Make your own free website on Tripod.com

Tindakan Terakhir Sharon
(Sharon’s Final Move)
oleh: Aluf Benn – Ha’aretzdaily 21/4/02.

Sudah semakin banyak pertanda menunjukkan Ariel Sharon dan kerajaannya sedang melakukan tindakan terakhir dalam urusan pentadbiran mereka. Kerja-kerja jijik menghalau pemimpin Palestin daripada wilayah kekuasaannya sudah pasti memerlukan banyak tenaga dan menyulitkan kerajaan dan kesannya memungkinkan kedua-dua pemimpin; Pengerusi Pentadbiran Palestin Yasser Arafat dan Perdana Menteri Ariel Sharon melepaskan jawatan mereka untuk memberi laluan kepada pemimpin daripada generasi baru, yang terpaksa bergelumang dengan kesan peperangan itu.
Ketika keghairahan disebabkan sokongan awam terhadap ‘Operation Defensive Shield’ (Operasi Perisai Pertahanan), perdana menteri itu telah ternampak satu peluang keemasan untuk menjatuhkan Arafat untuk selama-lamanya, dan keazaman itu telah dikongsi sama oleh Presiden Bush dan kumpulan ‘hawk’ dalam pentadbiran beliau yang menyokongnya.
Kini, masa keemasan itu sudah semakin menghampiri garisan penamatnya. Tidak lama lagi AS akan bersiap-sedia melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iraq dan akan menuntut agar Israel berdiam kaku. Bush mahu mengusahakan pertabalan seorang pemimpin baru di Baghdad dan secara khususnya mahu merobah imbangan kuasa di rantau itu. Apabila menang, Amerika mahu memaksa Palestin menyetujui satu proses damai dengan Israel sebagai pertukaran mendapatkan sokongan Saudi dalam usaha menggulingkan Saddam Hussein. Israel memang bersedia dengan proses damai itu tanpa Arafat.
Sharon sedang cuba meniru tindakan Almarhum Presiden Hafez Al-Assad yang mendahului gerakan AS mengganyang Iraq pada akhir tahun 1990, dengan menakluki Lubnan dan menyingkirkan General Michael Agun, dan pakatan Kristian pimpinan beliau daripada percaturan politik dan mengnyahkannya ke Peranchis.
Jadual politik itu dikatakan tidak berapa menekan. Selama beberapa minggu, Sharon telah menunjukkan kecenderungan berfahaman ke kanan, walaupun ramai dalam Parti Likud semakin percaya dia tidak punyai banyak peluang untuk memenangi kembali peluang menjadi perdana menteri untuk tempoh yang kedua dan yakin tempatnya itu akan digantikan oleh Benjamin Netanyahu.
Persaraan Uri Shani, yang mengetuai biro jabatan Sharon sedangkan beliau adalah pembantunya yang setia, memberikan isyarat betapa di kalangan pembantunya yang akrab, tidak ramai yang percaya Sharon merupakan calon yang disukai ramai dalam pertandingan itu. Walaupun Sharon memberikan alasan berbeza kerana mahu mengundurkan dirinya, adalah sukar mengabaikan mesej politik yang bergegar. Kapal yang dikuasai Sharon sudah kehilangan nakhodanya dan sedang senget untuk tenggelam sahaja.
Kalau Sharon berjaya mengusir-keluar Arafat, dia mampu menyudahkan tempoh perkhidmatannya dengan kilauan kejayaan politik dan berundur daripada pentas politik sebagai juara dalam peperangan mengganyang Palestin, dan sebagai orang yang berjaya mengembalikan kuasa Israel membendung kemarahan Palestin. Semua musuh Israel tentu sedar sekarang betapa berbahayanya masa depan mereka dan tentu berfikir dua kali apabila mahu menyerang Israel ataupun menggunakan keganasan.
Adalah malang kepada Sharon apabila segala tindakannya itu tidak akan menyumbang sebarang markah dengan Likud, kerana Netanyahu sudah berada lama di sana, berkhutbah beberapa bulan lamanya agar Arafat dihalau sahaja. Ironisnya nanti, terpulang kepada Netanyahu, seandainya beliau yang menggantikan Sharon, untuk menangani ‘krisis’ itu kalau-kalau penyingkiran Arafat menjadi satu kenyataan.
Ketua Turus tentera, Shaul Mofaz, adalah seorang lagi yang taksub mahu menghalau Arafat keluar, dan beliau melihat perkara itu menjadi satu kenyataan sebagai hadiah perpisahan kepadanya yang dijangka bersara pada akhir bulan Julai. Itulah cara beliau memperbaiki peluang memegang portfolio pertahanan dalam kabinet kerajaan Likud yang akan datang.
