Make your own free website on Tripod.com

Arafat Sindir Powell
(Arafat rebuffs Powell)
oleh James Bennet dan Todd S. Purdum
New York Times; 14/4/2002
Ramallah, Tebing Barat: - Setelah bertemu dengan seorang pegawai tinggi Amerika untuk pertama kali sejak Israel mengisytiharkan beliau sebagai insan yang sudah tidak berguna lagi, tahun lalu, Yasser Arafat telah memberitahu Setiausaha Negara Collin Powell bahawa gencatan senjata adalah tidak mungkin terlaksana selagi Israel tidak menghentikan operasi ketenteraan di Tebing Barat dan mengundurkan bala tenteranya daripada semua bandar dan pekan yang baru sangat mereka takluki.
Pertemuan itu adalah satu kemenangan kepada Arafat dan satu kehampaan kepada perdana menteri Ariel (Pembunuh) Sharon, yang telah berusaha memencilkan pemimpin Palestin itu di kediamannya yang digodam oleh askar Israel di Ramallah. Di sanalah tentera Israel menyaksikan ketibaan Powell pada hari Ahad dari jarak 30 ela jauhnya.
Namun, seorang pegawai kanan pentadbiran AS telah berkata Ahad lalu, bahawa Powell telah menyerahkan satu mesej yang keras kepada Arafat, yang dirumus seperti demikian: "Inilah masanya. Anda sedang melalui satu laluan berbahaya dan perlu merobahnya."
"Dia mendengarnya," kata pegawai itu mengenai Arafat. "Kita tengok dulu." (kata Arafat -penterjemah)
Selepas berbulan keganasan itu menanah, termasuk serangan pejuang syahid Palestin dan serang balas Israel, Sharon telah menolak Arafat sebagai rakan kedamaian yang berpotensi dan mendesak beliau disingkirkan kerana dia mahu mencari satu generasi baru di kalangan kepimpinan Palestin. Di sebalik perpecahan dalaman mengenai kewibawaan Arafat, pentadbiran Bush masih terus menganggap beliau sebagai satu-satunya pemimpin Palestin yang mempunyai pengaruh yang berwibawa untuk menentukan satu perjanjian yang tahan lama dengan Israel.
Para perunding Amerika dan Palestin dijangka berbincang lagi hari ini, sambil membincangkan pakej pembangunan semula ekonomi Palestin dan pentadbiran Palestin yang dimusnahkan oleh Israel.
Pada malam Ahad, Powel bertemu lagi dengan Sharon di Tel Aviv, sebagai menyambung pertemuan mereka Jumaat lalu. Mereka membincangkan satu cadangan Sharon agar ditaja satu persidangan mengenai Timur Tengah seperti yang dilaksanakan di Madrid pada 1991 dan ditaja oleh Presiden Bush (bapa haprak yang ada penterjemah) Sharon bertegas bahawa Arafat tidak boleh menyertai persidangan seperti itu.
Seorang pegawai kanan AS berkata Powell mempunyai fikiran terbuka akan persidangan itu, sambil menganggapnya sebagai 'sebahagian campuran pendapat' yang mempunyai kemungkinannya. Dalam satu ucapan malam Ahad itu, Sharon berkata bahawa idea persidangan itu sudah 'dipersetujui' oleh Amerika.
Dalam pertemuannya dengan Sharon, Powell telah menyampaikan permintaan Presiden Bush agar Israel mengundurkan tenteranya, demikian yang disebut oleh jurucakap Jabatan Negara Richard Boucher, yang menyatakan pertemuan itu sebagai sesuatu yang 'bagus dan bermakna'.
Boucher melaporkan betapa Powell 'menekankan perhatian yang serius terhadap masalah keinsanan' warga Palestin, terutama sekali di bandar Jenin di Tebing Barat. Di sana pertempuran sengit telah terjadi di mana tentera Israel telah meratakan sehingga lumat beberapa bahagian khemah pelarian, dan membiarkan sebilangan besar warga Palestin mati dan sebahagian besar yang lain menyelamatkan diri.
Hari ini, Powell merancang satu lawatan yang mengejut ke Lubnan dan Syria untuk membincangkan ketegangan di bahagian sempadan utara Israel, di mana hampir setiap hari Hezbollah melancarkan serangan roket dan tembakan meriam. Gelagat kumpulan militan Lubnan itu mengancam merebaknya peperangan yang sedia ada.
Usaha mendapatkan Sokongan Arab
Beberapa bulan selepas menyokong usaha memulaukan Arafat, pentadbiran sudah bertukar haluan kerana ia mahu mendapatkan sokongan pemimpin Arab yang lain untuk menyerang Iraq, yang dianggap oleh AS sedang membangunkan pembikinan senjata pemusnah. Negara Arab memberitahu pentadbiran Bush bahawa adalah lebih penting menghentikan pertumpahan darah.
