Make your own free website on Tripod.com

Polis Paling Cekap Dalam Soal Ketidak-cekapan
(Highly-efficient Police Inefficiency)
2/5/02.


PDRM memang cekap, baik urusannya dan cekal perkhidmatannya bukan kepada negara tetapi kepada kumpulan yang memerintahnya. Pada orang lain PDRM ialah satu pasukan yang amat berbeza, yang begitu sukar untuk ditelah, memihak-mihak, dan suka bertelagah. Tidak ada siapa yang suka berurusan dengan pihak polis: satu usaha membuat satu laporan kemalangan akan menelan masa sepuluh jam jika tidak lebih lama daripada itu. Inilah sebuah agensi kerajaan yang tidak disenangi oleh majoriti rakyat Malaysia. Bahana tersentuh dan berurusan dengan PDRM adalah begitu menakutkan ramai orang untuk memikirkannya. Kalau ada kisah akan berlakunya satu tunjuk perasaan, sudah pasti akan muncul satu pasukan polis yang lengkap dengan segala kelengkapan perangnya berbanding mereka yang berkumpul kerana mahu menyerlahkan keperitannya. {Tetapi anda boleh lihat sendiri, betapa polis akan berdiri tegak sembil lewa kalau tunjuk perasaan itu diadakan oleh Pemuda UMNO ataupun kumpulan manusia yang menjulang segala sanjungan ampu (bodek) Perdana Menteri} Cuba lihat apa jadi kalau Dato’ Seri Anwar Ibrahim muncul di mahkamah, polis akan menyibuk menentukan siapa yang layak masuk menjadi pemerhati perjalanan mahkamah di situ. Namun, Perdana Menteri akan memberitahu anda betapa kita mempunyai satu pasukan polis yang terpuji. Dia memang amat arif akan perkara ini, kerana dia menerima perlindungan mereka yang ketat setiap kali dia bergerak ke sana-sini. Namun begitu, dia lebih selesa dengan perlindungan pasukan polis luar negara, dan itu sebabnya dia kerap keluar (untuk menyorok di sebalik perlindungan mereka).

Polis Malaysia memang pandai menghuru-harakan kumpulan tunjuk perasaan. Memang sukar pasukan lain menandingi mereka, apalagi kalau cara menghayun belantan, melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan senjata M-16. Tetapi, mereka tidak pakar dalam kerja-kerja menyelesaikan masalah jenayah ataupun apa sahaja yang menyebabkan mereka dibayar gaji. Lihat sahaja kepada kes pembunuhan yang masih tidak diselesaikan. Kalau anda membuat laporan akan satu rompakan, anda tidak akan mendengar kisah itu lagi. Sejak bilakah adanya kes pembunuhan yang dapat diselesaikan oleh polis? Hanya ada dua kes yang boleh diingati ketika ini: pembunuhan Audrey Meliss dan Dr. Joe Fernandez, bekas wakil rakyat Lunas. Undang-undang digubal dan sengaja diperlekehkan, kerana polis tidak ambil pusing apakah undang-undang itu dipatuhi. Sebagai contoh, kalau anda turun di stesen LRT dan menunggu sebuah teksi di perhentiannya, anda boleh bersiul untuk mendapatkannya, kerana cara mendapatkanya tidak perlu beratur lagi. Undang-undang beratur sengaja dilupakan dan tidak ada sesiapa yang peduli.

Sekali sekala polis akan menonjolkan kuasanya secara sengaja dan membuatkan masyarakat merana kerananya. Lihat kepada cara polis mengutip saman. Ia tidak berusaha melakukan apa-apa terhadap saman yang dikeluarkan selepas 1999. Kita pernah diberitahu betapa sistem komputer polis adalah sentiasa canggih membolehkan setiap saman dirakamkan serta merta. Begitulah canggihnya sistem komputer polis itu sehinggakan JPJ menggunakan maklumat komputer polis untuk memaksa orang ramai menyelesaikan saman mereka sebelum dibenarkan memperbaharui lesen kereta mereka. Namun, mereka yang memperbaharui lesen 2002 mereka telah diberitahu betapa ada saman polis pada tahun 1999 yang masih belum dilunaskan lagi. Bagaimana boleh terjadi perkara ini? Lesen 2002 itu dikeluarkan kerana komputer polis tidak ada sebarang catatan saman yang belum dilunaskan. Jadi, daripada mana datangnya semua saman yang ada?

