Make your own free website on Tripod.com

Ketakutan dan Iktibar di Amerika
(Fear and learning in America)
oleh: Robert Fisk – Independent – 17/4/2002.
Bahagian 2: Robert Fisk

Ada satu judul di ‘Daily Iowan’ minggu lalu, yang berbunyi ‘Fisk: Siapakah pengganas itu sebenarnya?’ Tajuk itu setidak-tidaknya menyauk mesej saya, dan merupakan salah satu contoh saja betapa akhbar Amerika memang mempunyai sikap ‘bias’ di Timur Tengah, walaupun ia gagal memahami fakta dengan memberikan laporan silap betapa PBB (sedangkan sebenarnya ialah Suruhanjaya Israeli Kahan yang lebih berkesan) yang membuat rumusan bahawa Sharon telah ‘bertanggungjawab secara peribadinya’ dengan pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatilla. Laporan ‘Des Mones Register’ telah merakamkan syarahan saya yang sungguh menarik. Ia memberi fokus kepada wawancara saya dengan Osama bin Laden - seperti yang saya tekankan dalam ucapan saya – dan kemudiannya merujuk kepada catatan saya bagaimana orang-orang Afghan telah membelasah saya Disember dulu. Saya telah memberitahu hadirin di Amerika betapa orang Afghan telah begitu marah kepada pengeboman bertalu-talu AS yang baru sangat membunuh sanak-saudara mereka di Kandahar dan kerana itu adalah penting merakamkan fakta itu dalam laporan saya mengenai peristiwa tersebut. Ia memberikan penekanan dan alasan kenapa orang Afghan menyerang saya. ‘The Register’  telah merakamkan perkataan yang pernah saya gunakan untuk menggambarkan serangan itu tetapi tidak pula menyatakan alasannya. Dirgahayu, saya fikir ‘Iowa City Press-Citizen’  yang mempunyai kata pojok – ‘Wartawan Timur Tengah Kutuk Media’ – kerana memahami kisah sebenar.

Orang-orang Iowan bersikap demikian bukanlah kerana mereka tidak sedar kisah di Timur Tengah. Di sebuah pekan kecil di Davenport, orang Israel telah dilatih dengan sistem helikopter pejuang Apache AH-64 yang digunakan untuk membunuh orang Palestin yang tercatat namanya di senarai hukuman Israel. Mengikut seorang wartawan, beberapa syarikat di Iowa, termasuk pejabat wilayah Rockwell, terlibat dengan kontrak ketenteraan bernilai berjuta-juta dollar Amerika dengan Israel. Cemen Tech di Indianola membekalkan kelengkapan untuk tentera udara Israel. Pada hari saya tiba di Iowa City, John Ashcroft, Peguam Negara AS, telah memberitahu warga Iowa betapa satu ratus penduduk asing ‘daripada negara yang dikenali sebagai tuan rumah pengganas’ telah disoal-siasat di negara itu. Seratus lagi berkemungkinan di’temuabual’. Tidakpun ada sebarang komen lidah pengarang mengenai perkara ini.

Itu sebabnya kuliah di Iowa Universiti menjadi begitu menarik. Ada seorang wanita muda yang mengumumkan betapa dia sedar kenapa media Amerika bersikap bias. Apabila saya menyoal beliau, dia menjawab bahawa ‘ada hubung-kait dengan sikap Amerika menyokong Israel....’ dan kemudian, dia menjadi begitu marah dan terus berdiam diri. Tetapi tidak pula begitu dalam kelas kajian global yang dihadiri oleh Rex Honey. Setelah saya menjelaskan perangkap tentera yang dipasang oleh Amerika di Afghanistan – kelentongan kemenangan mereka dengan kerja-kerja susulan menghapuskan Al-Qaeda, dan kemudiannya kisah pertemuan setiap hari untuk bergocoh dengan panglima perang Afghan dan serangan curi terhadap askar Barat – diapun mengangkat tangan. "Jadi, bagaimana kita boleh menewaskan mereka?" beliau bertanya. Inilah yang mencetuskan hilaian ketawa di ruang bilik kuliah itu. "Kenapa anda mahu mengalahkan orang Afghan?" saya menyoalnya. "Kenapa tidak bantu mereka membina membangunkan tanahair mereka yang baru?" Pelajar itu mencari saya kemudiannya, sambil menghulurkan tangannya. "Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada tuan, kerana mengajar saya perkara itu," katanya. Saya mengsyaki bahawa beliau adalah seorang askar. Apakah anda berniat memasuki pasukan tentera darat?" kata saya. "Tidak tuan," jawabnya. "Saya mahu masuk pasukan marines."

