Make your own free website on Tripod.com

PM Arah pemimpin MCA tutup mulut
(The Prime Minister orders MCA leaders to shut up (Must Read)

MGG Pillai 15/4/2002.

Pelawat yang mengunjungi Parlimen dibenarkan dengan syarat mereka tidak bercakap dengan MP Barisan Nasional. MP tidak boleh menyoal parlimen berapakah gaji para menteri kerana soalan semacam itu dianggap berbahaya. Lagipun mereka menerima gaji yang begitu tinggi sehinggakan mereka yang mengundi dulu tidak berhak untuk tahu. Kini perdana menteri memberi arahan agar pemimpin MCA menutup mulut supaya kita menjadi keliru untuk mengetahui betapa berpecahnya MCA. Seperti biasa, perkara itu dijadikan isu sampingan sahaja, setelah dia menghadiri satu jamuan golf. “Boleh saya buat sedikit kenyataan?” dia bertanya kepada wartawan. “Saya mahu buat komen sedikit bahawasanya MCA tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan kepada sesiapa, termasuk saya. Itu sahaja.” Kalau anda mahu tahu betapa seriuskah krisis UMNO, Dr. Mahathir boleh membuat perakuannya. Dia berkata Presiden MCA, Dr. Ling Liong Sik, dan 'sahabat karibnya' merangkap Timbalan Presiden MCA, Lim Ah Lek sudah bersetuju dengan arahan tutup mulut itu.

Pada waktu yang sama, cadangan mesyuarat tergempar MCA, yang mahu dilaksanakan oleh Lim tetapi bukan diminati oleh Dr. Ling, dijangka akan berlangsung juga. Dr. Mahathir tidak mahu apakah dia akan menegahnya. Sepatutnya dia tidak boleh berbuat begitu kerana ia akan melanggar undang-undang. Oleh kerana dia akan ke luar negara untuk lawatan bulanannya – kali ini ke Maghribi, Libya dan Qatar (SUDAH TUKAR AGENDA? – dulu kata Bahrain – Penterjemah) bermula esok; dan beliau akan pulang bertepatan dengan masa bermulanya mesyuarat tergempar (EGM) itu. Tentu ada rahsia di sebalik semua itu. Kalau dia tidak pulang bertepatan masanya, dan EGM itu dilangsungkan, pengaruh Dr. Ling akan terjerumus ke longkang sekali lagi. Setiausaha Agung MCA yang lebih pengecut daripada usaha untuk menyelesaikan kesangsian yang muncul, telah berkata bahawa permintaan EGM itu adalah mempunyai cacat celanya, kerana ramai orang yang telah menulis kepadanya menarik diri daripada senarai cadangan mereka dulu. Yang peliknya mereka tidak pula menulis memberitahu siapa yang mahu menganjurkan EGM itu. Secara hukumnya, EGM itu mempunyai korum yang cukup dan dibenarkan. MCA bertindak menyongsang kepada perlembagaan dan peraturan yang menjadi peraturan kewujudannya. Cara tiga buah akhbar - The Star, Nanyang Siang Pau, China Press – menyerang Dato' Seri Lim Ah Lek dan kumpulan beliau membuatkan kedudukan mereka dalam bahaya.

