Make your own free website on Tripod.com

Pemboikotan Tidak Rasmi Dunia Islam Mula Menjejaskan Dagangan Zionis
(Unofficial boycott begins to hurt Western businessmen and zionists)

Oleh: Waseem Shehzad

Pemboikotan barangan Amerika dan Israel mula membengkak momentumnya terutama sekali di Timur Tengah. Walaupun waktu ini kebanyakan regim Arab belum lagi mengendos gerakan itu. Gerakan pemboikotan itu sedang menjalar, dengan cara orang perseorangan dan berkumpulan bertindak melancarkan kempen di tempat yang baru, terutama sekali melalui internet. Malahan di Arab Saudi yang begitu tersohor amat takut dan setia kepada AS, manusia bertindak secara bersendirian, ataupun berkumpulan ataupun sebagai pedagang, khatib di masjid-masjid dan guru-guru di sekolah dan universiti sedang menyokong kempen semacam itu sehinggakan rakyat marhaen merasakan diri mereka mula mempunyai kuasa untuk kali yang pertama. Berbeza dengan kempen terhadap apartheid di Afrika Selatan pada tahun-tahun tujuh puluhan dan lapan puluhan dulu, yang memang disokong oleh PBB, kempen anti Israel yang ini adalah usaha gelombang tindakan individu, dengan bantuan kuasa yang ada di internet.
Rangkaian jualan makanan Amerika yang ulung sudah semakin tertekan. Para pengurus ruangan makan McDonald’s dan Kentucky Fried Chicken di Mesir telah membuat pengakuan betapa penjualan mereka telah menurun antara 20 hingga 50 persen sejak bermulanya gerakan intifada gelombang kedua, 19 bulan yang lalu. Kerugian yang sama telah dilaporkan di Arab Saudi, yang mengimport keluaran Amerika sekitar US$6 billion setiap tahun, berbanding US$3.7 bilion oleh Mesir. Apabila para pengguna (konsumer) dan kumpulan pro-boikot meletakkan iklan mereka di akhbar-akhbar dan mengirim pesanan di internet, kempen pemboikotan itu telah mula menjeringaikan giginya untuk mula mencengkam bisa. Di Bahrain sebuah kepulauan yang kecil, yang merupakan pangkalan US Seventh Fleet, ada sebuah rangkaian supermarket yang mengumumkan penarikan barangan Amerika yang bernilai hampir satu juta dollar daripada rak jualannya. Kesannya hasil jualan rangkaian perniagaanya naik mencanak sebanyak 60 persen. Para konsumer membanjiri rangkaian supermarket syarikat itu sebagai menghargai keberanian mereka bertindak begitu.
Banyak barangan Amerika lain yang merana teruk seperti Coke, Pepsi, Levi jeans, dan Starbuck. Rokok Marlboro sudah diketepikan, kerana para perokok sudah menukar selera membeli rokok buatan Peranchis ataupun jenama tempatan. Pemilik francais barangan Amerika sedang mencuba tercungap-cungap mendapatkan kembali konsumer mereka dengan pelbagai gimik seperti menawarkan 20 persen keuntungan mereka kepada badan amal untuk menyokong kanak-kanak miskin Palestin, tetapi para konsumer tidak mudah digerakkan oleh iklan murahan seperti itu lagi. Ada peniaga yang memasang iklan di akhbar dan TV menyebut betapa pemboikotan itu menjejaskan pekerja tempatan. Mungkin juga ada benarnya, tetapi rakyat marhaen sudah bersedia untuk berkorban. Yang nyata, kempen pemboikotan itu sedang menjejaskan keuntungan pedagang yang pro-Amerika dan pro-Israel, dan sudah tentu ini menunjukkan kejayaan kempen itu.
Awal bulan ini, para peserta Arab daripada 19 negara telah bersidang di Damsyik, menghadiri Majlis ‘Arab Boycott Bureau’ (Biro Pemboikotan Arab). Biro ini telah ditubuhkan oleh ‘Arab League’ (Liga Arab) pada tahun 1951, untuk menyelia pemboikotan syarikat-syarikat yang berdagang dengan Israel. Itulah persidangan kedua sejak tahun 1993, ketika ia dipaksa oleh tekanan AS untuk menghentikan pemboikotan syarikat pro-Israel selepas selesainya ‘Perjanjian Oslo’. Perjanjian itu dianggap satu penipuan terhadap rakyat Palestin, dan tipu muslihatnya kini sudah difahami oleh semua pihak. Mesir, Jordan dan Mauritania, yang dulu mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel telah menyepi daripada persidangan Damsyik itu. Kerajaan Husni Mubarak, walaupun membenarkan gerakan pemboikotan barangan AS dan Israel, telah enggan menghadirkan diri secara rasmi. Namun, rakyat Mesir masih merupakan penggerak aktif kempen boikot itu, sambil menganjurkan beberapa perhimpunan ralli di kampus universiti hampir setiap hari. Kentucky Fried Chicken menjadi sasaran para penunjuk perasaan di Universiti Kaherah bulan lalu; sehinggakan mereka telah membakar salah satu ruang niaga syarikat itu.