Saya ingatkan beliau mengelakkan Afghanistan. Tetapi begitu juga telatah akhbar perdana Amerika. Dua hari kemudiannya, ‘The Los Angeles Times’ menyiarkan artikel yang dikirim oleh David Zucchino, yang melaporkan kemarahan dan kebengisan orang Afghan yang kehilangan ahli keluarga yang dibunuh oleh serangan bom B-52 Amerika Syarikat. Peperangan Amerika terbaru di Gardez, mengikut laporan itu adalah ‘saki-baki keperitan yang sudah berlaku.’

Kalaulah sikap berterus-terang itu digunakan dalam peperangan Palestin-Israel... tetapi tidak pula. Di lebuhraya yang melepasi Long Beach pada Jumaat itu, saya telah membuka ‘LA Times’ untuk membaca kisah Israel ‘melakukan ‘mop-up’ operasi susulan di Tebing Barat.’ Ketika yang sama penulis ‘syndicated columnist’ Mona Charen telah menulis mengingatkan pembaca di akhbar lain betapa ‘98 peratus orang Palestin TIDAK pernah tinggal di bawah penaklukan selepas Israel mengundurkan diri mengikut perjanjian Oslo’ dan perdana menteri Israel ketika itu, Ehud Barak, telah menawarkan Arafat  ‘97 peratus tanah di Tebing Barat dan Gaza’. Ini bererti 1 peratus lebih tinggal daripada perangkaan (statistics ‘Michael’) di radio WSUI/KSUI. Arafat yang digambarkan sebagai ‘pembunuh kejam yang memenggal ribuan kepala Arab dan yahudi’ – bertanggungjawab dengan dosa itu. Mengikut Charen masalah Israel dan negara yang berjiran dengannya, ‘bukanlah kisah penaklukan, dan bukannya penempatan dan semestinya bukan kelakuan Israel yang sungguh kejam dan bengis. Isunya adalah kerana Arab yang tidak mampu hidup secara aman dengan orang lain’.

Mungkin juga California mempunyai perbezaan dengan bahagian lain di Amerika Syarikat. Tetapi para wartawan di sana termasuk pelajarnya kelihatan lebih bijak daripada mereka yang ada di Midwest America. ‘The Orange County Register’ yang merupakan akhbar konservatif secara tradisinya di satu kawasan yang kini dihuni oleh penduduk Latino setakat 50 peratus, telah mencuba menerbitkan kebenaran di Timur Tengah dan menyiarkan artikel yang berat tulisan Holger Jensen, yang memberi amaran seandainya Presiden Bush tidak mengawasi Sharon, perdana menteri Israel (sekarang): ‘beliau akan berjaya di mana Osama bin Laden telah gagal; memaksa kita berperang melawan satu tamadun yang mengandungi 1.2 bilion umat Islam’. Ketika saya dijamu oleh tiga orang pegawai kanan sidang pengarang, mereka telah menjemput tiga orang tetamu daripada masyarakat Islam Orange County untuk turut serta.

Jamuan koktel dengan kawan-kawan di Methodist Church telah mendedahkan betapa ramai yang arif mengenai Timur Tengah - salah seorang tetamu naik marah dengan kenyataan terbaru menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel – Uzi Landau yang pernah berkata bahawa “kita bukannya berdepan dengan manusia, tetapi haiwan." Seorang tetamu berkulit hitam memuji Kofi Anan kerana mengkritik Israel. Tetapi, bila saya belek Fox News, muncul gelagat Benjamin Netanyahu yang cuba menonjol lebih dahsyat daripada Sharon dengan membuat pengumuman betapa pengebom relamati Palestin berkemungkinan muncul di jalanan Amerika, bertemu ahli Congress meminta bantuan mereka di Israel dalam rencana ‘peperangan mengganyang keganasan’ ketika Setiausaha Negara AS, Collin Powell, berada di Israel.

