Pemboikotan Tidak Rasmi Dunia Islam
Mula Menjejaskan Dagangan Zionis
(Unofficial boycott begins to hurt
Western businessmen and zionists)
Oleh: Waseem Shehzad
Pemboikotan barangan Amerika dan Israel
mula membengkak momentumnya terutama sekali di Timur Tengah. Walaupun waktu ini
kebanyakan regim Arab belum lagi mengendos gerakan itu. Gerakan pemboikotan itu
sedang menjalar, dengan cara orang perseorangan dan berkumpulan bertindak
melancarkan kempen di tempat yang baru, terutama sekali melalui internet.
Malahan di Arab Saudi yang begitu tersohor amat takut dan setia kepada AS,
manusia bertindak secara bersendirian, ataupun berkumpulan ataupun sebagai
pedagang, khatib di masjid-masjid dan guru-guru di sekolah dan universiti sedang
menyokong kempen semacam itu sehinggakan rakyat marhaen merasakan diri mereka
mula mempunyai kuasa untuk kali yang pertama. Berbeza dengan kempen terhadap
apartheid di Afrika Selatan pada tahun-tahun tujuh puluhan dan lapan puluhan
dulu, yang memang disokong oleh PBB, kempen anti Israel yang ini adalah usaha
gelombang tindakan individu, dengan bantuan kuasa yang ada di internet.
Rangkaian jualan makanan Amerika yang ulung sudah semakin tertekan. Para
pengurus ruangan makan McDonald’s dan Kentucky Fried Chicken di Mesir telah
membuat pengakuan betapa penjualan mereka telah menurun antara 20 hingga 50
persen sejak bermulanya gerakan intifada gelombang kedua, 19 bulan yang lalu.
Kerugian yang sama telah dilaporkan di Arab Saudi, yang mengimport keluaran
Amerika sekitar US$6 billion setiap tahun, berbanding US$3.7 bilion oleh Mesir.
Apabila para pengguna (konsumer) dan kumpulan pro-boikot meletakkan iklan mereka
di akhbar-akhbar dan mengirim pesanan di internet, kempen pemboikotan itu telah
mula menjeringaikan giginya untuk mula mencengkam bisa. Di Bahrain sebuah
kepulauan yang kecil, yang merupakan pangkalan US Seventh Fleet, ada sebuah
rangkaian supermarket yang mengumumkan penarikan barangan Amerika yang bernilai
hampir satu juta dollar daripada rak jualannya. Kesannya hasil jualan rangkaian
perniagaanya naik mencanak sebanyak 60 persen. Para konsumer membanjiri
rangkaian supermarket syarikat itu sebagai menghargai keberanian mereka
bertindak begitu.
Banyak barangan Amerika lain yang merana teruk seperti Coke, Pepsi, Levi jeans,
dan Starbuck. Rokok Marlboro sudah diketepikan, kerana para perokok sudah
menukar selera membeli rokok buatan Peranchis ataupun jenama tempatan. Pemilik
francais barangan Amerika sedang mencuba tercungap-cungap mendapatkan kembali
konsumer mereka dengan pelbagai gimik seperti menawarkan 20 persen keuntungan
mereka kepada badan amal untuk menyokong kanak-kanak miskin Palestin, tetapi
para konsumer tidak mudah digerakkan oleh iklan murahan seperti itu lagi. Ada
peniaga yang memasang iklan di akhbar dan TV menyebut betapa pemboikotan itu
menjejaskan pekerja tempatan. Mungkin juga ada benarnya, tetapi rakyat marhaen
sudah bersedia untuk berkorban. Yang nyata, kempen pemboikotan itu sedang
menjejaskan keuntungan pedagang yang pro-Amerika dan pro-Israel, dan sudah tentu
ini menunjukkan kejayaan kempen itu.
Awal bulan ini, para peserta Arab daripada 19 negara telah bersidang di Damsyik,
menghadiri Majlis ‘Arab Boycott Bureau’ (Biro Pemboikotan Arab). Biro ini
telah ditubuhkan oleh ‘Arab League’ (Liga Arab) pada tahun 1951, untuk
menyelia pemboikotan syarikat-syarikat yang berdagang dengan Israel. Itulah
persidangan kedua sejak tahun 1993, ketika ia dipaksa oleh tekanan AS untuk
menghentikan pemboikotan syarikat pro-Israel selepas selesainya ‘Perjanjian
Oslo’. Perjanjian itu dianggap satu penipuan terhadap rakyat Palestin, dan
tipu muslihatnya kini sudah difahami oleh semua pihak. Mesir, Jordan dan
Mauritania, yang dulu mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel telah menyepi
daripada persidangan Damsyik itu. Kerajaan Husni Mubarak, walaupun membenarkan
gerakan pemboikotan barangan AS dan Israel, telah enggan menghadirkan diri
secara rasmi. Namun, rakyat Mesir masih merupakan penggerak aktif kempen boikot
itu, sambil menganjurkan beberapa perhimpunan ralli di kampus universiti hampir
setiap hari. Kentucky Fried Chicken menjadi sasaran para penunjuk perasaan di
Universiti Kaherah bulan lalu; sehinggakan mereka telah membakar salah satu
ruang niaga syarikat itu.
