Make your own free website on Tripod.com

PM Arah pemimpin MCA tutup mulut
(The Prime Minister orders MCA leaders to shut up (Must Read)

MGG Pillai 15/4/2002.

Pelawat yang mengunjungi Parlimen dibenarkan dengan syarat mereka tidak bercakap dengan MP Barisan Nasional. MP tidak boleh menyoal parlimen berapakah gaji para menteri kerana soalan semacam itu dianggap berbahaya. Lagipun mereka menerima gaji yang begitu tinggi sehinggakan mereka yang mengundi dulu tidak berhak untuk tahu. Kini perdana menteri memberi arahan agar pemimpin MCA menutup mulut supaya kita menjadi keliru untuk mengetahui betapa berpecahnya MCA. Seperti biasa, perkara itu dijadikan isu sampingan sahaja, setelah dia menghadiri satu jamuan golf. “Boleh saya buat sedikit kenyataan?” dia bertanya kepada wartawan. “Saya mahu buat komen sedikit bahawasanya MCA tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan kepada sesiapa, termasuk saya. Itu sahaja.” Kalau anda mahu tahu betapa seriuskah krisis UMNO, Dr. Mahathir boleh membuat perakuannya. Dia berkata Presiden MCA, Dr. Ling Liong Sik, dan 'sahabat karibnya' merangkap Timbalan Presiden MCA, Lim Ah Lek sudah bersetuju dengan arahan tutup mulut itu.

Pada waktu yang sama, cadangan mesyuarat tergempar MCA, yang mahu dilaksanakan oleh Lim tetapi bukan diminati oleh Dr. Ling, dijangka akan berlangsung juga. Dr. Mahathir tidak mahu apakah dia akan menegahnya. Sepatutnya dia tidak boleh berbuat begitu kerana ia akan melanggar undang-undang. Oleh kerana dia akan ke luar negara untuk lawatan bulanannya – kali ini ke Maghribi, Libya dan Qatar (SUDAH TUKAR AGENDA? – dulu kata Bahrain – Penterjemah) bermula esok; dan beliau akan pulang bertepatan dengan masa bermulanya mesyuarat tergempar (EGM) itu. Tentu ada rahsia di sebalik semua itu. Kalau dia tidak pulang bertepatan masanya, dan EGM itu dilangsungkan, pengaruh Dr. Ling akan terjerumus ke longkang sekali lagi. Setiausaha Agung MCA yang lebih pengecut daripada usaha untuk menyelesaikan kesangsian yang muncul, telah berkata bahawa permintaan EGM itu adalah mempunyai cacat celanya, kerana ramai orang yang telah menulis kepadanya menarik diri daripada senarai cadangan mereka dulu. Yang peliknya mereka tidak pula menulis memberitahu siapa yang mahu menganjurkan EGM itu. Secara hukumnya, EGM itu mempunyai korum yang cukup dan dibenarkan. MCA bertindak menyonsang kepada perlembagaan dan peraturan yang menjadi peraturan kewujudannya. Cara tiga buah akhbar - The Star, Nanyang Siang Pau, China Press – menyerang Dato' Seri Lim Ah Lek dan kumpulan beliau membuatkan kedudukan mereka dalam bahaya.

Kalaulah ditakdirkan Dr. Ling kalah, Dr. Mahathir yang satu ketika dulu memikirkan dia boleh mendalangi MCA melalui Dr. Ling kini sudah berfikiran gelagatnya itu adalah tidak wajar. Tetapi Dr. Ling yang berpendirian autokratik, sudah takut kepada bayangnya sendiri, disebabkan tekanan oleh 'sahabat akrabnya'. Dia telah begitu gelojoh menjerumuskan MCA dan masyarakat Cina ke lembah keaiban, laksana seorang maharajah yang tidak berpakaian, dia sudah begitu terbogel dan penyokong kuatnya sudah gelabah dan mula melihat di sebalik bahu mereka untuk membuat urusan pakatan dengan kumpulan Lim Ah Lek yang lebih dikenali sebagai Tim ‘B’. Masyarakat Cina sudah sibuk dengan desas-desus akan tersembulnya satu muslihat untuk menyelesaikan masalah kepimpinan ini. Arahan menutup mulut itu adalah satu muslihat untuk membiarkan segala urusan merapatkan keadaan dilakukan oleh tikus-tikus politik sementara raja kucing berada di luar negara untuk merehatkan otaknya. Ini juga merupakan satu langkah menyelamatkan airmuka Dr. Ling, kerana dia dijangka akan jatuh teraib tidak kiralah kalau dia menang ataupun kalah kali ini.