Ada satu komen dalam ‘The New York Time’ yang berjodol ‘Kenapa Israel mesti meneruskan Misinya’ yang tersiar pada Jumaat dulu. Artikel itu panjang meleret-leret menceritakan kisah perang salib Israel menentang ‘keganasan’ oleh seorang kolonel tentera Israel, Nitsan Alon, termasuk beberapa ungkapan kegemaran yang diselitkannya, termasuk kisah ‘beberapa orang awam’ yang katanya –’terkena peluru sesat’.
Ketika saya memberikan ucapan kepada satu kumpulan manusia kelas menengah yang menganggotai sebuah Kelab sosial di sana, akhbar-akhbar yang menerima kecaman saya sudahpun semakin sedar akan sebabnya. Mark Kellner muncul untuk membuat laporan kepada ‘The Washington Times’. "Dia mahu membalas balik apa yang pernah anda sebut," kata seorang kawan memberi ingatan. ‘The Washington Times’ merupakan sayap kanan Parti Republican. Kita tengok dulu.

Kalau pendengar ceramah saya merupakan orang Amerika yang tidak mempunyai kaitan sejarah dengan Timur Tengah, tetapi keadaan yang sama tidak boleh disebut mengenai jamuan koktel pada satu Ahad di rumah Stanley Sheinbaum, seorang filantrofis (dermawan), pengumpul hasil seni, dan libertarian – kita mahu lupakan yang dia mengetuai Jabatan Polis Los Angeles – di mana kemunculan saya telah mencetuskan beberapa pertengkaran mulut. Sheinbaum pernah bertemu Presiden Syria Hafez-al-Assad atas jemputan Jimmy Carter, sambil mengaturkan pertemuan persidangan puncak di Geneva. "Cuba sebutkan apa yang menariknya akan diri anda," tanya beliau kepada saya. Apakah anda tidak pernah mendengar sesuatu yang baik daripada orang lain, saya tanya pula?" Dia menjawab "Tidak".

Tetapi saya senang hati dengan Sheinbaum, orang lama yang pintar berjenaka dan usianya sekitar lapan puluhan. Beliau menggalakkan masyarakat yahudi liberal Amerika mengeluarkan pendapat mereka mengenai Timur Tengah. Ketika waktu makan tengah hari, kabus mula menyelimuti taman mawar dan villas serta kolam renang dan bukit-bukau di Brentwood. Seorang rabbai, Rabbai Haim van Beliak muncul ke hadapan untuk memberi penjelasan bagaimana dia mahu menutup operasi bingo dan perjudian di salah satu perkampungan terbesar yahudi yang ditaja oleh Amerika. "Telefon saya apabila anda tiba di Beirut – sila tulis perkara itu." Ketika kami menikmati strawberri yang dihidang oleh Stanley Sheinbaum dan menghirup wain merah California yang sungguh enak, seorang rabbi telah mendekati kami. "Anda akan menemui segelintir manusia liar di antara hadirin nanti," katanya. "Biarkan mereka mendengar kebenarannya."

Saya mulakan syarahan dengan bercakap perihal penakutnya Setiausaha Collin Powell, yang berkeliaran di Mediterranean untuk memberikan masa kepada Sharon menyudahkan kemusnahan khemah pelarian Jenin. Saya ceritakan kisah mayat yang mereput di Jenin dan bahan bukti yang semakin bertimbun betapa pada 1982 dulu, askar pimpinan Sharon telah menyerahkan mangsa yang masih bernyawa di Sabra dan Shatilla kepada kumpulan Phalangist untuk didera dan dibunuh akhirnya. Saya sebutkan betapa Arafat tidak pernah diberikan 96 peratus tanah Tebing Barat ketika mereka berunding di Camp David. Saya telah menasihatkan sekitar 100 orang di bilik itu untuk membaca tulisan wartawan Israel, Amira Haas yang membuat laporan yang sungguh berani di Haaretz. Saya ceritakan keadaan dahsyat di kem Palestin. Saya ceritakan kisah pengebom relamati sebagai ‘jahat’ tetapi saya cadangkan bahawa Israel tidak akan memperolehi keselamatan sehinggalah ia mematuhi resolusi Majlis keselamatan PBB nombor 252; betapa Israel tidak akan dapat kedamaian kecuali ia keluar daripada Tebing Barat, Gaza, Golan dan Jerusalem Timur.