Kalaulah ditakdirkan Dr. Ling kalah, Dr. Mahathir yang satu ketika dulu memikirkan dia boleh mendalangi MCA melalui Dr. Ling kini sudah berfikiran gelagatnya itu adalah tidak wajar. Tetapi Dr. Ling yang berpendirian autokratik, sudah takut kepada bayangnya sendiri, disebabkan tekanan oleh 'sahabat akrabnya'. Dia telah begitu gelojoh menjerumuskan MCA dan masyarakat Cina ke lembah keaiban, laksana seorang maharajah yang tidak berpakaian, dia sudah begitu terbogel dan penyokong kuatnya sudah gelabah dan mula melihat di sebalik bahu mereka untuk membuat urusan pakatan dengan kumpulan Lim Ah Lek yang lebih dikenali sebagai Tim ‘B’. Masyarakat Cina sudah sibuk dengan desas-desus akan tersembulnya satu muslihat untuk menyelesaikan masalah kepimpinan ini. Arahan menutup mulut itu adalah satu muslihat untuk membiarkan segala urusan merapatkan keadaan dilakukan oleh tikus-tikus politik sementara raja kucing berada di luar negara untuk merehatkan otaknya. Ini juga merupakan satu langkah menyelamatkan airmuka Dr. Ling, kerana dia dijangka akan jatuh teraib tidak kiralah kalau dia menang ataupun kalah kali ini.

Dr. Mahathir tidak punyai banyak pilihan. Dia amat faham dengan masyarakat Cina yang sudah berpecah-belah kerana Dr. Ling menjadi Presiden MCA, seperti orang Melayu yang berpecah disebabkan Dr. Mahathir menjadi Presiden UMNO. UMNO dan MCA memang sudah tidak relevan kepada masyarakat yang mereka wakili. Lagipun BN tidak mampu bertahan dengan hanya undi orang Melayu seperti kejayaannya antara 1955 hingga 1995. Tanpa undi Cina, Sarawak dan Sabah, BN tidak akan dapat mempertahankan majoriti dua pertiga. (Yang menyelamatkan BN ialah kewujudan Pembangkang yang tidak relevan, tetapi itu perkara lain sahaja). Pergelutan dalaman UMNO adalah sama serius dengan kisah MCA. Orang Melayu sudah semakin tidak mempedulikan UMNO seperti Cina yang memperlekehkan MCA.

Dengan lain perkataan, dia melihat krisis MCA persis masalah yang menghantuinya dengan UMNO dan orang Melayu. Dia tidak mahu orang Melayu mendapat ilham cara menanganinya secara berkonfrontasi. Sudah menjadi satu rahsia terbuka dalam UMNO, betapa Timbalan Presidennya Abdullah Ahmad Bedawi menghadapi cabaran daripada Naib Presiden Najib Tun Razak, untuk peluang menggantikan Dr. Mahathir. Perkara ini memang dinafikan, walaupun perbincangan di sebalik tabir untuk menyelesaikan perkara itu tanpa mengujinya di kalangan akar umbi masih diteruskan lagi. Ketika Mahathir mengarahkan pemimpin MCA menutup mulut mereka, sebenarnya dia lebih memilih kalau-kalau pemimpin UMNO bertindak serupa. Cuma dia tidak akan berjaya melihatkan kesannya sama dengan keadaan yang akan terjadi kepada MCA.

Yang amat menakutkan sekarang ini ialah cara dia memimpin kerajaan, parti dan apa juga lagi secara autopilot sedangkan dia berpeleseran dengan alasan yang mudah mencuit perasaan. Dia membuat satu amalan ke luar negara sekurang-kurangnya sekali setiap bulan untuk menonjolkan pujian bahawa hanya dialah pemimpin kerajaan yang paling jauh perjalanannya pada bila-bila masa. Dia tidak ada di negara sendiri untuk memberikan kepimpinan dan serba-serbi tunggang-langgang disebabkan menteri kabinet bersiap untuk pilihan dalam parti ataupun bersedia melompat keluar parti bila tiba masanya. Setiap kali ada institusi yang tersungkur dan kerajaan tidak dapat memberikan jawapan mengenainya, dengan mudah ia mengenakan peraturan menyekat perdebatan, dengan tanggapan perkara itu akan terpendam begitu sahaja. Tidak kiralah apa sahaja institusi yang dibincangkan, keadaannya memang mengaibkan. Dalam politik, dalam kerajaan, dalam perniagaan, sebutlah apa sahaja. Semuanya hancur. Apakah sesiapa berminat memperbaikinya? Kalau adapun mereka bukannya dalam BN ataupun kerajaan. Apabila kenyataannya terserlah, dia akan mencetuskan kebangkitan rakyat menyanggahnya sehingga kebangkitan itu akan membengkak membuatkan kuasa rakyat (People’s Power) di Filipina semacam satu jamuan di taman sahaja.

