Paksaan dan Penipuan
- Alat Kezaliman Mahathir Untuk Terus Berkuasa

(Force and Fraud - Mahathir’s Tyrannical Tools for Survival)

Sindiran tajam Bush mengaitkan Mahathir dengan diktator tua Cuba, Fidel Castro, merupakan satu tamparan yang begitu hebat menghina Mahathir dan membawa aib yang amat sangat terhadap UMNO, sebuah parti perkauman yang turut dikasi. Kebanyakan media Amerika telah menyamakan Mahathir dan Castro dengan nada yang sama, sambil mengutuk mereka berdua dan menuduh mereka sebagai pembiak unsur-unsur penindas di kalangan rakyat mereka. Akhbar itu sedar betapa Mahathir yang sudah tidak popular lagi, mengambil-alih kuasa dan membangunkan sistem pemerintahan zalim untuk dirinya, sambil mengada-adakan satu rangkaian propaganda yang menonjolkan imej betapa majoriti rakyat masih menyokongnya. Sedangkan kalau diberi peluang, majoriti rakyat akan menyerlahkan kebencian mereka terhadapnya. Malahan, Mahathir sudah menonjolkan dirinya memerintah melanggar kedaulatan undang-undang, dengan cara menunjukkan yang dia mengatasi undang-undang itu. Kerana itu dia menjadi seorang penzalim dan penyangak yang berhati syaitan. Negara ini akan kerugian besar disebabkan dosa politik yang dilakukan oleh seorang pemimpin yang besar jenayahnya setelah berjaya menyuntik bisa beracun ke dalam budaya negara.

Kecurangan Mahathir adalah untuk mengutuk diri sendiri

Sejarah telah membuktikan, kesudahannya nanti, seorang pemerintah yang zalim seperti Mahathir, akan mengundang kutukan yang menggunung dan akan terhumban ke kancah kehinaan, seperti yang diwahyukan. Lihat sahaja apa jadinya kepada Hitler, Marcos, Suharto, dan yang terkini pemerintah zalim seperti Castro dan Mahathir yang masih bernyawa. Mereka ini masih lagi menggali lubang kubur kecurangan mereka untuk dihimpun dengan segala dosa yang mereka lakukan semasa menzalimi manusia. Mahathir akan dihantui oleh segala dosanya, segala jenayahnya, rasuah dan kesan penganiayaannya terhadap manusia yang tidak bersalah. Dengan cara menakutkan rakyat jelata, dan gelagatnya mengkasi beberapa khadam politik yang ditugaskan untuk menipu dan memutar minda mereka, Mahathir sebenarnya menganiayai bangsanya. Dia lebih berminat menyelamatkan dirinya sahaja, dan membiarkan seluruh negara ini merana kerana penindasan dan kedurjanaan.

Mempersendakan undang-undang

Mahathir sudah menampakkan dengan jelasnya betapa beliau adalah seorang yang zalim kerana menghukum sesiapa yang menentangnya ataupun kerajaannya. Mahathir telah mengaibkan demokrasi, menabur fitnah, mengkucar-kacirkan keharmonian negara. Dia lebih berminat menjadi maharajah dan bukannya memimpin rakyat ke arah kegemilangan dan kebahagiaan. Dia sudah bersedia bermusuhan dengan rakyat kerana mahukan keselamatan diri daripada disanggah oleh jenayah yang dilakukannya. Undang-undang sudah tidak membawa erti lagi, kerana sistem perundangan dan kehakiman negara sedia bertandak mengikut rentak Mahathir dan bukan mengikut kedaulatan undang-undang. Negara mereput, berkisar menjadi satu negara pariah di mana rasuah adalah segala-galanya.

Mahathir memusnahkan dirinya kerana memilih fitnah daripada ketelusan

Bush telah menyebut dengan jelas dan terus terang betapa Anwar tidak bersalah, di depan Mahathir. Sekaligus beliau menyindir bahawa Mahathir adalah penyangak bertaraf bangsat. Hakikat ini diperakukan lagi oleh masyarakat dunia, apabila kebanyakan media massa sejagat mengutuk Mahathir, sambil menyamakan beliau dengan Suharto dan Castro. Imej semacam ini mengaibkan Malaysia, menjatuhkan martabatnya dan menjadikan negara ini begitu terhina seperti Cuba dan Indonesia. Kenyataan ini adalah memadai sebagai dalil betapa Anwar masih unggul walaupun dia berada dalam penjara. Mahathir sudah gagal dan dimalukan walaupun dia mempunyai banyak kuasa untuk mencengkam pengaruhnya. Hakikat ini sudah memadai untuk meyakinkan setiap rakyat Malaysia bahawa Mahathir mesti berundur. Dia ternyata sudah tidak layak lagi menjadi pemimpin negara ini.

