Make your own free website on Tripod.com
Demo anti Israel: Sikap polis Perak dikesali
Friday, April 19 @ 17:31:03 MYT

Oleh Hafiz Mohd Baqi

IPOH,19 April (Hrkh)- Orang ramai kesal dan tersinggung dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang anggota polis bertaraf pegawai ketika cuba menyuraikan perhimpunan mengutuk keganasan Israel di perkarangan masjid Negeri Perak sejurus selepas solat Jumaat tengahari tadi.

Pegawai tersebut yang mengeluarkan kata-kata, "macam inikah cara Islam.." dan "ini memalukan" kepada kumpulan orang ramai diperhimpunan itu telah menjadikan suasana aman bertukar tegang.

Selain itu, tindakannya beberapa kali cuba merampas alat pembesar suara turut memarakkan lagi kemarahan hampir 1000 orang yang hadir.

Lanjutan dari itu orang ramai semakin bersemangat melaungkan takbir sambil mengutuk Yahudi dan Amerika serta berlaku pertengkaran antara beberapa pimpinan PAS dengan pegawai polis tersebut.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang turut melahirkan rasa kesalnya dengan kejadian tersebut kerana beliau sendiri mendengar polis tersebut berkata demikian.

"Amat mengecewakan apabila perkataan itu keluar dari mulut seorang pegawai polis beragama Islam ketika umat Islam berhimpun mengutuk keganasan Israel terhadap umat Islam Palestin.

"Malahan perhimpunan itu sepatutnya dibenarkan kerana ia dibuat di perkarangan masjid dan tidak menimbulkan masalah termasuk masalah lalu lintas.

"Sedangkan perhimpunan yang sama dibuat di hadapan kedutaan Amerika di Kuala Lumpur baru-baru ini tidak diganggu malahan dibenarkan pimpinan membuat ucapan," ujar beliau.

Dalam masa yang sama Ketua Pemuda PAS Perak, Misbahul Munir Masduki turut menyifatkan perbuatan itu sebagai biadap.

"Perhimpunan ini untuk mengutuk Israel. Sepatutnya anggota polis boleh bertolak ansur atau menggunakan cara yang lebih baik sekiranya hendak menyuraikan perhimpunan."

Walau bagaimana pun perhimpunan itu diakhiri dengan bacaan doa oleh Ahmad Awang dan solat hajat tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Antara barisan pimpinan PAS Negeri yang turut serta ialah Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Sabran Asmawi, Idris Ahmad, Misbahul Munir, Ustaz Nor Azli dan beberapa lagi pimpinan PAS Perak.