Krisis MCA adalah menggambarkan betapa teruknya keadaan sebenar dalam negara ini. Tidak ada sesiapa yang berani menaruh kesangsian terhadap Dr. Mahathir, apa sahaja yang diarahkannya sudah pasti dilaksanakan. Dia tahu itu bukan keadaan sebenarnya. Kemarahan orang Melayu semakin membengkak setiap hari. Dia tidak berani berpeleseran di seluruh negara secara bebas semacam dulu dan seperti yang dilakukannya di luar negara. Walaupun ada kawalan keselamatan yang ketat diberikan kepadanya. Pihak perkhidmatan awam memperlekehkan arahannya. Para menteri yang sepatutnya menumpukan tugas terhadap porfolio mereka, lebih berminat mencari kerja apabila sudah tidak berpangkat. Hampir semua semacam Dr. Ling, mempunyai alasan panjang kenapa mereka masih bertahan. Tetapi mereka dipertahankan kerana mengelak kecacatan yang mungkin mereka cetuskan dalam UMNO seandainya mereka dilepaskan. Lagipun Dr. Mahathir tidak berupaya membersihkan parti bukan UMNO dalam BN sedangkan dia tidak mampu melaksanakannya pada UMNO yang sudah tidak relevan itu. Inilah dilema yang menghantuinya dan Dr. Ling adalah mangsa terbaharu dalam perkara ini. Walaupun dia terus menjadi Presiden MCA selepas pengundian dalam parti.

MGG Pillai
pillai@mgg.pc.my
********
Kebenaran Yang Menentukan Kebebasan
(Truth Will Set You Free)
oleh Mary Khodr 12/4/2002.. www.pinaonline.com

Pada tahun 1948, ibu bapa saya, warga Palestin beragama Kristian, menetap di perkampungan asal kami di Khir Birem terpaksa bergegas keluar setelah diberi arahan mengejut supaya meninggalkan tanah perkampungan kami oleh askar yahudi. Mereka dipaksa mengosongkan tanah kampong halaman untuk memberi ruang kepada pendatang imigran Yahudi. Ibu bapa saya turut mengikuti keseluruhan masyarakat kampong yang beragama Kristian di Kfir Birem dan Iknit yang telah dipaksa melalui muncung senapang untuk melupakan tanahair dan sejarah warisan bangsa untuk memulakan satu perjalanan yang sungguh ngeri secara berjalan kaki ke arah Selatan Lubnan. Dengan hanya berbekalkan sepasang pakaian yang mereka pakai, dengan anak-anak yang di kendong di bahagian belakang, dan kunci rumah sebagai bekalan ingatan itu.

Demikianlah bermulanya pengalaman pahit itu dan bermulanya nasib buruk ratusan ribu bangsa Palestin yang dihantui masa depan penuh kemiskinan, penafian dan status pelarian yang diwarisi sehingga hari ini. Nama mereka, wajah mereka dan kisah pengalaman dan martabat mereka telah dilupakan oleh dunia yang sudah dirobotkan kepada kisah penderitaan Yahudi di zaman Perang Dunia Kedua dan tidak kepada penderitaan bangsa Palestin yang dimangsakan oleh mangsa Holokos yang dengan sengaja melakukan dosa kemusnahan dan penghapusan kaum generasi ibu bapa saya dan keseluruhan masyarakat Palestin.