"Saya merasa sukar untuk menyoal anda, kerana apa yang anda sebutkan itu membuatkan saya marah," kata seorang wanita selepas itu. Kenapakah saya tidak sedar bahawa Palestin mahu menghancurkan Israel dan hak pulang semula akan menghancurkan negara itu? Selama satu jam saya perjelaskan kebenaran yang saya lihat di Timur Tengah; betapa Israel yang begitu perkasa berperang semacam pertempuran penjajah yang lalu. Saya ceritakan kisah peperangan Algeria 1954-62, pertempuran yang sungguh ganas dan kejam, askar Peranchis telah mendera dan membunuh, orang Algeria memusnahkan orang awam. Itulah pertempuran yang seiras dengan konflik Palestin-Israel. Saya bercakap mengenai orang Palestin yang mahu sekurang-kurangnya satu pengakuan terhadap kekejaman yang dilakukan kepada orang mereka yang menderita episod 1948 itu. Ketika itu kebanyakan orang Palestin yang sedar betapa pentingnya menerima pampasan kewangan yang memuaskan semua pelarian Palestin yang kehilangan rumah dan tanah perkampungan mereka. Saya ceritakan kisah Sharon dan rekod buruknya di Lubnan. Begitu juga perihal tekanan pelobi yahudi di Amerika. Begitu juga ketakutan dilabel sebagai anti-Semite dan laporan haprak mengenai Timur Tengah.

Seorang rabbi merupakan orang pertama yang bangun dan memberitahu kemudiannya betapa orang Palestin telah dimangsakan, dan seharusnya diberikan tanah mereka. Seorang wanita bertanyakan nama buku yang baik-baik mengenai peperangan Algeria. Sayapun berikan nama buku itu: Tulisan Alastair Horne ‘A Savage War of Peace’. Ada satu kad nama yang diunjukkan kepada saya; "Itu adalah satu syarahan yang sungguh bermakna!" kata pemilik kad itu dan di bahagian bawahnya - walaupun saya tidak suka mendengar perkataan ‘bermakna’ – saya tidak dapat melupakan nama pemiliknya ialah Yigal Arens, anak lelaki kepada salah seorang menteri sayap kanan Israel, yang pernah memberitahu saya – di Beirut pada tahun 1962 – betapa Israel akan teruskan ‘melawan seterusnya’ keganasan Palestin.
Di lebuhraya menuju LAX kemudiannya, bangunan terminal dan menara kawalan kelihatan jelas melalui jerebu yang menyelimuti California. Saya membuka LA Times terbitan Sabtu. Ada satu laporan pada muka surat 12 yang mendedahkan satu filem yang mendapat pengikhtirafan BBC mengenai pembabitan Sharon dalam pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatilla, terpaksa digugurkan daripada satu festival filem Kanada kerana ada protes daripada satu kumpulan Yahudi. Penaja festival itu telah menjelaskan betapa ‘The Accused’ boleh mengundang minat kumpulan tertentu – apa sahajalah maknanya. Tetapi ada satu perenggan di akhir laporan itu yang menarik pandangan saya. "Sharon yang merupakan menteri pertahanan ketika itu, didakwa memudahkan serangan ke atas khemah pelarian di Sabra dan Shatilla...". Tengok perkara itu sekali lagi. Didakwa? Berapa surat yang mengandungi kemarahan orang yang sepatutnya muncul ekoran pembohongan kecil yang boleh dielakkan? Memanglah didakwakan.

Sebaliknya pula, saya tidak fikir orang Amerika yang saya temui mudah ditipu dengan penipuan ini. Saya tidak fikir tuan punya hotel tempat saya menginap dapat menerima andaian ‘didakwa’ itu. Begitu juga halnya dengan pegawai tentera laut daripada kapal ‘John F. Kennedy’. Begitu juga para pendengar KSUI. Tentu sekali tidak Stanley Sheinbaum. Memanglah, Osama bin Laden telah memberitahu saya pendapatnya bahawa orang Amerika tidak faham akan hal Timur Tengah. Mungkin dia betul ketika itu. Tetapi tidak lagi sekarang ini.

Terjemahan oleh: SPAR (Suntingan Z-M@R)