Make your own free website on Tripod.com

SIAPA PUJI DR M?

Baru-baru ini Cili Api mendengar seorang jurucakap Rumah Putih memuji PM Dr M @ Cek Det kerana menganggap pejuang berani mati Palestin sebagai pengganas. Katanya, anggapan Cek Det itu tepat dan sesuai dengan pendapat yang ditegaskan oleh Presiden Bush.

Sebelum itu seorang Zionis tebal bernama Thomas Friedman, yang menjadi kolumnis New York Times,  memuji Cek Det juga. Katanya Cek Det sangat berani kerana menyuarakan pandangan ini, dalam ucapan di Persidangan Menteri-Menteri Luar Negara-negara Islam (OIC) pada awal bulan April.

Hebat sungguh Cek Det ini. Selepas dipuji oleh tokoh imperialis dan tokoh Zionis, apa lagi dia mahu?  Cek Det terang-terang mengecap pejuang-pejuang Palestin itu sebagai pengganas, serupa dengan kumpulan  yang telah menyerang Menara Berkembar di New York tahun lalu. Sebenarnya secara tidak langsung Cek Det semacam  menuduh Yasir Arafat pun sebagai pengganas.

Cili Api dapat khabar bahawa kenyataan Cek Det dianggap oleh ramai peserta persidangan OIC itu sebagai menghina pejuang-pejuang suci rakyat Palestin untuk pembebasan dan keadilan. Selama lebih 50 tahun rakyat Palestin dihalau dari bumi mereka sendiri, diburu ke tempat-tempat pelarian, dibunuh dan dijajah oleh kuasa ketenteraan Zionis. Cek Det bukan tidak tahu semua ini. Tetapi mudah saja beliau melupakannya. Hendak katakan bebal tidak pula.

Mula-mula Cili Api tertanya-tanya mengapa Cek Det sanggup membuat kenyataan yang menghina perjuangan-pejuang  Palestin ini. Segala soalan segera terjawab apabila beberapa hari selepas itu, satu kenyataan telah dibuat di Washington bahawa Presiden Bush akan berjumpa dengan Cek Det pada pertengahan bulan Mei ini.

Sekali lagi hati kecil Cili Api tertanya-tanya. Adakah kemungkinan  Bush telah mengenakan syarat kepada Cek Det, jikalau mahu berjumpa dengannya mesti terlebih dulu mengutuk secara umum pejuang-pejuang berani mati (yang dianggap sebagai syuhada’) itu? Jikalau ini benar, ia sudah merupakan tindakan bacul. Tetapi Cili Api tahu Cek Det bukan bacul orangnya.

Cili Api teringat, bekas TPM Anwar Ibrahim telah dituduh oleh jongos-jongos Cek Det sebagai agen imperialis, agen CIA dan agen bermacam-macam lagi apabila beliau disambut dengan permaidani  merah oleh Setiausaha Pertahanan ketika membuat lawatan rasmi ke AS dulu. Apa kita hendak kata jikalau PM Dr M @ Cek Det disambut dengan penuh penghormatan oleh Presiden Bush nanti?

Cili Api tidak tergamak menuduh Cek Det sebagai agen imperialis, agen CIA atau agen apa saja. Cili Api tidak setuju siapa pun membuat tuduhan dan menghukum orang tanpa bukti kukuh. Akhir sekali, tompang tanya sikit. Adakah mereka yang ditahan bawah ISA baru-baru ini hendak dikemukakan sebagai bukti Cek Det menyokong penuh perang Bush menentang keganasan?