Make your own free website on Tripod.com

SUHAKAM PERLU TERUS BERWIBAWA

Cili Api tidak begitu yakin apabila Suhakam mula-mula dibentuk dulu. Bukan saja pengerusinya bekas Menteri Dalam Negeri yang terlibat dengan Memali, bahkan ramai pesuruhjayanya tidak pernah diketahui sikap mereka terhadap isu hak asasi manusia. Lagi pula ada niat pemerintah yang terselindung untuk membersihkan imej mereka yang kotor tentang hak asasi melalui Suhakam.

Namun begitu, setakat apa yang dilakukannya selama dua tahun yang lalu, Cili Api berpendapat prestasi Suhakam agak memuaskan juga. Barangkali ini hasil beberapa tindakan tegas Tan Seri Musa Hitam, selaku Pengerusi, dan juga komitmen beberapa orang pesuruhjaya tidak semua - dalam beberapa isu. Sekarang Musa telah menamatkan khidmatnya dan beberapa orang pesuruhjaya yang komited ini  telah ditamatkan perkhidmatan mereka.

Semasa pojok Cili Api ini ditulis, belum ada lagi pengumuman rasmi  tentang siapa dia pengerusi Suhakam yang baru. Tetapi angin yang bertiup kencang mengatakan beliau ialah seorang bekas Peguam Negara. Banyak orang memuji peranan beliau dalam penyiasatan mata lebam Anwar. Tapi kita mesti ingat penyiasatan itu cuma setakat menentukan siapa yang menyebabkan mata lebam itu. Ia tidak dibenarkan  pergi lebih jauh untuk menyiasat bagaimana pula kaitan PM  Dr M @ Cek Det dengan peristiwa ini. Mungkin kerana Cek Det adalah di atas segala-galanya.

Cili Api mesti akui bahawa prestasi tokoh ini dalam kes mata lebam itu agak baik. Tetapi jangan lupa. Semasa berkhidmat sebagai Peguam Negara dulu,  beliau pernah dituduh terlibat dengan pemusnahan pita bukti dalam kes Vijendran, seorang pemimpin MIC dan Timbalan Speaker. Bagi mereka yang sudah lupa, Cili Api hendak mengingatkan Vijendran telah membuat rakaman pita tentang berbagai aktiviti sumbang sendiri (tapi bukan dengan mahram).

Selain itu, beliau pernah membuat kenyataan dalam  satu perbicaraan di mahkamah bahawa keadaan tempat bagi mangsa ISA adalah seperti bilik hotel mewah. Ini menunjukkan sikap berat sebelah dalam soal ISA. Kedua-dua kes ini menunjukkan bahawa ada perkara yang boleh dipersoalkan berhubung rekod bekas Peguam Negara ini. Tetapi Cili Api sanggup melupakan peristiwa-peristiwa lalu. Yang lebih penting bagi Cili Api ialah bagaimana prestasi beliau  pada masa akan datang setelah dilantik sebagai pengerusi Suhakam.

Cili Api berharap juga, muka-muka baru yang dilantik sebagai pesuruhjaya akan membuktikan diri mereka secara positif. Mereka harus memastikan bahawa Suhakam dalam tempoh dua tahun kehadapan akan terus bebas dan berwibawa. Walaupun beberapa orang pernah berkhidmat dengan  kerajaan dan mempunyai  hubungan peribadi rapat dengan Cek Det, Cili Api harap mereka tidak akan membenarkan Suhakam tunduk di bawah telunjuk siapa saja.