SOT 17/5/02. SPAR
Terjemahan SPAR (Suntingan M@R)

*************
MGG: Anwar Ibrahim dan ‘Rahsia Besar’
(Anwar Ibrahim and the ‘Big Secret’)
17/5/2002.

Perdana Menteri Mahathir Mohamed, tidak terdaya menyebut nama mantan timbalan presiden UMNO ketika UMNO ‘meraikan’ ulangtahun ke-56 di Shah Alam, minggu lalu. Perasaan marahnya tentu telah mendidih apabila Presiden Bush menegaskan pendirian AS tetap seperti biasa dalam hal Dato’ Seri Anwar. Dalam hal ini Amerika berpendirian bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah dimangsakan dan sepatutnya tidak dihukum dalam penjara. Tetapi, bukan sahaja Bush yang mempunyai pendirian seperti itu. Lagi berat UMNO diperlekehkan oleh masyarakat Melayu, lagi menyerlah kewibawaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Memang sudah wujud satu persekongkolan yang kurang bijak rencananya dalam satu usaha memburukkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ‘untuk selamanya’. Caranya ialah mendesak PAS untuk membuat kerja didik yang dirancang oleh UMNO. Pertama, Dr. Mahathir berdepan dengan PAS, dalam satu forum yang membincangkan krisis Palestin, dengan muslihat agar PAS melupakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan menumpukan perhatian kepada politik Melayu seperti sebelum tahun 1988 dulu. Kemudian beberapa pemimpin tinggi UMNO bertegas agar MP PAS dan bekas imam besar Masjid Negara, Ustaz Taib Azamuddin, yang menyimpan ‘Rahsia Besar’ agar mendedahkan rahsia yang disimpannya. Ustaz Taib lakukan apa yang tidak pernah difikirkan oleh orang UMNO. Dia telah dedahkan segala perilaku seksual menteri kabinet UMNO, menteri besar dan pemimpin tertinggi Umno yang lainnya.

Akhbar Malaysia yang kerap riak dengan kesahihan berita yang mereka siarkan, tiba-tiba terlupa akan kenyataan Bush mengenai nasib Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Mereka fikir adalah tidak kena pada tempatnya untuk rakyat Malaysia mengenai cerita sebenarnya. Lebih-lebih lagi apabila kenyataan itu sekaligus menetapkan peranan Mahathir sebagai seorang sarjan suruhan di Asia Tenggara dalam usaha perang global Bush mengganyang keganasan Islam. Maka berulang kembali satu kebenaran yang tidak menyelerakan: betapa apa juga yang dilakukan oleh UMNO dan Dr. Mahathir, Dato’ Seri Anwar dilihat sebagai insan ghaib dan faktor yang tidak kedengaran yang perlu mereka ambil-kira dalam setiap tindakan yang mahu mereka lakukan.

Ketika Dato’ Seri Anwar muncul di mahkamah, dia diberikan layanan seolah-olah dia adalah penjenayah antero dunia yang begitu berbahaya sehinggakan mahkamah dipenuhi oleh anggota polis, menggunakan separuh tenaga polis yang berkhidmat di sebuah bandar. (Saya berada di Mahkamah Persekutuan semalam, 16/5/2002, dan mendapat ruang duduk pelawat dibahagikan kepada satu barisan untuk pemberita, yang lagi satu baris untuk ahli keluarga, dan yang ketiga untuk pegawai polis. Ini adalah satu pertanda betapa mahkamah akan bersidang tidak lama lagi untuk mengeluarkan penghakimannya terhadap rayuan Dato’ Seri Anwar). Apabila Mahathir tidak berupaya menyebut nama Dato’ Seri Anwar, sebabnya ialah dia terlalu marah kerana dia yang kini terpenjara oleh seorang banduan yang sedang dipenjarakannya. Kementerian Penerangan sedang merencana satu propaganda dalam usaha seranta melakukan apa yang tidak upaya dilaksanakan oleh mahkamah, dengan cara memburuk-burukkan wibawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Cuma cara propaganda itu dilaksanakan adalah begitu tidak relevan dan sungguh haprak perancangannya.