Sharon berpendapat bahawa penyingkiran Arafat akan memberi laluan kepada kepimpinan alternatif di rantau itu - satu kepimpinan yang dibayangi oleh ketokohan Arafat. Ketua Turus itu yakin bahawa usaha meminggirkan Arafat daripada kumpulan pejuang relamati, mampu melumpuhkannya, walaupun masa yang panjang diperlukan untuk seorang pemimpin baru mengambil tempatnya dan Israel terpaksa menyogoknya dengan konsesi politik dan bantuan kewangan.
Ramai pemimpin politik menjadi pessimis. "Penyingkiran Arafat akan membawa erti tidak akan ada sebarang perjanjian dalam masa satu dekad yang mendatang, ataupun selagi Arafat masih bernyawa. Penyingkirannya hanya untuk menyelamatkan pihak yang tidak mengingini proses damai," kata seorang menteri.
Sharon memang bertegas mahu menyingkir Arafat. Namun dia sedar betapa impiannya bergantung kepada banyak faktor. Ada pihak yang menganggap bahawa Sharon hanya menantikan satu lagi serangan keganasan untuk memberi beliau peluang menyediakan alasan dan dalil yang menyokong tindakan ganasnya dan membuatkan pihak yang membangkangnya dalam kabinet untuk menutup mulut mereka.
Kini ada satu rencana mahu menyerbu kawasan perumahan Arafat di Ramallah untuk menangkap beberapa militan yang bersembunyi di sana. Tetapi rencana itu akan bercanggah dengan sasaran strategik untuk mengusir Arafat yang sudahpun dipersetujui oleh Amerika. Sudah pasti Mesir dan Jordan akan bertindak marah dan menggantung perjanjian damai mereka dengan Israel – ini adalah satu risiko tinggi yang tidak berbaloi sekali.
Ada dua tokoh yang cuba membantutkan rencana mengusir Arafat – Menteri Luar Shimon Peres, yang masih menganggap Arafat sebagai seorang rakan untuk perdamaian dan yang telah bertindak pada hujung minggu lalu, sebagai satu usaha mengekang keganasan Sharon, telah meminta Setiausaha Negara Amerika, Collin Powell yang melawat Israel ketika itu, agar menyelamatkan Arafat. Tetapi usahanya telah dicemuh sahaja oleh pemimpin Palestin itu.
Sharon masuk campur tangan membantu Amerika dan memberi cadangan agar satu persidangan antarabangsa dijadualkan untuk membincangkan suasana damai yang membantu serangan terhadap Iraq. Arafat memberi penghormatan kepada Powell dengan apa yang disebut ‘ugutannya untuk menyemarakkan jalanraya Palestin (dengan keganasan) terhadap Amerika Syarikat’.
Berjayakah Kerajaan Penyatuan Negara (Israel) menyingkir Arafat, sedangkan usaha itu sudah tertangguh sejak perayaan ‘Passover’ disebabkan menteri Parti Buruh? Dalam satu mesyuarat kabinet yang diadakan sejurus selepas pembunuhan beramai-ramai di Netanya, Sharon telah mengabaikan amaran ketua-ketua beberapa agensi risikan dan masih degil mahu mengusir Arafat keluar. Tindakan itu hanya dilengahkan oleh kekalutan politik.
Rupanya, kini Sharon beranggapan dia dapat melumpuhkan penentangan menteri pertahanan itu. Benjamin Ben-Elizer pernah bercakap satu ketika dulu bahawa Arafat sudahpun memainkan peranannya yang bersejarah itu dan seharusnya tidak diperlukan lagi. Ben Elizer menentang rencana penyingkiran Arafat itu adalah berasaskan kegusaran akan munculnya kekalutan politik dan bukannya takutkan Arafat secara tiba-tiba menonjol sebagai tokoh yang inginkan kedamaian. Pada satu ketika dulu Ben-Alizar turut membantah penangkapan pemimpin Tanzim, Marwan Barghouti, tetapi kali ini dia cepat mengalu-alukan penangkapannya.
Peres merupakan tokoh yang lebih sukar, walaupun beliau tidak menaruh harap kepada kerajaannya membiarkan Arafat terus menetap di rantau itu. Peres sedar betapa dia akan menghabiskan masa yang perit memberi penjelasan kepada orang awam kenapa dia berundur daripada pucuk kepimpinan kerajaan semata-mata mahu mempertahankan Arafat.
Terjemahan oleh: SPAR (Suntingan Z-M@R)