Make your own free website on Tripod.com

AHRAM: Memikirkan Masa depan……

By: EDWARD SAID

Sesiapa yang mempunyai kaitan dengan Palestin tentu sekali dapat merasakan perasaan terkejut, marah dan menggeletar. Apa yang terjadi adalah seiras kejadian 1982. Serangan besar-besaran Israel terhadap bangsa Palestin (dengan sokongan George Bush yang semacam terlalu bodoh kerana sanggup melakukannya) adalah lebih dahsyat daripada kejadian yang didalangi oleh Sharon dalam peristiwa kekejaman 1971 dan 1982 terhadap bangsa Palestin juga. Iklim moral dan politik masa kini memang lebih dahsyat dan menjijikkan, apalagi dengan mainan media yang sungguh menekan (kerana terus mengulang-tayang serangan relamati wira syahid Palestin sambil menyorokkan kekejaman Israel yang sudah menjajah bumi Palestin selama 35 tahun secara haram). Inilah yang memberikan gambaran songsang yang memihak kepada Israel sambil menonjolkan betapa perkasanya AS sehinggakan tidak ada sesiapa yang mampu mencabarnya. Peperangan mengganyang keganasan sudahpun mengambil-alih pentas agenda global, dan setakat ini kalau diambil-kira iklim persekitaran dunia Arab, sudah wujud keadaan yang lebih bercelaru dan keliru sehingga mereka lebih berpecah belah berbanding dulu. Sifat naluri Sharon untuk melakukan pembunuhan sudah menjadi semakin semarak disebabkan faktor di atas dan semakin membengkak kehebatannya. Ini bermakna dia boleh melakukan apa sahaja yang diingininya dengan penuh kebebasan, walaupun dia lebih berhadapan kali ini dengan penentangan berbanding dulu oleh kegagalan yang akan menerpa disebabkan ketaksuban membenci, yang menjadi penghalang kejayaan politik dan ketenteraan yang amat diimpikannya. Konflik sesama manusia seperti ini mengandungi lebih banyak unsur-unsur yang tidak mudah ditumpaskan oleh kereta kebal dan kuasa serangan bom dari angkasa, dan peperangan terhadap orang awam yang tidak bersenjata, tidak kiralah berapa kali Sharon mengulang-ulang mantra hapraknya mengenai keganasan -- tidak akan mencetuskan satu keputusan politik yang amat diimpikannya. Bangsa Palestin tidak akan pupus. Lagipun, Sharon sudah pasti dijatuhkan dengan aibnya dan dinyahkan oleh rakyat Israel. Dia tidak mempunyai rencana lain, selain mahu menghancurkan Palestin dan apa sahaja yang ada kaitan dengan Palestin. Ketika dia masih menumpukan kemarahan terhadap Arafat dan apa yang disebutnya sebagai keganasan, dia semakin gagal membuat sesuatu yang lebih dari itu kecuali menaikkan martabat orang yang dimusuhinya sambil menarik perhatian seluruh dunia kepada kehaprakan dan kebodohan peribadinya. Akhirnya nanti Sharon akan merupakan masalah yang perlu ditangani oleh Israel. Bagi kita, pertimbangan utama kita sekarang ini ialah melakukan sedaya mungkin betapa sebalik segala keperitan dan kehancuran yang telah kita alami itu gara-gara kebajingan seorang penjenayah perang, kita mesti terus menghadapi kehidupan ini. Apabila seorang ahli politik yang terkenal dan sudah bersara seperti Zbigniew Brzezinski berterus-terang di kaca TV nasional bahawa Israel sudah berlagak serupa kelakuan regim supremasis apartheid Afrika Selatan, tentu kita semakin yakin bahawa dia (Brzesinski) tidak bersendirian dengan pandangannya itu. Tentu sekali semakin ramai warga Amerika dan orang lain yang semakin mual dan naik marah terhadap Israel kerana menjadi anak emas Amerika Syarikat yang membazirkan banyak belanja, sehingga menyebabkan Amerika semakin dipulaukan, kerana Israel semakin mencemarkan martabat negara itu di kalangan sekutunya dan rakyat Amerika. Soalannya sekarang, setelah mengambil kira keadaan yang getir ini, apakah rasional yang kita pelajari daripada krisis yang sedia ada untuk kita mengambil kira sambil memikirkan masa depan kita? Apa yang akan saya katakan di sini adalah pilihan utama, tetapi ia merupakan hasil yang bertahun lamanya bagi perjuangan Palestin sebagai seorang yang lahir dengan darah Arab dan membesar dengan dunia barat. Saya memang tidak boleh menyebut semuanya tetapi di sini akan saya tulis beberapa pendapat yang dapat saya sumbangkan pada masa yang sungguh getir ini. Setiap satu cadangan yang disebut di sini ada kaitannya dengan kesemua cadangan yang dikemukakan. 