Polis tidak memberikan penjelasan bagaimana boleh wujud ratusan ribu saman trafik, dan bagaiaman pula semua maklumat itu tidak dirakamkan oleh sistem komputer yang canggih itu, ataupun bagaimana JPJ boleh mengeluarkan lesen yang tidak sepatutnya mereka lakukan? Kerenah polis melancarkan kempen melunaskan saman trafik adalah satu bentuk peras-ugut. Kerajaan sudah muflis dan tidak mempunyai dana untuk urusan hariannya, dan inilah cara yang termudah untuk mendapatkan dana itu. Saya telah diberitahu bahawa inilah sebabnya polis terdesak semacam ini sekali dulu. Tetapi ia juga bertujuan untuk menyusahkan orang ramai. Lihat sahaja barisan manusia di balai polis dan bagaimana orang ramai terdesak berbaris sehingga lapan jam untuk membayar saman mereka. Pihak polis tidak membenarkan anda berbalah dalam kes saman mereka. Anda terpaksa membayar apa juga saman yang telah dikenakan, pada masa dulu. Kalau anda degil terpaksa pergi mahkamah menentangnya, kalau anda mampu. Tetapi, oleh kerana anda tidak membayarnya ketika diarahkan dulu, anda tidak dibenarkan memperbaharui lesen kenderaan anda.

Timbalan perdana menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, ialah juga menteri dalam negeri. Dia tidak nampak salah silapnya kerenah polis kali ini. Dia belum lagi melihatnya sebagai satu contoh betapa kurang efisennya polis, dan apa yang dilihat orang ramai sebagai kehaprakan polis menjalankan tugas mengikut undang-undang yang digubal. Sebaliknya dia mahu orang ramai yang kena saman itu melunaskan saman tersebut secepat mungkin. Ini bukannya kali pertama dan sudah pasti bukan kali yang terakhir, di mana polis akan menyerlahkan kehaprakan mereka kepada masyarakat Malaysia. Sistem komputer polis bukannya secanggih mana. Mana tidaknya apabila seorang UMNOputra yang satu ketika dulu menjual nasi lemak ataupun memandu teksi diberikan kontrak untuk menyediakan sistem komputer polis itu – dan tujuannya bukan tertumpu menyediakan satu sistem komputer yang canggih, cuma membalun sebanyak wang yang boleh dalam urusan bekalannya itu. Sistem komputer polis gagal sebaik sahaja ia dipasang. Anggota polis tidak arif mengendalikannya. Lagipun sistem komputer itu begitu haprak sehinggakan hanya segelintir anggota polis sahaja yang faham mengendalikannya.

Itulah caranya keberkesanan polis membengkak. Itu juga caranya kerenah birokrasi di setiap cawangan jabatan kerajaan. Kerajaan mempunyai mantera yang melagukan betapa komputer dan teknologi tinggi adalah gelombang kecekapan pada masa depan. Keadaan sebenar adalah sebaliknya. Kalau sesuatu kerja itu terlalu rutin, komputer dan hi-tek memang boleh membantu. Tetapi, kalau ada satu tenaga kerja yang cekap mengendalikannya. Satu sistem komputer yang berpada boleh diransang secara berkesan seandainya orang yang menguruskannya tahu bagaimana caranya. Sistem yang terbaik dalam dunia hanya akan mengaut habuk sahaja kalau tidak ada malaun yang pintar mengendalikannya.

Di Malaysia kisah yang terakhir disebut tadi adalah amat menyerlah. Ia memang sungguh menyerlah. Bukan sahaja di jabatan polis, tetapi di setiap jabatan kerajaan. Sepatutnya sudah wujud satu sistem berintegrasi yang menghubungkan setiap ranting kerajaan. Tetapi di Malaysia kita kerap melihat sistem yang tidak dapat saling berhubung antara satu dengan lain, yang boleh dikawal di bahagian pusat dan menyebabkan kerja-kerja menggunakan komputer menjadi satu igauan hidup sahaja. Inilah yang berlaku dalam sistem komputer polis. Di zaman sebelum komputer menjelma, kalau anda membuat kesalahan trafik, anda diberi saman ataupun satu tawaran menyelesaikan saman itu secara kompaun dalam masa enam minggu. Dengan munculnya komputer polis, proses saman itu memakan masa enam tahun. Ini menunjukkan betapa cekapnya polis dalam kisah ketidak-cekapan mereka. Kerajaan tidak memiliki sebarang insentif untuk membetulkannya. Inipun ada gunanya juga: setiap kali kerajaan memerlukan sedikit wang belanja, ia boleh memaksa orang ramai mengeluarkan belanjanya.

MGG Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan oleh SPAR (Suntingan M@R)