Make your own free website on Tripod.com

Ketakutan dan Iktibar di Amerika
(Fear and learning in America)
oleh: Robert Fisk – Independent – 17/4/2002.
Bahagian 1 daripada 2

Osama bin Laden pernah memberitahu saya betapa orang Amerika tidak memahami Timur Tengah. Minggu lalu, ketika berada dalam sebuah bas ‘shuttle’ yang sedang merayap menyusup lembah Iowa, saya membuka satu buku ‘Dis Moines Register’ dan sedar betapa Osama bin Laden telah berkata yang benar. ‘BIG HOG LOTS CALLED GREATER THREAT THAN BIN LADEN’ (Kandang babi memberikan ancaman yang lebih hebat daripada Osama Laden) menjadi judul akhbar tempatan. Demikianlah kisah bilangan babi yang mencecah 1.5 juta ekor di sana yang mengeluarkan tahi yang banyak sehingga mencetuskan masalah pencemaran saluran air di sana. "Pengeluar babi yang besar-besar sedang menjadi ancaman yang lebih besar kepada Amerika syarikat dan demokrasi AS berbanding Osama bin Laden dan rangkaian keganasannya”, kata Robert F. Kennedy Junior, Presiden sebuah kumpulan alam sekitar New York. "Kita telah melihat bagaimana nilai hidup Amerika dimusnah dan didera oleh pendera begini," kata Kennedy. “Sayapun keluarkan kalkulator saku saya dan mula mencongak. Saya dapati, Cedar Rapids, adalah 7,000 batu daripada Afghanistan, semacam satu planet yang lain, lagaknya.”
Selama bertahun saya berulang-alik ke Amerika Syarikat, memberikan syarahan di Princeton ataupun Harvard ataupun Brown University, Rhode Island, San Francisco, Madison ataupun Wisconsin. Hanya Tuhan yang tahu kenapa. Saya menolak semua bayaran dan selesa terbang secara ‘business-class’  berulang-alik daripada Beirut kerana saya tidak tahan mendengarkan tangisan bayi selama 14 jam sepanjang perjalanan itu. Pelajar universiti Amerika memang kental laksana paku dan menjemukan laksana kubis, dan di beberapa bandaraya – Washington mengatasi senarai saya – kerana ada kalanya lebih baik saya bercakap dengan bahasa Amharic (bahasa rasmi Eriteria – penterjemah). Seandainya anda tidak menggunakan frasa seperti ‘proses kedamaian’, ‘pulih seperti sediakala’ ataupun ‘Israel sedang dikepung’, ada semacam satu gencatan fungsi komputer di wajah para hadirin. Semacam ‘total disk failure’ (cakera keras yang meragam sepenuhnya). Tidak ada sebab hadirin baru saya akan mempunyai sikap yang berbeza.

Memang ada pengecualiannya. Pernah muncul seorang tua berkulit hitam di Chicago University. Beliau mengemukakan soalannya yang pertama mengenai Timur Tengah setelah memberitahu bahawa dia tidak pernah membayar cukai pendapatan (IRS) sejak 1948. Ini satu dakwaan yang sungguh hebat sehingga saya memberi ancaman mahu menghentikan beliau berceloteh. Ada pula satu kumpulan manusia yang bersekongkolan mendesak bahawa kerajaan AS sengaja memasang bom untuk memusnahkan menara kembar Pusat Dagangan Dunia di NY. Kemudian ada seorang wanita yang sudah beruban rambutnya yang mahu tahu kenapa Tuhan tidak dapat menyelesaikan perbalahan antara Israel dan Palestin. Ada pula seorang pribumi Amerika di Los Angeles yang meleret-leret mencemuh ura-ura Yahudi mahu merampas tanah milik masyarakatnya. Mujur ada seorang lelaki yang bercermin mata dan mempunyai tocang di rambutnya mengherdiknya sambil menyebut bahawa peperangan Israel-Palestin adalah sama dengan peperangan Amerika-Mexico yang menafikan kaumnya tanah .... Los Angeles. Sayapun mula mencongak berapa jaraknya antara LA dan Jenin. Oh... satu ‘galaxy’ lagi rupanya.