1. Apapun kesannya, Palestin bukan merupakan masalah perjuangan Arab dan Islam semata-mata, kerana ia sudah menjadi penting kepada pelbagai bentuk dunia yang kontradiktori (bertentangan) dan berhubung-kait kaedahnya. Untuk memperjuangkan nasib Palestin adalah penting untuk menyedari betapa banyaknya dimensi yang perlu diketahui yang memerlukan pengetahuan memahaminya. Kerana itu kita memerlukan satu kepimpinan yang berpendidikan tinggi, bersiap sedia dan sofistiket yang mampu mendapat sokongan yang demokratik. Yang lebih penting, seperti yang ditunjukkan oleh Mandela, kita seharusnya tidak putus asa mengulang-ulang kisah perjuangan kita, sambil sentiasa peka betapa perjuangan Palestin adalah salah satu perjuangan yang hebat jatidirinya di zaman kita ini. Kerana itu, kita harus memahami hakikatnya bahawa perjuangan ini bukannya satu perdagangan, ataupun perundingan untuk ditolak-ansur, ataupun satu kerjaya. Ia adalah satu perjuangan, yang seharusnya memberi ruang kepada setiap warga Palestin untuk berhemah hidupnya dan mengekalkannya. 2. Terdapat pelbagai bentuk kuasa, di mana ketenteraan sudah tentu menjadi perkara yang ketara. Apa yang membuatkan Israel berjaya melakukan apa yang dilaksanakannya terhadap orang Palestin selama 45 tahun ini adalah hasil satu kempen yang terancang secara saintifik untuk menghalalkan setiap tindakan Israel dan sewaktu yang sama menghaprak dan mengharamkan tindakan Palestin. Masalahnya bukan setakat menjalin hubungan ketenteraan, tetapi menentukan pengumpulan pemikiran yang bulat terutama sekali di Amerika Syarikat dan Eropah Barat, dan melahirkan satu kuasa yang membesar secara perlahan dan berkaedah di mana kedudukan Israel dilihat dengan mudah, sedangkan Palestin itu digembar-gemburkan sebagai musuh Israel yang ganas dan jijik serta berbahaya terhadap "kita". Sejak berakhirnya Perang Dingin, Eropah telah mundur sehingga tidak berapa bermaya penonjolannya dalam pengumpulan pemikiran, gambaran dan pendapat. Di luar Palestin, Amerika menjadi medan perang yang utama. Kita tidak memahami cara merencana secara bersistem kerja politik kita di negara ini pada tahap yang berkumpulan, sehinggakan kita mampu merobah pemikiran rakyat Amerika untuk tidak mengaitkan perkataan "keganasan’ kepada perkataan "Palestin". Kerja-kerja seperti ini sudah mampu memberi perlindungan kepada apa juga pencapaian kita yang diperolehi melalui penentangan di medan perbalahan terhadap penaklukan Israel. Apa yang membolehkan Israel menghambat kita tanpa rasa takut, adalah kerana hakikat bahawa kita tidak dilindungi oleh apa juga bentuk pemikiran yang mampu menghalang Sharon daripada mengamalkan jenayah perangnya dan berkata dengan angkuh betapa yang dilakukannya adalah untuk memerangi keganasan. Apabila diambil kira kerja-kerja putar-belit yang berulang-ulang, seperti yang disiarkan oleh CNN, sebagai contohnya, di mana frasa "bom membunuh diri" untuk melalikan pemikiran pembayar cukai pendapatan Amerika, ia menjadi satu kesilapan besar kita apabila khidmat kebijaksanaan warga Palestin seperti Hanan Ashrawi, Leila Shahid, Ghassan Khatib, Afif Safie, - untuk menyebut segelintir nama sahaja - tampil ke hadapan dan bersemuka di kaca saluran CNN di Washington ataupun di mana juga saluran media massa untuk memberi penjelasan kepada dunia bentuk pemikiran Palestin, sebagai penjelasan dan