Kerajaan masih mahu meneruskan usaha mempengaruhi minda rakyat negara ini betapa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah seorang sodomis. ‘Rahsia besar’ yang disebut-sebut oleh Zainuddin Maidin, ialah mengenai pengakuan bervideo oleh seorang pensyarah UTM di hadapan Ustaz Taib Azamuddin mengenai ‘hubungan’ pensyarah itu dengan Anwar. Beberapa keratan rakaman video itu sudahpun disiarkan secara meluas di setiap ceramah UMNO di seluruh negara. Ia merupakan satu tindak-balas tayangan rakaman di Parlimen di mana Perdana Menteri naik angin dan marah kepada MP PAS kerana menyoal beliau soalan yang tidak dapat dijawabnya. Apabila rakaman itu disebarkan secara meluas ia memperakukan tanggapan marhaen betapa hapraknya Perdana Menteri mereka.

Tetapi, alangkah baik kalau Zainuddin Maidin sendiri yang mendedahkan rahsia besar itu dan tidak mengharapkan pendedahan calon parti pembangkang? Para strategis Unmo berkata rakaman itu akan menyedarkan semua ulama dan imam dalam PAS, terutama sekali mereka yang melompat parti memasuki PAS ataupun memang sudah lama berada dalam PAS. Kalaulah satu pengakuan kepada seorang imam Masjid Negara boleh didedahkan secara terbuka, apakah lagi keluhuran dan kepercayaan orang awam kepada imam dan ulama di seluruh negara ini? UMNO begitu yakin betapa muslihat mereka akan berjaya malahan akan menyebabkan PAS tertekan, seolah-olah ia akan menjadi satu pertanda betapa imam dan ulama dalam PAS berada dalam kedudukan yang bahaya. Ini merupakan satu taktik yang berbahaya, terutama sekali apabila ia dilakukan dan dilaporkan daripada sebelah pihak sahaja – yakni pihak kerajaan semata-mata. Inilah yang dianggap sebagai usaha baru untuk menghancurkan wibawa Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang ahli politik yang berwibawa. Tetapi lagi kuat tekanan yang diberikan, lagi kuat ketabahan yang menonjol daripada persona politik dan wibawanya.

Ini bererti apa juga yang dicadangkan oleh UMNO, adalah menyulitkan rencananya. Kemelut yang menghantui Dato’ Seri Anwar adalah satu jenayah feudal gara-gara kebajingan Perdana Menteri. Perkara ini mesti diselesaikan sebelum UMNO dapat bersenang-lenang. Inilah penentuan kenapa UMNO sudah terpinggir oleh masyarakat Melayu. Kerja jijik yang dirancang oleh Mahathir untuk memomokkan Dato’ Seri Anwar sebagai seorang yang berkelakuan songsang tidakpun melunturkan sokongan akar umbi kepada ketokohannya. Dato’ Seri Anwar kini merupakan tokoh politik yang bertaraf ‘prisoner of conscience’. Dia merupakan seorang banduan yang cacat. Kerajaan dan UMNO hanya akan mengundang lebih banyak tekanan daripada luar untuk membebaskan beliau.

Kerajaan tentera Burma mengambil masa sembilan tahun sebelum mereka membebaskan Aung San Suu Kyi daripada tahanan rumahnya. Mereka lakukan ini kerana hubungan luar negara dikaitkan kepada keupayaan kerajaan membebaskan beliau. Apakah Malaysia mampu memesongkan perhatian dunia yang kini berpaling kepadanya? Ia mungkin berjaya berbuat begitu untuk sementara waktu seperti yang dilakukan oleh Burma. Tetapi akhirnya Malaysia akan menggelabah juga. Apa yang akan diperbuatnya akan bergantung kepada cara tindakannya. Masalahnya belum ada pertanda keinginan yang tangkas dalam hal ini di kalangan mereka yang mentadbir kerajaan. Kalau ‘Rahsia Besar’ ini tidak dikendalikan dengan berhati-hati, ia akan meledak dan memalukan kerajaan dan UMNO dan bukannya orang yang mereka ingin mangsakan.

MGG Pillai
pillai@mgg.pc.my
Terjemahan SPAR (Suntingan M@R)