RANCANGAN TEMPATAN PJ1 “HARAM” DAN
ANTI-RAKYAT
Sebagai “penduduk” (Lihat “Town and Country Planning Act 176” atau Act
172) di Seksyen 3, dan atas permintaan beberapa penduduk Petaling Jaya, saya
bagi pihak Parti Rakyat Malaysia (PRM) telah mengemukakan memo empat muka untuk
menolak “Draf Rancangan Tempatan Petaling Jaya 1 (DRTPJ1)”. Memo itu
dihantar pada 18hb April 2002 kepada Presiden Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ),
dengan salinan kepada Pegawai Perancang Selangor dan Menteri Besar Selangor.
DRTPJ1 diwar-war sebagai rancangan “pembangunan semula” Petaling Jaya (Lihat
para 2.1.1., ms 2-1). Ia melibatkan pelbagai aspek termasuk reka bentuk bandar,
landskap, alam sekitar, kemudahan sosial, infrastruktur, utiliti dan
pengangkutan. Tetapi ia lebih menumpu kepada empat bidang, iaitu perumahan,
perindustrian, perdagangan, dan pembinaan jalan serta jambatan, yang akan
mempunyai kesan besar ke atas kehidupan rakyat.
Kami tidak menentang pembangunan asalkan ia jelas untuk kepentingan dan
kebajikan rakyat ramai dan bukan untuk keuntungan segelintir orang. Kami dapati
DRTPJ1 bukan saja mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan undang-undang,
bahkan ia anti-rakyat. Oleh itu kami memperakukan supaya ia ditolak.
Alasan-alasan kami seperti berikut:
Pertama, sebarang rancangan tempatan hendaklah selari dengan rancangan
struktur yang telah diluluskan. DRTPJ1 tidak selaras dengan “Rancangan
Struktur Petaling Jaya dan Sebahagian Daerah Klang (RSP&SDK)”, yang telah
diwartakan pada 15hb Feruari 1996 (Warta Selangor , jilid 49, bil. 4).
Kami dinasihatkan ia bercanggah dengan Akta 172 dan Kanun Negara, dan oleh itu
Perlembagaan juga. Kami telah meminta peguam-peguam kami supaya mengkaji perkara
ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Kedua, apabila kawasan yang ditetapkan dalam DRTPJ1 ditetapkan untuk pembangunan
perumahan, industri, perniagaan dan jalan, maka menjadi tanggungjawab kuatkuasa
perancangan tempatan untuk membeli atau mengambil balik kawasan itu (Akta 172,
artikel 38,2). Beratus, mungkin beribu rakyat akan terancam oleh tindakan ambil
semula tanah ini. Pada masa yang sama Pejabat Daerah Petaling bertindak dengan
cara lain. Penduduk, khusus di seksyen 1,2,3 dan 4 telah dijanjikan dalam
pilihanraya lalu tempoh geran sementara mereka akan diperpanjang. Kini beberapa
orang telah diminta memulangkan dokumen itu dan membayar antara
RM100,00-RM150,000, atau hak mereka akan luput. Kami telah juga meminta peguam
kami mengkaji hal ini dan mengambil tindakan yang sesuai.
Ketiga, dengan begitu banyak projek perumahan, perindustrian, perniagaan, jalan
serta jejambat, dan tanaman pokok, DRTPJ1 membuka peluang luas kepada segelintir
orang, terutama kontraktor yang bersekongkol dengan ahli politik dan pegawai
kanan MPPJ yang masih berkhidmat atau telah bersara, untuk membuat wang. Ini
akan mengakibatkan korupsi. Sebaliknya, kepentingan, kebajikan dan juga
keselamatan rakyat tidak diambil kira sangat (seperti milik tanah). Rakyat mesti
diutamakan sebelum keuntungan, bukan sebaliknya.
Akhirnya, rancangan pembangunan semula ini tidak menjamin kualiti hidup yang
lebih baik. Masalah sosial seperti pembunuhan, perompakan, perogolan dan
perjudian meningkat. Akibat pembangunan tidak terancang, masalah bekalan air,
banjir kilat, parit serta pembentong, kesesakan lalulintas, pencemaran dan
kerosakan alam sekitar semakin buruk. DRTPJ1 tidak menangani kesemua ini dengan
baik. Segalanya akan bertambah buruk dengan lebih banyak bangunan tinggi, dan
kawasan perniagaan serta perindustrian lebih luas berikutan DRTPJ1.
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
21hb April 2002