Berbeza dengan ibu bapa saya yang mati di tanah orang yang sungguh sejuk dan begitu jauh daripada tanah tumpah darah kesayangan mereka, warga yahudi telah menuntut dunia agar ‘TIDAK MELUPAKAN’ penderitaan mereka sedangkan pada waktu yang sama mereka menafikan kami bangsa Palestin kisah penderitaan kami pula. Kisah kezaliman, yang tidak disangka dan mengejutkan dunia akan sejarah dua bangsa ini adalah kisah sejarah silam yang panjang betapa yahudi dihukum di Eropah hingga berakhir dengan peristiwa Holokus . Sayangnya, peristiwa sedih itu tidak melembutkan hati Yahudi ataupun mengisinya dengan perasaan insani. Sebaliknya ia mengeras menjadi batu menukarkan mereka menjadi algojo bangsa Palestin.

Pengkaji sejarah Yahudi telah berpendapat bahawa penubuhan kerajaan Israel dengan cara menzalimi keseluruhan bangsa Palestin adalah merupakan ‘Dosa Besar Tulis’ Israel. Ibu bapa saya pernah diberitahu oleh askar Yahudi betapa mereka boleh pulang semula selepas 15 hari. Lima belas hari dan lima puluh tiga tahun kemudiannya, keluarga saya dan berjuta lagi warga Palestin masih lagi tinggal di khemah pelarian, penuh kemiskinan, merempat, dan dilupakan oleh dunia yang begitu taksub oleh kebangkitan ‘anti-semitisme’ dan sikap manja yang ditunjukkan oleh Amerika terhadap Yahudi. Pada tahap awalannya pada tahun 1948, dunia Arab telah menolak keputusan PBB mahu menjadikan bumi Palestin menjadi wilayah besar Israel dan wilayah kecil Palestin sedangkan itulah keputusan yang ditentang oleh bangsa Palestin. Tetapi pada tahun 1949, bangsa Palestin menerima keputusan itu, tetapi Yahudi enggan akur padanya.

Israel tidak mampu wujud seandainya wang Amerika tidak dicurahkan bersama kelengkapan perang, kuasa veto PBB, dan media yang berpihak-pihak. Presiden Truman merupakan pemimpin politik Amerika yang mengikhtiraf Israel bertentangan dengan nasihat kabinetnya kerana mahukan undi Yahudi dan inilah yang menentukan nasib berjuta warga Palestin hingga ke hari ini.

Di manakah kemarahan Kristian Amerika ketika Kristian di Tanah Suci mereka menghadapi maut, rumah kediaman mereka dimusnahkan, dan warga seagama mereka dihalau keluar Tanah Suci. Di manakah mereka ketika Yahudi mencemarkan Baitullaham dan Church of the Nativity (tempat kelahiran Nabi Isa a.s.)? Yang sedihnya orang yang bertugas menarik tali loceng gereja itupun telah ditembak mati oleh penembak curi Yahudi. Sejak Israel bertapak di situ pada 1948, kadar penduduk beragama Kristian telah menurun daripada 20 peratus merudum sehingga kurang dua peratus disebabkan penaklukan Yahudi dan kekejamannya. Yang lebih malang lagi kebanyakan rakyat Amerika tidak pun sedar betapa penduduk Kristian hidup di Palestin di bawah penjajahan Israel.

Bacalah tulisan Chris Hedges bekas ketua pengarang New York Times di biro Timur Tengah dalam majalah Harper’s bertarikh Oktober 2001. Pada muka surat 59 beliau menulis: “Saya pernah melihat kanak-kanak ditembak di El Salvador, Algeria, Guatemala, Sarajevo, tetapi saya TIDAK pernah melihat askar (Yahudi) mengumpan kanak-kanak laksana tikus memasuki perangkap untuk membunuh mereka laksana satu permainan SUKAN”. (Seven Days in a Palestinian Refugee Camp)

Disebabkan media yang ‘bias’, hanya Amerika yang menyebelahi penjajahan Israel sedangkan keseluruhan dunia yang lain memperakui betapa bangsa Palestin adalah mangsa penubuhan Israel itu dan mendesak agar Israel menghentikan penaklukannya.. Sebagai manusia yang dijajah, orang Palestin mempunyai hak seperti yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa untuk menentang penjajahan.

