua pihak tidak bersepakat dan mahu menjadikan perkara itu satu isu
politik yang hangat. Kedua pihak silap sebenarnya.
Bahasa Inggeris sepatutnya mendapat tempat dalam kehidupan kita, tetapi bukan
secara yang eksklusif. Pendekatan Singapura melahirkan satu cara hidup yang
kemandulan di kalangan mereka yang berbahasa Inggeris, kerana segala kekayaan
budaya yang ada itu terletak dalam bahasa lain seperti Bahasa Melayu dan Bahasa
Cina. Perhatikan India, di mana Bahasa Inggeris adalah satu bahasa yang penting,
yang menyambungkannya kepada 20 bahasa rasmi yang lain. Nasionalisme dalam
bahasa tidak semestinya digugurkan, tetapi ia tidak mudah dikekalkan. Malahan,
Bahasa Inggeris menyubur dengan unsur budayanya dan meluas seperti bahasa-bahasa
yang lain, sehingga tidak mencetuskan sebarang unsur berbahaya akhirnya.
Inilah pendekatan yang sepatutnya kita timba. Bahasa Inggeris adalah satu bahasa
penting dunia, tetapi budaya kita amat terpaut kepada Bahasa Melayu. Walaupun ia
akan memakan masa yang lama, ia tidak boleh dibincangkan secara rasional kerana
tidak ada sesiapa yang berminat mengenainya. Setiap puak bertindak tegas pada
pendapat asalnya, dan menolak pendapat puak yang lain, walaupun ada asasnya dan
ada relevansinya. Apa juga dasar yang tidak mengambil kira penyatuan Bahasa
Inggeris dengan pandangan budaya Melayu akan dan pasti gagal, akhirnya.
Apakah orang Melayu tidak akan lengkap keMelayuannya seandainya dia menggunakan
bahasa asing; dan seorang Cina kehilangan keCinaannya apabila tidak bertutur
bahasa Cina; dan seorang India tidak India lagi apabila tidak menggunakan bahasa
ibundanya? Pendidikan adalah hasil pencernaan zaman silam kepada tamadun
masakini dengan mengambil kira masa depan. Tetapi di Malaysia, ia merupakan satu
penentuan kefahaman orang Melayu dalam Bahasa Melayu. Sedangkan pendekatan yang
lebih luas seharusnya menjadi agenda bangsa. Pendidikan seharusnya menyuntik
keyakinan kepada setiap insan untuk menongkah arus dunia terbentang sambil
memperkasakan akar umbi masyarakatnya. Mempelajari Bahasa Inggeris ataupun
bahasa lain kecuali Bahasa Melayu dikira akan memesongkan perhatian kepada
konsep KeMelayuan bangsanya.
Terlalu banyak contoh yang dapat dilihat dalam kehidupan harian kita. Saya
menghabiskan 90 persen masa yang ada dengan bahasa Inggeris. Saya membaca,
menulis dan bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan penuh keyakinan. Inilah punca
rezeki saya. Tetapi Bahasa Malayalam, adalah bahasa ibunda saya – bukannya
Bahasa Inggeris - dan itulah asal usul saya. Saya tidak bertutur dalam bahasa
itu sekerap yang saya mahu, ataupun membaca dan menulis sepintar dan secekap
yang sepatutnya. Saya bermimpi dalam bahasa itu lebih kerap daripada Bahasa
Inggeris. Saya juga bertutur dalam Bahasa Tamil, menulis dengan baik berbanding
penulisan dalam Bahasa Malayalam. Tetapi saya bukannya berakar-umbi daripada
Tamil Nadu, kerana asal saya ialah daripada Kerala. Tamil ialah Bahasa yang saya
pelajari, seperti mana saya mempelajari Bahasa Inggeris, cuma saya tidak selesa
menggunakannya selalu. Saya bercakap dan membaca Bahasa Melayu tetapi ia tidak
pula menyuntik kesetiaan saya seperti yang sepatutnya. Saya adalah daripada
generasi yang terdahulu yang mempunyai budaya yang berakar-umbi di tanah
seberang walaupun kerakyatan kami tidak begitu.
