Make your own free website on Tripod.com

Bila Ular Lidi Nak Jadi Naga
(A minnow amongst whales thinks he is a whale)
22/5/2002.


CNN tidak punyai hak untuk mengaibkan Perdana Menteri Malaysia. Lebih-lagi selepas Presiden Bush dan pegawai tinggi Amerika mendengar pendapatnya dengan penuh khusyuk mengenai masalah dunia. Terutama sekali mengenai cara menumpaskan ‘pejuang-pejuang’ Islam. Tetapi itulah yang CNN telah lakukan, dan itulah juga sebabnya CNN dimomok-momokkan. Satu ketika dahulu cemuhan seperti itu ditujukan kepada BBC. Dua saluran media ini adalah dianggap bersalah kerana menimbulkan beberapa soalan mengenai bekas timbalan perdana menteri yang terpenjara, sedangkan tidak ada seorangpun wartawan Malaysia yang bermaruah, kerana mudah bergelumang dengan budaya upahan, yang sanggup menyoalnya. Di Malaysia, hanya kerajaan yang punya hak menerbitkan berita dunia. Pendapat pihak lain hanya dibenarkan kalau ia tidak menggugat pendapat dan kedudukannya.. Memang tidak ada salahnya dengan perkara ini. Setiap masyarakat mempunyai had batasan, yang mengongkong kebebasan anggotanya. Kini, had itu hanya terkongkong kepada budaya sosial dan dalaman sahaja sedangkan pandangan luar yang bergerak bebas hanya dapat dilihat begitu sahaja.

Kebanyakan kerajaan memang tidak faham menentukan kaedah yang sesuai untuk masyarakatnya, sehingga terjebak kepada tekanan dalaman dan luarannya. Malaysia adalah contoh fenomena itu. Tetapi tekanan itu menjadi begitu hebat disebabkan oleh seorang pemimpin autokrat yang mempunyai pandangan yang bertukar-tukar setiap hari. Dia menjadi kalut, sebagai contohnya, apakah dan bagaimanakah Bahasa Inggeris harus dikembalikan ke tengah-tengah masyarakat Malaysia. Dia tidak menerima hakikat betapa dua bahasa itu harus jalan bersaing, di mana yang satu memperkasakan budaya nasionalisme tanpa menjerumuskan Malaysia semacam Singapura di mana wang dan Bahasa Inggeris sudah menjadi dua dewata yang utama. Ataupun di India, di mana Bahasa Inggeris hidup subur seiring jalan 20 lagi bahasa utama wilayah. Di sana Bahasa Inggeris mendapat tempat utama sebagai bahasa penyambung pertuturan yang menggunakan loghat kedaerahan itu. Di Singapura, bahasa Inggeris mendominasi pertuturan dengan mengenepikan bahasa lain. Di India, ia terus diberi kepentingan seperti bahasa-bahasa lain, dan terus menyerlahkan wajah sejagat di bidang perhubungan.

Apabila hakikat ini tidak dimengertikan dan seorang insan menentukan amalan norma, seperti yang sedia ada, kemelut yang menghantuinya di CNN adalah satu perkara yang harus dijangka. Media asing memang mempunyai ruang yang lebih longgar tetapi kalau Perdana menteri itu tidak mereka sakat dan gugat, dan pihak pembangkang termasuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim diperlekehkan sebagai tidak berguna. Itu sebabnya majalah luar dan akhbar-akhbar asing diharamkan kerana melanggar peraturan begitu, selalunya dengan tindakan yang memberikan jawapan yang penuh dengan teka-teki yang buat orang keliru. Beberapa isu keluaran ‘The Economist’, ‘Far Eastern Review’, Asian Wall Street Journal’ dan banyak lagi, masih belum diedarkan walaupun tarikh edarannya sudah lama pupus. Inilah caranya kerajaan menghukum puak yang menentangnya. Perdana Menteri, adalah laksana satu mangkuk purba zaman dinasti Ming, yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang. Dia mudah naik angin, terutama sekali kalau dikemukakan soalan yang membuatkan dia mencemek muka autokratnya. Temubual di CNN (yang terbaru itu) mendedahkan betapa perdana menteri rupanya mempunyai sifat mudah gelabah juga. Kerana temubual CNN itu dianggap satu jenayah yang mesti diperangi. Kelmarin (18 Mei 2002), berita radio dan TV mengutuk CNN dengan tuduhan yang tidak ada asasnya.