Israel merupakan Negara ketenteraan yang nombor-empat terbesr di dunia ini, sedangkan orang Palestin hanya memiliki pistol, dan jiwa mereka untuk berperang ke arah kemerdekaan. Media kita hanya memberi focus terhadap 'pengebom relamati Palestin' tetapi sengaja mengabaikan sejarah panjang Israel terhadap Palestin, British, Arab lain, dan Yahudi juga, seperti melakukan pembunuhan, assassin, pemusnahan rumah kediaman, membakar tanah perladangan, mencabut pokok tanaman zaitun, menghalau keluarga untuk memberi ruang melebarkan jalanraya dan kolam renang kepada pendatang Yahudi, kemusnahan hospital, rumah anak-anak yatim dan orang tua, malahan mengebom satu-satunya sekolah tajaan PBB untuk kanak-kanak buta yang tidak tahu cara menyelamatkan diri daripada serangan bom mereka.

Sepanjang pelancaran intifada, 1,400 orang Palestin kebanyakannya orang awam, di mana satu pertiga adalah kanak-kanak telah terkorban dengan 30,00 lagi yang tercedera. Angka ini adalah berbanding hanya 400 Yahudi kebanyakannya adalah askar yang mati, dengan 250 orang yang tercedera. Yahudi yang menjadi mangsa ditunjukkan di TV menanggung kesedihan mereka. Palestin yang menjadi mangsa hanya merupakan angka statistik tanpa wajah dan nama.

PBB telah meluluskan lebih 50 resolusi Majlis Keselamatan yang sengaja diabaikan oleh Israel kerana sokongan Amerika. Resolusi itu menuntut agar Israel menghentikan penjajahannya dan pencemaran hak asasi manusia terhadap warga Palestin. Selama 53 tahun Israel menjawab ‘Tidak!’. Selama 53 tahun Israel telah memberitahu dunia, termasuk kita pembayar cukai pendapatan di Amerika , yang telahpun memberikan sumbangan sebanyak $134 billion dollar sejak 1949 (sekitar $17 juta dollar setiap hari) agar kita pergi jahanam. Ketika Bush mendesak Israel berundur daripada bandaraya Palestin, jawapan Sharon ialah dengan menakluki Hebron. Sejak itu selama empat hari, Sharon telah memberitahu Presiden kita dan negara ini agar pergi jahanam sahaja.

Tidak ada negara lain yang mampu menguasai kerajaan kit a dan kepentingan negara. Selama 53 tahun, bangsa Palestin telah dilupakan, diabaikan dan dimomok oleh kerajaan dan media yang Pro-Israel. Israel menjadi semacam baji di antara kita dengan dunia sejagat, terutama sekali sekitar 1.3 billion umat Islam yang sebelum kemunculan Israel tidak pernah melakukan sebarang kejahatan terhadap Amerika. Orang ramai tidak membenci Amerika, tetapi mereka membenci dasar Amerika yang dipelopori oleh kumpulan berkepentingan yang memang perkasa, seperti kumpulan pelobi Yahudi di Washington yang menentukan kita menyokong Isarel tak kiralah betul ataupun ada kesalahannya.