Kemudian, ada banyak kisah yang menunjukkan betapa media massa Amerika yang tidak berhati-perut kerana menjadi khadam dan orang suruhan kepada kumpulan pelobi Israel. "Saya telah menghantar satu laporan kepada sebuah akhbar perdana mengenai eksodus Palestin pada tahun 1948," kata seorang wanita yahudi ketika kami melalui bahagian LA yang begitu berjerebu. "Saya telah menceritakan kisah pembunuhan beramai-ramai orang Palestin di Deir Yassin oleh Kumpulan Stern (Stern Gang) dan kumpulan yahudi yang lain – itulah keganasan yang mengorbankan 750,000 Arab sehingga mereka lari lintang-pukang meninggalkan rumah kediaman mereka. Kemudian saya mencari tulisan itu untuk mengetahui apa halnya? Perkataan ‘dikatakan’ telah diselitkan sebelum perkataan ‘pembunuhan kejam’. Saya hubungi pegawai akhbar yang bertanggungjawab dan memberitahu betapa perihal pembunuhan kejam itu adalah satu fakta sejarah. Bolehkah anda teka apa jawapannya? Dia menjawab, pengarang sudah membuat pindaan dengan perkataan itu kerana mahu mengelakkan orang luar menghantar surat kritikan.

Secara kebetulan, inilah tema syarahan saya. Semacam satu cara penakut, dan tidak bertanggungjawab mengikut gelagat wartawan Amerika yang sengaja memutar-belitkan laporan mereka daripada Timur Tengah, betapa ‘wilayah yang dijajah’ bertukar menjadi ‘wilayah yang dipertikaikan’ dalam laporan mereka, betapa ‘penempatan Yahudi’ sudah ditukarkan menjadi ‘perkampungan yahudi’, betapa militan Arab menjadi ‘pengganas’ dan militan yahudi hanya menjadi ‘kumpulan fanatik’ atau ‘ekstrem’, bagaimana Ariel Sharon – musibat yang sememangnya ‘bertanggungjawab sendirian’ seperti yang diputuskan oleh Suruhanjaya Israel dalam siasatan kemusnahan Sabra dan Shatila pada 1982 yang mengorbankan 1,700 Palestin - boleh diberikan satu jolokan oleh satu laporan dalam ‘The New York Post’ sebagai seorang pejuang yang mempunyai naluri ‘seorang wira’ (mujur tidak menjadi wira dunia ketiga – penterjemah). Begitu juga dengan tindakan membunuh saki-baki Palestin yang masih bernyawa digelar sebagai ‘tindakan operasi susulan’ (mopping up). Demikian juga dengan kisah orang awam yang mati dibunuh dikatakan ‘terkena peluru sesat’. Saya mahu tahu siapa menjadi pendengar ceramah saya – dan saya harapkan sikap Amerika yang mencemuh apabila saya ceritakan – bagaimana rakyat AS boleh menerima katadua ‘hidup ataupun mati’, ‘bersama kami ataupun memusuhi kami’ dan ‘paksi keganasan’ Presiden mereka.

Untuk pertama kali selepas memberikan siri syarahan selama lebih satu dekad di Amerika Syarikat, saya telah dikejutkan. Kali ini bukan oleh sikap pasif orang Amerika – dari segi sanggup menerima-pakai tanggapan betapa Presiden Amerika adalah orang yang serba tahu yang terbaik selalu – ataupun bukan oleh ketaksuban Amerika Syarikat sejak 11 September dan ketakutan berkarat untuk mengkritik Israel. Apa yang memeranjatkan saya ialah sikap luar biasa rakyat Amerika yang enggan bersetuju dengan pendapat rasmi negara, sambil menunjukkan semakin ramai antara kalangan mereka yang marah dan sedar betapa mereka telah dibohongi dan ditipu selama ini. Di banyak tempat saya memberikan syarahan itu, 60 peratus para hadirin adalah berusia melepasi 40 tahun. Dalam banyak kes, mungkin 80 peratus adalah warga Amerika yang tidak ada kaitan sejarah dan darah dengan Timur Tengah – ‘American Americans’  (Warga Amerika totok). Seperti yang pernah saya gelarkan mereka begitu ataupun sebagai ‘White Americans (Amerika kulit putih). Seperti yang diberikan gelarannya oleh seorang pelajar Palestin. Untuk pertama kali, bukannya syarahan saya yang mereka bantah, tetapi syarahan yang mereka terima daripada Presiden mereka dan syarahan yang mereka baca di akhbar mengenai ‘peperangan menghenyak keganasan‘ oleh Israel. Begitu juga bantahan mereka terhadap sikap mudah menerima tanpa kritikan segala-galanya yang dikata dan dilakukan oleh sekutu Amerika itu di Timur Tengah.