Jelas betapa membengkaknya tekanan politik. Barisan Nasional (BN) menjadi gelabah apabila nama Perdana Menteri dicemari. Tidak kiralah apakah Dr. Mahathir muncul dalam satu sesi temu-bual daripada satu ceruk dunia. Itu bukannya program dia kerana dia hanya mengambil peranan sedikit sahaja. Tetapi itulah bahana apabila dia tersilap congak dan kalah. Dia terlupa betapa dia baru sangat menghalakan kesetiaan Malaysia sedikit sahaja kepada Amerika Syarikat, sedangkan itulah tindakan yang belum pernah dilakukan oleh perdana menteri sebelumnya. Dia merelakan perbuatan menjilat itu dengan harapan Washington akan menggugurkan sikap terhadap satu kemusnahan politiknya. Setiap langkah Dr. Mahathir dihantui oleh bayangan Dato’ Seri Anwar laksana watak Macbeth dalam skrip Shakespeare yang dibayangi oleh Hantu. Kemelut itu tidak mudah dilesapkan dengan ugutan dan serangan yang tidak relevan tetapi dibuat secara terancang.


Tetapi, kenapakah berlarutan kekalutan ini? Seseorang ahli politik seharusnya megah dengan kewibawaannya, dan bukan disebabkan cara dia dilayan sentiasa oleh para wartawan yang kurang berpengetahuan sambil berceloteh dengan mereka dalam majlis yang tidak relevan. Dr. Mahathir memang arif dengan format temubual CNN. Seharusnya dia berdiam diri tanpa mahu menggembar-gemburkan bahawa dia telah menguasai majlis pertemuannya dengan Bush. Tetapi perkara itu tidak difahaminya kerana dia memang tidak faham-faham. Dia pergi menemui Bush seolah-olah merafak-sembah membawa ufti, dan itulah yang telah terjadi kerana permintaan itu dipersetujui. Tidak ada perkara lain yang menarik yang telah terjalin kecuali omongan kosong ketika menikmati sajian kopi dan kek sebelum para wartawan dibenarkan menemui mereka berdua. Masakan seekor ular lidi dapat mengongsi sarang seekor naga? Satu minggu sebelum itu, Perdana Menteri Nepal melakukan kunjungan hormat yang serupa menemui Presiden Bush, dan diberikan janji-janji manis yang sama sahaja bentuknya. Kalau dibandingkan apa kenyataan yang dibuat oleh dua tetamu itu selepas keluar daripada Rumah Putih, memang terserlah ketokohan mereka berdua yang sungguh berbeza.

Kenyataan Dr. Mahathir sebaik pulang mendedahkan kegusarannya betapa dia mungkin telah banyak beralah melebihi yang sepatutnya. Dia telah mempalitkan Malaysia dalam rencana sejagat Presiden Bush memerangi perjuangan kebangkitan Islam. Tetapi bukan mengikut syarat yang disenanginya. Washington mahu tunggah enggeh di setiap wilayah di pelosok dunia ketika ia menyelesaikan masalah Indonesia yang memang lama menjadi pilihannya. Inilah caranya sistem hegemoni dilaksanakan. AS sudah mempunyai sekongkolan India di bahagian Asia Selatan dan Jepun di Asia Timur untuk mengekang kebangkitan pengaruh China. Indonesia kini sedang memperbetulkan masalah dalamannya dan kerana itu Washington memerlukan seorang tukang-jilat sementara. Apabila Mahathir menawarkan khidmatnya secara sukarela, Amerika pun bersetuju sahaja. Mahathir tidak punya pilihan lain, kerana Pembangkang sudah semakin berdaya menyusun agenda mereka bersama. Perjuangan Dato’ Seri Anwar untuk mendapatkan keadilan sudah mula menyagat kewibawaan Mahathir. Kerana itu Mahathir mencungap untuk menyelamatkan kulit keringnya dan bukannya maruah negara yang sedang diperjuangkannya. Walaupun usaha itu bermakna dia terpaksa berkonfrontasi dengan CNN.

M.G.G. Pillai.
pillai@mgg.pc.my
Terjemahan SPAR (Suntingan M@R)