Make your own free website on Tripod.com

Rampasan Kuasa di Venezuela: Cerita Seorang Pemerhati
(Coup in Venezuela: An Eyewitness Account)
Oleh Gregory Wilpert-Caracass. (Wilpert@cantv.net)

Pengendalian rampasan kuasa itu memang boleh dipuji, dan besar kemungkinannya ia dirancang begitu lama sebelum ianya terjadi. Hugo Chaves, seorang diktator komunis dan fasis Venezuela tidak dapat menerima hakikat kebenaran dan telah menapis dan menyaring bahan media secara berterusan. Untuk kepentingan diri dan para suku-sakatnya (termasuk golongan wanita pilihannya, kerana anggota kabinetnya dulu mempunyai lebih ramai wanita daripada kaum lelaki berbanding kerajaan Venezuela yang dulu-dulu). Chaves telah menjahanamkan negara ke kancah bencana. Akhirnya dia lebih suka membunuh mereka yang menentang rencananya. Dengan alasan mahu menegakkan demokrasi, kebebasan, keadilan dan kekayaan di Venezuela, serta mengelakkan pertumpahan darah, badan perdagangan, kesatuan sekerja persekutuan, dengan kata pendeknya; masyarakat civil (madani) dan tentera Venezuela telah bertindak bahawa Chavez mesti dibendung – betapa Chaves telah diberi peluang dan segala percubaannya ke arah 'revolusi Bolivia menjurus demokrasi perdamaian' terpaksa ditamatkan secara mengejut.

Demikianlah versi peristiwa yang disogokkan oleh pihak rasmi yang memegang kuasa dan juga oleh media massa, untuk semua orang mempercayainya. Jadi apakah kisah sebenarnya? Sudah tentu saya tidak tahu, tetapi saya akan mencuba menuliskan fakta seperti yang saya saksikannya.

Pertama sekali, tentera telah berkata alasan utama rampasan kuasa itu adalah disebabkan peristiwa hari ini, April 11. 'Masyarakat sivil' seperti nama jolokan yang disenangi oleh pihak pembangkang itu kini, telah menganjurkan satu demonstrasi jalanan yang melibakan 100,000 hingga 200,000 manusia untuk berarak ke ibupejabat syarikat minyak Venezuela PDSVA kerana mempertahankan puak pengurusan yang telah diberhentikan khidmatnya. Sehari sebelum perarakan itu, semua penyiar TV swasta telah menyiarkan iklan himpunan manusia itu, sekitar sekali setiap sepuluh minit. Perbarisan itu memang berjaya, aman dan tiada gangguan pihak kerajaan dalam apa bentuk jua, walaupun perbarisan itu telah menghalang secara haram kebebesan lalulintas, yang merupakan laluan utama Caracas terutama pengangkutan awam untuk beberapa jam.

Entah mengapa secara tiba-tiba pihak penganjur telah membuat keputusan mengalihkan perjalanan itu ke Miraflores, ibupejabat Presiden, untuk menyanggah penunjuk perasaan pro-kerajaan, yang telah dikumpulkan di saat terakhir. Terdapat sekitar 5,000 orang penunjuk perasaan pro-Chaves yang berkumpul waktu itu sdebaik sahaja kumpulan anti-kerajaan sampai di tempat mereka. Antara dua kumpulan yang berhimpun itu ialah pasukan polis bandar, yang diketuai oleh Datuk Bandar Caracas yang datang daripada parti pembangkang, Pasukan National Guard, yang di bawah kuasa presiden. Semua pihak mendakwa mereka berhimpun dengan aman tidak mahu memprovok sesiapa. Saya berada di sana sejurus ketika kumpulan pembangkang bergocoh dengan National Guard. Siapa yang memulakan pergaduhan itu dengan menggunakan gas pemedih mata dan batu, seperti yang kerap berlaku dalam situasi seperti itu, tidak ada sesiapa yang tahu. Sejurus kemudian beberapa tembakan dilepaskan ke arah kumpulan manusia dan saya dapat melihat dengan jelasnya betapa tiga kumpulan yang berbeza terlibat dengan tembakan di situ. Mereka adalah polis bandar, penyokong Chaves, dan penembak ‘sniper’ di bahagaian atas bangunan. Sekali lagi, siapa yang memulakan tembakan itu merupakan satu persoalan yang tidak mudah dijawab. Sekurang-kurangnya sepuluh manusia terbunuh, dan hampir 100 orang yang tercedera dalam tembak-menembak itu – separuh daripada mereka adalah penunjuk perasaan.

Salah satu stesen TV berjaya merakamkan peristiwa itu daripada salah satu sudut kejadian dan menyiarkan rakaman itu secara berulang-ulang, sambil memberi andaianya yang mula-mula sekali mencetuskan tembakan adalah penyokong Chaves di kalangan mereka yang menunjuk perasaan terhadap manusia yang tidak digambarkan oleh kamera yang merakamkan peristiwa itu. Pihak media pula menayangkan rakaman itu berulang kali dengan andaian bahawa penyokong Chaves telah menembak ke arah kumpulan manusia yang tidak bersenjata. Tetapi, hakikatnya dan kemungkinan kebenaran itu tidak akan disiarkan, kebanyakan mereka yang mati di situ adalah penyokong Chaves. Penembak curi di bahagian atas bangunan adalah kumpulan khas daripada parti pembangkang yang ekstrem yang lebih dikenali sebagai Bandera Roja.

