Make your own free website on Tripod.com

TOKOH UMNO DENGAN SUMBANG MAHRAM

Akhir-akhir ini Cili Api lihat media banyak sekali membincangkan tentang undang-undang apa yang dikatakan “sumbang mahram”. Sebuah akhbar pengampu bertubi-tubi menyiarkan berita-berita besar mengenai kisah datuk, bapa atau abang yang memperkosa cucu, anak atau adik  Yang menyedihkan ialah kebanyakan mereka terdiri daripada  orang Melayu.

Beberapa orang tokoh UMNO, termasuk ketua Pemuda dan Puteri UMNO, telah memberikan reaksi mereka tentang perkara ini. Cili Api harap Hishamuddin dan Azalina akan memperlihatkan keprihatinan mereka terhadap semua kelakuan sumbang, dan tidak hanya sumbang mahram. Maklum sajalah, dalam dunia ini macam-macam boleh berlaku.

Ketua Puteri mencadangkan hukuman sebat mengikut umur. Yang paling menarik lagi bagi Cili Api ialah pandangan yang dikemukakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan (MBNS) dan presiden Persatuan Peguam Islam (PPI).

MBNS dilaporkan oleh akhbar pengampu yang sama sebagai mencadangkan supaya orang perempuan memakai cawat besi, seperti dalam zaman pertengahan di barat dulu. Walaupun beliau menafikan laporan itu, Cili Api rasa tidak mustahil beliau sebenarnya telah membuat kenyataan tersebut. Maklum saja, di kalangan pimpinan UMNO itu ramai yang hidup dalam zaman moden, tetapi masih berfikir mengikut masyarakat zaman feudal dulu?

Mengenai presiden PPI pula, beliau mencadangkan supaya lelaki yang berkelakuan sumbang mahram dikenakan hukuman kasi. Ertinya kasi mati benda alah  ‘tu. Wahai Cik Puan presiden ingatlah: janganlah menganjur supaya manusia dilayan seperti lembu! Nasiblah seorang mufti telah mengingatkan presiden peguam Islam ini bahawa kasi bertentangan dengan Islam.

Sekarang ini bila ada saja masalah, maka sibuklah pihak berkuasa berusaha membuat undang-undang. Gejala sosial seperti sumbang mahram tidak boleh diselesaikan hanya dengan undang-undang. Kita mesti mencari punca penyakit ini dalam masyarakat sendiri, dan cuba mengatasinya di akar umbi.

Kit mesti mencari sebab atau sebab-sebab mengapa sumbang mahram ini semakin luas berlaku, dan kebanyakannya di kalangan orang Melayu pula. Bukankah mereka ini orang Islam juga? Nampaknya semakin banyak orang bercakap tentang Islam, semakin banyak yang sumbang berlaku.

Cili Api syorkan supaya pihak pemerintah menganjurkan satu penyelidikan mendalam serta meluas oleh golongan penyelidik-ilmuan yang benar-benar berwibawa untuk mengkaji masalah ini dan mengemukakan cadangan mengatasinya. Tapi, janganlah pilih kroni-kroni saja untuk menjalankan penyelidikan atau kajian ini!