Dr. Mahathir tidak punyai banyak pilihan. Dia amat faham dengan masyarakat Cina yang sudah berpecah-belah kerana Dr. Ling menjadi Presiden MCA, seperti orang Melayu yang berpecah disebabkan Dr. Mahathir menjadi Presiden UMNO. UMNO dan MCA memang sudah tidak relevan kepada masyarakat yang mereka wakili. Lagipun BN tidak mampu bertahan dengan hanya undi orang Melayu seperti kejayaannya antara 1955 hingga 1995. Tanpa undi Cina, Sarawak dan Sabah, BN tidak akan dapat mempertahankan majoriti dua pertiga. (Yang menyelamatkan BN ialah kewujudan Pembangkang yang tidak relevan, tetapi itu perkara lain sahaja). Pergelutan dalaman UMNO adalah sama serius dengan kisah MCA. Orang Melayu sudah semakin tidak mempedulikan UMNO seperti Cina yang memperlekehkan MCA.

Dengan lain perkataan, dia melihat krisis MCA persis masalah yang menghantuinya dengan UMNO dan orang Melayu. Dia tidak mahu orang Melayu mendapat ilham cara menanganinya secara berkonfrontasi. Sudah menjadi satu rahsia terbuka dalam UMNO, betapa Timbalan Presidennya Abdullah Ahmad Bedawi menghadapi cabaran daripada Naib Presiden Najib Tun Razak, untuk peluang menggantikan Dr. Mahathir. Perkara ini memang dinafikan, walaupun perbincangan di sebalik tabir untuk menyelesaikan perkara itu tanpa mengujinya di kalangan akar umbi masih diteruskan lagi. Ketika Mahathir mengarahkan pemimpin MCA menutup mulut mereka, sebenarnya dia lebih memilih kalau-kalau pemimpin UMNO bertindak serupa. Cuma dia tidak akan berjaya melihatkan kesannya sama dengan keadaan yang akan terjadi kepada MCA.

Yang amat menakutkan sekarang ini ialah cara dia memimpin kerajaan, parti dan apa juga lagi secara autopilot sedangkan dia berpeleseran dengan alasan yang mudah mencuit perasaan. Dia membuat satu amalan ke luar negara sekurang-kurangnya sekali setiap bulan untuk menonjolkan pujian bahawa hanya dialah pemimpin kerajaan yang paling jauh perjalanannya pada bila-bila masa. Dia tidak ada di negara sendiri untuk memberikan kepimpinan dan serba-serbi tunggang-langgang disebabkan menteri kabinet bersiap untuk pilihan dalam parti ataupun bersedia melompat keluar parti bila tiba masanya. Setiap kali ada institusi yang tersungkur dan kerajaan tidak dapat memberikan jawapan mengenainya, dengan mudah ia mengenakan peraturan menyekat perdebatan, dengan tanggapan perkara itu akan terpendam begitu sahaja. Tidak kiralah apa sahaja institusi yang dibincangkan, keadaannya memang mengaibkan. Dalam politik, dalam kerajaan, dalam perniagaan, sebutlah apa sahaja. Semuanya hancur. Apakah sesiapa berminat memperbaikinya? Kalau adapun mereka bukannya dalam BN ataupun kerajaan. Apabila kenyataannya terserlah, dia akan mencetuskan kebangkitan rakyat menyanggahnya sehingga kebangkitan itu akan membengkak membuatkan kuasa rakyat (People’s Power) di Filipina semacam satu jamuan di taman sahaja.

Krisis MCA adalah menggambarkan betapa teruknya keadaan sebenar dalam negara ini. Tidak ada sesiapa yang berani menaruh kesangsian terhadap Dr. Mahathir, apa sahaja yang diarahkannya sudah pasti dilaksanakan. Dia tahu itu bukan keadaan sebenarnya. Kemarahan orang Melayu semakin membengkak setiap hari. Dia tidak berani berpeleseran di seluruh negara secara bebas semacam dulu dan seperti yang dilakukannya di luar negara. Walaupun ada kawalan keselamatan yang ketat diberikan kepadanya. Pihak perkhidmatan awam memperlekehkan arahannya. Para menteri yang sepatutnya menumpukan tugas terhadap porfolio mereka, lebih berminat mencari kerja apabila sudah tidak berpangkat. Hampir semua semacam Dr. Ling, mempunyai alasan panjang kenapa mereka masih bertahan. Tetapi mereka dipertahankan kerana mengelak kecacatan yang mungkin mereka cetuskan dalam UMNO seandainya mereka dilepaskan. Lagipun Dr. Mahathir tidak berupaya membersihkan parti bukan UMNO dalam BN sedangkan dia tidak mampu melaksanakannya pada UMNO yang sudah tidak relevan itu. Inilah dilema yang menghantuinya dan Dr. Ling adalah mangsa terbaharu dalam perkara ini. Walaupun dia terus menjadi Presiden MCA selepas pengundian dalam parti.

MGG Pillai
pillai@mgg.pc.my