Pada tahun 1982 saya berada di Beirut bertugas di bilik kecemasan sebuah Hospital Amerika ketika Sharon mengepung bandar itu dan memutuskan bekalan elektrik dan air dan memusnahkan apa sahaja yang kelihatan. Setiap hari selama 3 bulan, saya melihat mangsa kekejaman Sharon. Ada golongan bapa yang mencari isteri mereka, ibu yang mencari anak-anak mereka dan seorang anak kecil yang terbelah perutnya sedang terbaring sendirian di atas kain pengusung. Saya telah melihat sendiri keratan kaki seorang lelaki yang jatuh terkulai sebaik sahaja menyentuhnya. Arahannya agar 2,000 (dua ribu) warga Palestin di khemah pelarian dibunuh dengan kejam (lelaki perempuan dan kanak-kanak), selama tiga hari telah menyuntik perasaan warga Israel untuk mengutuk dan mengecam Sharon. Kini di Belgium, dia sedang dihakimi kerana jenayah perang itu. Penaklukan Sharon itu ada kaitan dengan usaha melindungi penempatan pendatang haram yahudi dan bukannya kerana keselamatan Israel.

Sejarah keganasan Israel termasuk menggunakan kereta yang dimuat bahan letupan untuk membunuh orang awam dan pernah memulakan kerja rampasan pesawat di rantau itu. Israel adalah satu-satunya kuasa nuklear di rantau itu. Israel merupakan satu-satunya penjajah tanah orang di rantau itu. Kerajaan kita dan media kita mempertahankan Israel walaupun ia pernah menyerang kapal tentera laut kita, USS Liberty, pada 1967 membunuh 34 rakyat Amerika dan mencederakan 171. Bayaran cukai kita telah mengongkosi Muzium Holokos di Washington D.C sedangkan tidak ada satu cent pun cukai sumbangan kita digunakan untuk membina satu tugu kenangan kepada wira kita pada Perang Dunia Kedua.

Kebisuan warga Kristian Amerika terhadap dasar Israel mengganyang masyarakat Kristian Palestin adalah sesuatu yang memalukan. Orang Kristian tidak dibenarkan memasuki kawasan Jerusalem untuk beribadat di dalam gerejanya. Kenapakah pemimpin politik kita, ketua agama kita (clergy) media dan rakyat Amerika diam membisu terhadap penderitaan masyarakat Kristian di Palestin? Apakah kita sengaja tidak peduli? Nabi Isa mengajar kita menghadapi kebenaran dan ketidak-adilan di mana juga, tetapi nampaknya kita enggan mematuhinya apabila ia mempunyai kaitan dengan Israel.

Saya bersimpati dengan penderitaan ibu-ibu Israel dan Palestin yang mengebumikan anak-anak mereka kerana sikap haprak ahli politik yang tidak berguna dan dunia yang sanggup membisu sahaja. Lambat laun warga Amerika akan menyedari kebenaran dan ketidak-adilan yang dideritai oleh Palestin selama 53 tahun. Seperti yang disebut oleh al-Masehi, ‘Kebenaran akan membebaskan anda’. Sudah wujud ribuan askar yahudi dan pemerintah pasukan mereka yang menyedari “kebenaran” akan kewujudan penempatan haram Yahudi dan penaklukannya sambil memilih untuk bersedia dipenjarakan daripada membunuh, waima seorang lagi bangsa Palestin.

Saya menyeru kepada semua umat Kristian agar bangkit daripada sikap membisu dan membebaskan diri daripada ketakutan dan perasaan berdosa. Cucu-cicit Nabi Ibrahim sedang merana dan menderita kerana kerajaan kita takutkan undi pro-Yahudi, wang, dan kuasa media mereka. Marilah kita berdoa kepada Allah, untuk mendapatkan panduan dan hidayatnya agar kita mampu menghentikan pertumpahan darah di tanah kelahiran Jesus Christ. Tolong beritahu Presiden dan Kongres menghentikan pemberian bantuan berbillion dollar kepada Israel sehingga ia bersetuju mencapai perdamaian dan berundur daripada segala tanah jajahan yang dirampas secara paksa pada 1967. Keseluruhan Liga Arab dan Arafat sudahpun menerima resolusi ini. Terpulang kepada Israel mematuhi penentuan hukum antarabangsa dan menghormati nyawa Kristian dan Muslim dan kawasan kediaman mereka.


SPAR.