Dua fakta yang terakhir itu, walaupun penting maksudnya, tidak mungkin akan diketahui kerana ia tidak serasi dengan metos baru, yang mengatakan Chaves telah memberikan senjata kepada penyokongnya dan mengarahkan mereka menembak kumpulan yang menentang mereka. Mungkin juga, maklumat saya ini tidak betul, tetapi yang pasti ialah media tempatan tidak akan menyiasat kesahihan maklumat ini. Media antarabangsa pula berkemungkinan melaporkan sahaja maklumat yang disiarkan oleh media tempatan seperti yang telah mereka lakukan.

Kesilapan besar Chaves yang mungkin terserlah pada hari itu, yang dijadikan bahan bukti oleh puak yang menuduhnya sebagai anti-demokrasi ialah tindakannya mengarahkan penutupan stesen TV swasta. Sepanjang hari itu mereka telah menyiarkan peristiwa konfrontasi tersebut dan Chaves berpendirian stesen itu sengaja membesar-besarkan keadaan dan seharusnya ditutup sementara untuk menjaga keselamatan.

Disebabkan tindakannya itu, masyarakat sivil (civil society), media dan tentera telah sepakat mahukan Chaves berundur kerana dia dituduh menentang rakyatnya sendiri. Inilah satu pembohongan dan yang sengaja dilupakan ialah segala kejayaan pentadbiran Chaves. Kini sudah wujud satu perlembagaan demokratik, yang berjaya memusnahkan kuasa monopoli dua parti utama yang sama-sama korup dan tindakan Chaves itu telah berjaya menonjolkan Venezuela dalam aspek pembangunan institusinya. Beliau telah memperkenalkan reformasi tanah, membiayai pelbagai projek pembangunan masyarakat, membasmikan rasuah, meningkatkan reformasi pendidikan yang melibatkan lebih 1 juta kanak-kanak di tahun pertama sambil melipat-gandakan perbelanjaan untuk pendidikan. Chaves telah merancakkan ekonomi kecilan untuk mengurangkan perasaan kurang selamat golongan miskin, dan berjaya mendapatkan harga minyak yang lebih baik melalui OPEC dan sekaligus melipat-gandakan kutipan pendapatan kerajaan. Chaves telah berkempen di pentas dunia terhadap neo-liberalisme, dan mengurangkan kadar pengangguran negara daripada 18% kepada 13%, dan memperkenalkan program mikro-kredit besar-besar untuk golongan miskin dan wanita. Dia juga telah melakukan reformasi terhadap sistem cukai, dan mengurangkan sikap culas-membayar cukai untuk meningkatkan pendapatan kerajaan. Kadar kematian bayi menurun daripada 21% kepada 17%, kadar celik huruf naik tiga kali ganda, sistem perundangan dimodenkannya dan banyak lagi.

Para penentang Chaves yang merupakan puak lama dalam industri media, kesatuan sekerja, sektor perniagaan, gereja, dan pasukan tentera yang secara tradisinya memang konservatif, tidak pernah ambil peduli segala kejayaan yang dicapainya. Sebaliknya mereka mengambil keuntungan daripada monopoli media untuk memutarkan minda orang awam dan berjaya menggunakan stail autokratik dan cacat-cela kepimpinannya itu sebagai bahan menjatuhkannya. Masyarakat sivil telah dirobotkan sebagai penentang Chavez yang fanatik.

Buat masa ini adalah amat sukar untuk mengetahui apa yang akan jadi kepada ‘Bolivian Revolution’ ciptaan Chavez. Apakah konsep itu akan digugurkan sepenuhnya ataupn apakah Venezuela akan menyorot kembali kepada tradisi naungan yang pernah memuncak 40 tahun dulu, di mana korupsi, dan ketuanan untuk pihak yang kaya raya menjadi dasar kerajaan yang baru. Kita hanya boleh menyatakan tanpa sebarang kesangsian, bahawa tindakan memperlekehkan demokrasi berperlembagaan, tidak kiralah betapa kurang popularnya ataupun kurang cekapnya seseorang pemimpin pilihan ramai itu, kelas atasan Venezuela dan pasukan tenteranya, telah menunjukkan betapa mereka belum matang berpolitik sehingga sanggup mengaibkan budaya politik Latin Amerika. Begitu juga yang terjadi kepada rampasan kuasa terhadap Savador Allende pada 1973 dulu. Rampasan kuasa ini sekali lagi menunjukan betapa demokrasi di Latin Amerika adalah satu pilihan golongan atasan sahaja, dan bukannya kerana ia adalah satu bentuk perundangan.

Kalau Amerika Syarikat dan juga masyarakat antarabangsa mempunyai keberanian untuk mengamalkan apa yang mereka canangkan selama ini, maka tibalah masanya untuk tidak mengikhtiraf kerajaan baru yang menggantikan Chavez. Demokrat di seluruh dunia seharusnya mendesak kerajaan mereka untuk tidak mengikhtiraf Venezuela yang dikendalikan oleh junta tentera atapun sebarang presiden yang mereka pilih. Mengikut piagam Charter of the Organisation of American States (OAS) ini bererti Venezuela layak disingkirkan oleh OAS, seperti yang diancam oleh seorang pegawai jabatan negara AS. Haraplah anda menelefon jabatan negara AS ataupun menteri luar negara anda dan beritahu mereka agar menarik balik duta mereka daripada Venezuela.

Terjemahan oleh SPAR