Arab Saudi yang begitu takut dan setia kepada AS, turut bersekongkol dengan
Mesir dan Jordan untuk tidak turut serta secara rasmi. Itu sebabnya ia enggan
menyokong laungan diadakan sekatan penjualan minyak (embargo minyak) seperti
yang dicadangkan oleh Rabbar, Syyed Ali Khemenei daripada Iran, bulan lalu.
Ketika berkhutbah pada Jumaat 12 April lalu, beliau menggesa OPEC melancarkan
embargo minyak secara keseluruhannya selama satu bulan untuk menekan AS merobah
dasarnya menyokong penjenayah perang zionis di Palestin. Dua hari kemudiannya,
Iraq mengumumkan sekatan pengeluaran minyaknya. Pengumuman Iraq itu tidak
membawa banyak kesan, kerana Arab Saudi telah bertindak mengumumkan peningkatan
pengeluarannya untuk memenuhi keperluan dunia. Gelagat regim Saudi itu
menunjukkan betapa ia sudah terlalu taksub dengan konsep takut dan setia
terhadap Washington. Putera mahkota Abdullah menunjukkan sikap ini ketika
melawat George Bush bulan lalu. Dalam pertemuan mereka di Texas, Abdullah
membuat pengakuan kepada AS bahawa Arab Saudi tidak akan membenarkan minyak
dijadikan laksana senjata perang terhadap AS dan Israel. Pengeluar minyak yang
tidak menganggotai OPEC – Mexico, Kanada dan Russia – sudah tentu mampu
mengeluarkan minyak yang lebih seandainya ada pengeluar OPEC yang mengurangkan
pengeluaran mereka, tetapi mereka memang tidak mampu menggantikan semua
pengeluaran OPEC secara keseluruhannya. Kekurangan bekalan minyak di pasaran
dunia merupakan satu perkara yang serius kepada ekonomi barat; para penganjur
strategi ini mengharapkan ia dapat memaksa AS merobah dasarnya yang rabun
menyokong Israel.
Walaupun Arab Saudi enggan menyokong kempen itu secara berkesan, kempen itu
telahpun menjalar melepasi wilayah Timur Tengah. Di banyak tempat di Pakistan,
Sri Lanka, Malaysia, Indonesia dan Afrika Selatan, konsep pemboikotan itu
sudahpun membiak. Kini, umum sudah mengetahui betapa barangan itu mudah dicam
melalui nombor yang terletak pada ‘bar-code’ (kod garisan) yang digunakan
sebagai pengganti nama negara yang mengeluarkan barangan itu. Semua barangan
keluaran Israel dipaparkan di kod garisan itu dengan angka ‘729’; barangan
Amerika mempunyai angka yang bermula dengan 00 sehinggalah 09. Para pengguna
sudah semakin cerdik kepada tipu muslihat ini, dan senarai barangan Israel dan
Amerika sudah disebarkan secara meluas.
Kempen ini memang menghenyak negara zionis ekoran reaksi para penyokong Israel.
Ketika John Harris tuanpunya Texas Automotive Export, sebuah perniagaan
alat-ganti kereta di Austin, membuat pengumuman beliau ‘tidak mahu berurusan
dengan warga Israel’ kerana dasar ganas Israel, dia telah dikecam oleh emel
dan panggilan telefon ganas daripada warga Yahudi Amerika. Muka suratnya di Fax
ada tertera perkataan: ‘Kami mendesak anda menegah askar anda dan menghentikan
kerja-kerja menindas rakyat Palestin’. Beliau juga mengingatkan orang Israel
dengan tulisannya: ‘Negara anda sudah kehilangan martabatnya di mata dunia
yang bertamadun’.
Tiba-tiba jabatan perniagaan AS masuk campur, mengugut Harris untuk dikenakan
tindakan kerana Washington mempunyai dasar ‘pasaran terbuka’ yang menegah
pemboikotan barangan Israel (walaupun AS mengenakan sekatan pasaran terhadap
negara yang tidak disukainya). Walaupun Harris dipaksa untuk berlembut, episod
yang terjadi mendedahkan betapa berkesannya kempen pemboikotan itu sehingga ia
telah mencetuskan kerunsingan pada negara zionis dan para penyokongnya di
seluruh dunia.
Tamat
Terjemahan oleh SPAR Terjemahan oleh: SPAR (Suntingan Z-M@R)