Sebagai contohnya ada seorang bekas pegawai tentera laut yang mendekati saya selepas memberikan syarahan di United Methodist Church di Encinitas yang terletak di pinggir San Diego. "Tuan, ... saya adalah seorang pegawai di kapal induk ‘John F. Kennedy’ ketika perang Timur Tengah tahun 1973," katanya sebagai memperkenalkan dirinya. (Saya telah membuat siasatan kemudiannya bersama tuan rumah saya, dan ternyata dia orang yang tulen, bukan orang ‘main-main’). "Kami telah ditempatkan di Gibraltar (Jabal Tarik) dan tugas kami adalah untuk memberi bekalan jet pejuang yang kami kirimkan kepada Israel selepas angkatan udara mereka dimusnahkan oleh tentera Arab. Pesawat kami akan mendarat dengan pasukan USAF mereka dan logo komando (marines) kami telah dikopek terlebih dulu dan lambang bintang Nabi Daud (Star of David) dicat di bahagian pesawat itu. Adakah sesiapa yang tahu kenapa kami memberikan pesawat itu begitu sahaja kepada Israel? Apabila saya melihatkan gambar TV menunjukkan pesawat dan kereta kebal Amerika digunakan untuk menyerang Palestin, saya faham sudah kenapa orang memandang Amerika dengan marah."

Di Amerika Syarikat saya memang sudah lali bersyarah di satu dewan yang separuh kosong. Tiga tahun dulu, saya berjaya melihat auditorium yang penuh di Washington yang mempunyai 6000 buah kerusi tetapi diisi oleh hanya 32 warga Amerika. Tetapi di Chicago, Iowa dan Los Angeles pada bulan ini mereka datang berbondong-bondong dalam ratusan bilangannya. Malahan di satu tempat di University of Southern California seramai 900 orang telah datang – mereka duduk di tempat kosong di koridor dan di luar dan di belakang pintu. Bukannya disebabkan Lord Fisk ada di bandar itu. Mungkin juga kerana tajuk syarahan saya ‘September 11, siapa yang melakukannya, tetapi kalau boleh jangan tanya sesiapa!!!’ Itu satu tajuk yang penuh provokasi. Tetapi sebab kenapa mereka datang kali ini, seperti yang didedahkan oleh sessi soal-jawab, kerana mereka sudah mual dan letih ditipu oleh berita TV dan radio dan kelentongan puak sayap kanan kerajaan (right-wing punditocracy, di Malaysia sayap kanan seperti itu disebut oleh anak-didik Mat Teropong sebagai ‘pundekoreksi’)
Sebelum itu tidak pernah ada warga Amerika yang menyoal saya "Bagaimanakah caranya untuk kami mendesak industri akhbar melaporkan kisah Timur Tengah yang lebih telus?" ataupun – yang lebih menyentuh perasaan – "Bagaimana kami boleh mendesak kerajaan menerima-pakai pendapat KAMI?" Semua soalan semacam itu adalah perangkap untuk saya, sebenarnya. Orang British sudah lama menyogok nasihat kepada Amerika Syarikat sejak kami kalah ‘peperangan kemerdekaan’, dan saya semakin ghairah menjerumuskan diri mengikuti mereka. Hakikatnya, apabila soalan semacam ini boleh dikemukakan ---selalunya oleh rakyat Amerika yang sudah pertengahan umur tanpa ada hubungan darah dengan orang Timur Tengah – memberikan andaian betapa sudah berlaku satu perubahan yang ketara dalam pemikiran penduduk yang pasif pemikirannya.

Di akhir setiap syarahan, saya selalu meminta maaf kerana kenyataan yang mahu saya sebutkan. Saya memberitahu hadirin betapa dunia tidak berubah pada 11 September, betapa Lubnan dan Palestin sudah kehilangan 17,000 nyawa ketika Israel menjajahnya pada 1982 – jumlah nyawa terkorban adalah lebih lima kali ganda berbanding episod 11 September. Tetapi dunia tidak berubah 20 tahun dulu. Tidak ada lilin yang dinyalakan, tidak ada upacara keagamaan mengingati yang terkorban. Setiap kali saya sebutkan itu, banyak kepala yang tunduk dan mengangguk – sudah berubah dan ada yang botak dan ramai juga yang masih muda tetapi ternyata berotak. Sebarang lelucon yang paling sedikit terhadap Presiden Bush kerap disambut dengan hilaian ketawa. Saya tanya salah seorang tuan rumah saya kenapa begitu jadinya, kenapa hadirin dapat menerima ini lebih mudah daripada orang British. "Kerana kami tidak fikir Bush menang pilihanraya itu," jawabnya.