Pemimpin Palestin berkata mereka menggalakkan Arafat berbincang dengan Powell Ahad dulu, sambil mengambil-kira kecenderungan pentadbiran Bush untuk membincangkan masalah keselamatan termasuk perkara perbalahan lain antara Israel dan Palestin.
Sharon sudah berulang-kali enggan menyelesaikan perbezaan itu dengan alasan mahu menentukan keselamatan dulu, dan berdalih selagi keselamatan tidak terjamin perundingan hanya akan mengundang keganasan sahaja.
Powell telah merumuskan betapa perundingan selama tiga jam bersama Arafat sebagai "berguna dan membina", tetapi tidak pula memberi sebarang gambaran akan kemajuannya yang dapat mencetuskan kedamaian selepas berlakunya keganasan selama 18 bulan.
"Kami telah bertukar-tukar banyak fikiran dan membincangkan pelbagai cara untuk terus maju ke hadapan," kata Powell sejurus muncul daripada perkarangan Ramallah, di mana Arafat telah terperangkap sejak Disember. Selama 17 hari yang lalu, Arafat telah dikurung sendirian, dengan kehadiran askar Israel hanya beberapa tapak jauh dari kedudukannya.
Rombongan Powell telah bermotor ke Ramallah daripada Jerusalem dalam dua konvoi yang dikawal ketat dan melalui beberapa jalan yang hancur dilanyak kereta kebal Israel dan diwarnai bangkai kereta yang hangus, longgokan sampah menggunung tidak tertimbus, dan serpihan lain yang tidak terkambus. Ketika dia muncul untuk memasuki perkarangan itu, Powell telah dilindungi oleh perisai manusia bersenjata yang mengawalnya dengan mesingan.
Utusan yang Keras
Pegawai Israel dan Palestin berkata mereka berharap bertemu Powell sekali lagi pada Selasa ini. Tetapi pegawai AS menafikan adanya perjanjian untuk bertemu yang sudah diatur.
Pegawai pentadbiran berkata pada Ahad itu bahawa mereka memang bergantung harap kepada Arafat.
"Setiausaha negara telah menemuinya untuk menyampaikan utusan keras betapa Presiden Amerika dan ramai lagi sedang memantau agar dia mematuhi beberapa kenyataan positif yang disuarakan oleh Pentadbiran Palestin pada Sabtu lalu" kata Penasihat Keselamatan Negara AS, Condoleezza Rice.
"Inilah masanya mengotakan janji-janji itu, dan mereka mula berbincang cara mahu melaksanakan semua itu dengan tindakannya," kata Rice kepada NBC dalam rancangan "Meet the Press."
Dalam kenyataan beliau Sabtu dulu, Arafat telah mengutuk keganasan dan mengecam pengeboman relamati di Jerusalem pada hari Jumaat, yang telah mengorbankan enam nyawa dan mencederakan ramai mangsa dan inilah yang telah membuatkan Powell menangguhkan pertemuan pada hari Sabtu dengan pemimpin Palestin itu.
Pegawai Israel terus memperlekehkan kemungkinan Powell mencapai kejayaan dalam misinya itu, sambil menyebut Arafat tidak mungkin menyetujui gencatan senjata setelah dia dapat merasakan betapa simpatian antarabangsa dan sokongan diplomatik sudah pun memihak kepada perjuangan Palestin dan menjauhi puak Israel.
Peperangan yang berterusan
Peperangan berterusan lagi Ahad lalu, walaupun kurang rentaknya. Askar Israel telah menakluki beberapa bandar utama Palestin termasuk Ramallah, Jenin dan Baitullaham.
Tindakan mengepung gereja di Baitullaham di mana sekitar 200 pejuang bersenjata telah bertahan selama hampir dua minggu, tentera Israel telah menembak dan membunuh seorang Palestin yang dikatakannya memegang senjata.
Di perkhemahan pelarian di Jenin, tempat pertempuran yang sungguh dahsyat, adalah amat sukar menentukan jumlah kematian. Pegawai Palestin dan kumpulan perubatan tidak dibenarkan memasuki perkhemahan itu tetapi mereka mendakwa jumlah kematian adalah dalam lingkungan ratusan nyawa.
Tentera Israel, yang telah mengalami 23 kematian di kalangan askar mereka di khemah itu, telah mendakwa hanya 100 Palestin yang terkorban dan kebanyakan mereka memang bersenjata.
Pada hari Ahad tentera Israel telah membawa satu kumpulan wartawan menziarahi sebahagian pekhemahan yang pernah menampung 15,000 warga Palestin, melalui laluan yang sempit. Kebanyakan rumah di situ sudah kosong, dan banyak mempunyai pintu luas melopong.
Bau busuk sampah bertimbun dan limpahan tahi yang tidak terurus menyambut kedatangan sesiapa di laluan yang sempit. Kelongsong peluru berselerak di jalanraya dan di mana sahaja dan jalanraya penuh dengan serpihan kaca.
Sumbangan The Associated Press dan Knight Ridder News Service.
Terjemahan oleh: SPAR (Suntingan Z-M@R)