Arab Saudi yang begitu takut dan setia kepada AS, turut bersekongkol dengan Mesir dan Jordan untuk tidak turut serta secara rasmi. Itu sebabnya ia enggan menyokong laungan diadakan sekatan penjualan minyak (embargo minyak) seperti yang dicadangkan oleh Rabbar, Syyed Ali Khemenei daripada Iran, bulan lalu. Ketika berkhutbah pada Jumaat 12 April lalu, beliau menggesa OPEC melancarkan embargo minyak secara keseluruhannya selama satu bulan untuk menekan AS merobah dasarnya menyokong penjenayah perang zionis di Palestin. Dua hari kemudiannya, Iraq mengumumkan sekatan pengeluaran minyaknya. Pengumuman Iraq itu tidak membawa banyak kesan, kerana Arab Saudi telah bertindak mengumumkan peningkatan pengeluarannya untuk memenuhi keperluan dunia. Gelagat regim Saudi itu menunjukkan betapa ia sudah terlalu taksub dengan konsep takut dan setia terhadap Washington. Putera mahkota Abdullah menunjukkan sikap ini ketika melawat George Bush bulan lalu. Dalam pertemuan mereka di Texas, Abdullah membuat pengakuan kepada AS bahawa Arab Saudi tidak akan membenarkan minyak dijadikan laksana senjata perang terhadap AS dan Israel. Pengeluar minyak yang tidak menganggotai OPEC – Mexico, Kanada dan Russia – sudah tentu mampu mengeluarkan minyak yang lebih seandainya ada pengeluar OPEC yang mengurangkan pengeluaran mereka, tetapi mereka memang tidak mampu menggantikan semua pengeluaran OPEC secara keseluruhannya. Kekurangan bekalan minyak di pasaran dunia merupakan satu perkara yang serius kepada ekonomi barat; para penganjur strategi ini mengharapkan ia dapat memaksa AS merobah dasarnya yang rabun menyokong Israel.
Walaupun Arab Saudi enggan menyokong kempen itu secara berkesan, kempen itu telahpun menjalar melepasi wilayah Timur Tengah. Di banyak tempat di Pakistan, Sri Lanka, Malaysia, Indonesia dan Afrika Selatan, konsep pemboikotan itu sudahpun membiak. Kini, umum sudah mengetahui betapa barangan itu mudah dicam melalui nombor yang terletak pada ‘bar-code’ (kod garisan) yang digunakan sebagai pengganti nama negara yang mengeluarkan barangan itu. Semua barangan keluaran Israel dipaparkan di kod garisan itu dengan angka ‘729’; barangan Amerika mempunyai angka yang bermula dengan 00 sehinggalah 09. Para pengguna sudah semakin cerdik kepada tipu muslihat ini, dan senarai barangan Israel dan Amerika sudah disebarkan secara meluas.
Kempen ini memang menghenyak negara zionis ekoran reaksi para penyokong Israel. Ketika John Harris tuanpunya Texas Automotive Export, sebuah perniagaan alat-ganti kereta di Austin, membuat pengumuman beliau ‘tidak mahu berurusan dengan warga Israel’ kerana dasar ganas Israel, dia telah dikecam oleh emel dan panggilan telefon ganas daripada warga Yahudi Amerika. Muka suratnya di Fax ada tertera perkataan: ‘Kami mendesak anda menegah askar anda dan menghentikan kerja-kerja menindas rakyat Palestin’. Beliau juga mengingatkan orang Israel dengan tulisannya: ‘Negara anda sudah kehilangan martabatnya di mata dunia yang bertamadun’.
Tiba-tiba jabatan perniagaan AS masuk campur, mengugut Harris untuk dikenakan tindakan kerana Washington mempunyai dasar ‘pasaran terbuka’ yang menegah pemboikotan barangan Israel (walaupun AS mengenakan sekatan pasaran terhadap negara yang tidak disukainya). Walaupun Harris dipaksa untuk berlembut, episod yang terjadi mendedahkan betapa berkesannya kempen pemboikotan itu sehingga ia telah mencetuskan kerunsingan pada negara zionis dan para penyokongnya di seluruh dunia.
Tamat
Terjemahan oleh SPAR Terjemahan oleh: SPAR (Suntingan Z-M@R)