Memang mudah untuk ditipu. Satu rencana radio tempatan yang pertama menunjukkan perkara itu; betapa caranya perdebatan mengenai Timur Tengah dianjurkan. Ketika Gayene Torosyan membiarkan rancangan radio WSUI/KSUI di Iowa City menerima panggilan pendengarnya, ada seorang pemanggil bernama ‘Michael’ – seorang pemimpin masyarakat yahudi tempatan, seperti yang dimaklumkan kepada saya walaupun maklumat ini tidak dinyatakannya secara terbuka di ruang udara. Beliau bertegas menyatakan kisah selepas peristiwa rundingan damai di Camp David pada tahun 2000. Katanya, Yasser Arafat telah memilih keganasan walaupun diberikan tawaran sebuah negara Palestin dengan bandarayanya di Jerusalem dan 96 peratus tanah di Tebing Barat dan Gaza. Saya terpaksa menangani jolokannya itu secara berhemah dan perlahan-lahan. Mengikut Camp David, Jerusalem adalah dianggap ‘ibukota Israel yang abadi’ Arafat hanya diberikan apa yang diikhtiraf oleh Madeline Albright sebagai ‘satu bentuk kedaulatan’ sahaja ke atas Haram al-Sharif di mana letaknya kawasan masjid dan beberapa jalanraya Arab, sedangkan parlimen Palestin terpaksa dibina di bahagian timur tembok Abu Dis. Oleh kerana sebahagian besar perbandaran Jerusalem sudahpun merangkumi Tebing Barat, penempatan Yahudi seperti Maale Adumin tidak boleh dirundingkan lagi, begitu juga banyak lagi kawasan penempatan Yahudi (yang merompak tanah Palestin yang asal – penterjemah). Begitu juga halnya dengan zon penampan (buffer zone) sepanjang 10 batu yang dibina oleh tentera Israel di Tebing Barat, dan jalanraya penempatan yang menceroboh ‘negara’ Palestin. Arafat diberikan hanya 46 peratus daripada 22 peratus tanah Palestin yang masih ada. Saya dapat gambarkan betapa pengikut rancangan WSUI/KSUI semakin mengeluh di kerusi mereka kerana bosan mendengarnya.

Apabila pulang ke hotel penginapan saya, tuan punya hotel itu dan isterinya – yang merupakan sukarelawan Force sejak era Kennedy dulu – telah mengikuti setiap perkataan rancangan radio yang melibatkan saya itu. "Kami faham apa yang sudah berlaku," katanya. "Saya adalah seorang pegawai tentera laut di Teluk dulu pada tahun Enam puluhan dan pada waktu itu kami ada beberapa buah kapal sahaja. Ketika itu Shah Iran adalah merupakan polis yang menjaga keselamatan kami. Kini kami ada semua kapal itu di situ dan askar kami berada di negara Arab sehingga kami semacam mendominasi wilayah itu." Rupanya Osama bin Laden memang tepat dengan kenyataannya.

Alangkah aneh, fikir saya, betapa akhbar Amerika tidak mahu menyebut semua ini. Akhbar ‘The Daily Iowan’  kerana tidak lebih dari empat akhbar harian di Iowa City, menunjukkan kebebasan akhbar berbanding kualiti beritanya – tidakpun mempunyai pandangan seperti yang disebut oleh taukeh hotel yang saya sewa. "Situasi di Timur Tengah adalah satu keadaan yang tidak mudah difahami oleh kebanyakan orang Amerika," kata akhbar itu. "Dan merekapun tidaklah begitu berterus-terang mengenainya." Alangkah hodohnya - betapa orang Amerika sendiri terlalu bodoh untuk memahami tumpahan darah di Timur Tengah dan seharusnya menutup mulut mereka - sudah dijadikan satu tema penulisan lidah pengarang. Yang lebih jelas adalah laporan mengenai syarahan yang saya berikan itu.
Bersambung ke bahagian 2.......

Terjemahan oleh: SPAR (Suntingan Z-M@R)