kefahaman, dengan begitu jelas dan positif, dan tidak lagi secara negatif segala pemberitaan itu. Kita memerlukan satu kepimpinan masa depan yang memahami betapa inilah salah satu pengajaran asas politik moden di era perhubungan elektronik. Kalau kita tidak memahami hakikat ini bererti kita melalui satu tragedi dalam tamadun bangsa kita. 3. Tidak ada manfaatnya untuk kita melayari gelombang politik yang dimonopoli oleh satu kuasa besar sahaja tanpa mengambil kira kesesuaian dan pengetahuan satu-satunya kuasa besar itu – Amerika, sejarahnya, institusinya, segala pergolakan yang menghantuinya masa kini, politik dan budayanya dan yang lebih penting sekali kemahiran berbicara dengan bahasa rasminya. Untuk mendengar suara jurucakap kita, dan juga pemimpin Arab yang lain, menyebut perkara yang paling menakjubkan mengenai Amerika, sambil menghambakan diri mereka kepada belas kasihan Amerika ketika menyumpah seranah di waktu yang sama dan merayu bantuan jua pada ketika itu, dalam bahasa pasar yang amat sukar difahami oleh mereka, menunjukkan betapa terkebelakangnya kita dalam arena perhubungan itu. Amerika tidak bersifat monolitik, kita ada sahabat yang berkemungkinan besar menyebelahi kita. Kita boleh mengusahakan satu jalinan keakraban, dengan menggunakan masyarakat kita dan sahabat taulan mereka sebagai sebahagian unsur politik kebebasan, seperti yang dilakukan oleh Afrika Selatan, ataupun seperti orang Algeria yang melakukannya di Peranchis, ketika mereka berjuang mahukan kemerdekaan. Perancangan, disiplin dan kordinasi adalah syaratnya. Ramai kita yang masih belum memahami politik yang tidak ganas. Lagipun, kita belum memahami cara menggunakan kuasa untuk berdepan dengan Israel secara terus terang; mengikut cara ANC menghadapi kuasa orang putih di Afrika Selatan, sebagai sebahagian politik sama rasa dan saling menghormati. Hidup saling bersaing adalah jawapan kepada sikap Israel mahu menyingkir dan menghaprakkan kita. Ini tidak bererti kita menyerah kalah; ini maknanya mencipta persepakatan, dan akhirnya nanti meminggirkan golongan yang rasis yang mahu memencilkan diri, dan yang bersikap fundamentalis. 4. Pengajaran yang paling berkesan kepada kita semua ialah kisah tragedi yang dicetuskan oleh Israel di kawasan taklukannya. Oleh kerana kita ini manusia yang bermasyarakat, dan di sebalik serangan ganas Israel terhadap PA, masyarakat kita masih berfungsi. Kita dapat bertahan kerana kita mempunyai satu masyarakat yang sanggup bertahan – dan telah bersemangat kental sejak 54 tahun yang lalu - walaupun seribu sumpah seranah, setiap lipatan sejarah yang zalim itu, setiap kemalangan yang kita harungi, setiap tragedi yang menyempit pernafasan kita yang terpaksa kita alami semuanya. Kemenangan besar kita terhadap Israel ialah kerana manusia seperti Sharon dan yang sekandang dengannya, tidak mempunyai daya fikir untuk melihat itu semua, dan kerana itu mereka ditakdirkan terhumban di sebalik segala kuasa dan kebengisan yang haprak dan yang kejam. Kita sudah melalui lorong segala tragedi sejarah silam sedangkan orang Israel seperti Sharon masih belum melaluinya lagi. Dia akan terhumban di lubang kuburnya sebagai pembunuh orang Arab, dan seorang ahli politik yang gagal yang mencetuskan ketegangan yang lebih dahsyat dan menyulitkan masa depan bangsanya. Sudah tentu ia menjadi satu legasi seorang pemimpin untuk mewariskan sesuatu yang bernilai untuk generasi masa depannya. Sharon, Mofaz, dan ramai lagi yang bersekongkolan dengannya, ketika musim membuli, kempen sadis yang membunuh dan pempupusan bangsa ini, tidak akan mempunyai apa-apa yang dapat diwariskan kepada bangsanya kecuali batu nisan pusara mereka. Inilah bahananya apabila sikap yang menjijikkan itu membiak kejijikan juga. Terjemahan oleh: SPAR (Suntingan Z-M@R)