Keselesaan berbudaya, walaupun ketika bertutur dengan bahasa asing seharusnya
menjadi sasaran utama menegakkan bangsa Malaysia. Kerana itu doktrin politik
yang sudah usang harus dibuang. Kebenaran yang mungkin tidak sedap rasanya mesti
diterima dulu. Menuduh Bahasa Inggeris sebagai kedaifan sistem sekolah
kebangsaan di Malaysia bukanlah jawapan yang relevan lagi. Sekolah-sekolah
kebangsaan yang ada pada satu ketika dulu adalah sekolah-sekolah yang
menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Itulah sekolah yang
pada ketika itu begitu bangga menjulang satu sistem pendidikan yang cemerlang
kualitinya. Kini sudah tidak begitu lagi. Kini sekolah itu menjadi sekolah
Melayu yang lahir disebabkan fahaman cauvanis politik yang menggila yang sanggup
mengecutkan kurikulum persekolahan itu menyempit kepada pandangan budaya Melayu.
Sekolah-sekolah kebangsaan yang satu ketika dulu begitu bangga mengeluarkan
pelajar melalui sistem pendidikan yang unggul sudah lama ghaibnya. Sebaliknya,
apabila pelajar bukan-Melayu dimasukkan di sekolah itu semua, ia mencetuskan
masalah perkauman sehinggakan kerajaan turut diaibkan. Sehinggakan baru-baru ini
terpaksa dilakukan tipu-helah betapa sekolah kebangsaan tidak mempunyai unsur
perkauman dan mereka yang mengadu akan perkara itu sudah tersilap!
Sistem pendidikan negara sudah berkecamuk kerana menyesuaikan kehendak pemimpin
politik. Kualiti pelajaran sengaja direndahkan dalam satu agenda politik, yang
haprak untuk menentukan lebih ramai pelajar Melayu mendapat markah yang lebih
tinggi. Kesannya sistem pendidikan seperti itu menghasilkan tenaga pelajar yang
semakin kurang cekap. Oleh kerana timbulnya kesedaran bersalah dan berdosa dalam
tipu-helah pendidikan ini di kalangan orang politik menyebabkan ada suara yang
menegah kerajaan membawa kembali Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Kerajaan mahu merobah tren ini kerana sebab-musabab politik sahaja. Tetapi, UMNO
sebagai parti politik yang dominan mahu bahasa itu diajar dalam kelas sains dan
matematik sahaja.
Kenapakah bahasa Inggeris itu dianggap dengan momokan yang penuh keraguan,
sedangkan tidak ada masalah semacam itu pada Bahasa Cina dan Bahasa Melayu?
Sudah wujud satu ketakutan betapa usaha mengembalikan Bahasa Inggeris akan
memudahkan pelajar bukan-Melayu lebih menonjol berbanding pelajar-pelajar Melayu.
Tetapi pelajar bukan-Melayu terutama sekali mereka yang percaya bahawa dunia
besar yang luas adalah peluang pekerjaan yang bebas, mempelajari Bahasa Inggeris
dengan sama tekunnya beliau mempelajari Bahasa Melayu. Dua orang anak lelaki
saya, yang mengikuti sistem pendidikan dalam bahasa Melayu, adalah fasih dalam
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Begitu juga anggota kumpulan mereka yang
memang ramai pelajar Melayu.
Masih ramai antara kita yang mempunyai ingatan indah akan sistem pendidikan satu
ketika dulu yang membuatkan kita bangga dengan sistem itu. Tetapi keadaan sistem
yang ada amat jauh bezanya dengan sistem pendidikan kita dulu. Itulah sistem
pendidikan yang sudah lama menghilang, sehinggakan ramai anak-anak kita sudah
amat mempercayainya. Mereka tidak menaruh harapan dalam sistem yang ada dan
memikirkan cara terbaik untuk berhijrah ke negara orang, walaupun mereka belum
lulus pengajian yang ada. Kita nampak segala bukti ini di keliling kita. Terlalu
banyak perkhidmatan haprak yang memusnahkan. Kalau kita mahu contoh sebagai
bahan ingatan, lihat sahaja kisah kutipan sampah, lubang-lubang yang ternganga
di jalanraya, dan rasuah yang bermaharajagila di institusi awam,. Kehidupan yang
dinaungi politik haprak seperti yang memaksa kita bernafas sekarang, sudah
begitu bergelumang dengan penuh tipu-muslihat, korupsi, dan pembohongan. Apabila
dicabar semua itu akan berakhir dengan penangkapan, penahanan, dan tindakan
mahkamah. Daripada kancah kekotoran hidup ini yang akan melahirkan pemimpin kita
di masa hadapan. Apakah seseorang itu boleh disalahkan seandainya seseorang itu
tidak dapat menolak unsur-unsur tidak menjanjikan sesuatu di masa hadapan ?
M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my