Make your own free website on Tripod.com

Sahabat Kita di Jenin
(Our Friends In Jenin)
Oleh Seumas Milne -The Guardian of London. 11/4/2002.

Kisah keganasan dan kehancuran yang meledak di khemah pelarian Jenin kini sudah semakin mendebarkan. Ketika pemerhati bebas sengaja tidak dibenarkan ke sana – termasuk ambulan dan bekalan darah PBB – tentera Israel telah meneruskan kegilaan mereka menyusuri pekan berbukit yang sudah terhimpit, sambil memusnahkan penentangan Palestin yang sudah tertekan. Ratusan orang Palestin dilaporkan terbunuh, termasuk orang awam. Seperti di beberapa pekan dan khemah pelarian di Tebing Barat, laporan penderaan dan pembunuhan para banduan memang berleluasa, dan Israel seolah-olah memang bersedia dengan bahan bukti kekejaman mereka. Pada waktu yang sama di seluruh dunia Arab – di mana rakaman dan berita keganasan Ariel Sharon dapat dilihat di skrin TV - sambil berjuta orang yang berhimpun di jalanan menyatakan kemarahan mereka terhadap kejadian yang ngeri dan ganas itu. Sedangkan pemimpin mereka yang taksub dengan sokongan Barat telah bersedia dengan senjata yang terhunus di tepi jalan membunuh dan mencederakan penunjuk perasaan daripada Bahrain hinggalah Alexandria.

Di sinilah caranya peperangan terhadap keganasan itu ditamatkan, di mana kanak-kanak yang meraung dipaksa meminum air taik dan mayat bergelimpangan disodok dengan selamba oleh jentolak sahaja. Kejadian serangan pengebom relamati di sebuah bas di Haifa semalam (asal usul bermulanya pelarian Jenin dihalau pada 1948 dulu) adalah satu manifestasi betapa hapraknya strategi Sharon dan kerajaannya terhadap penyatuan kebangsaan. Operasi serangan terbesar sejak dua dekad yang lalu sepatutnya bertujuan membasmikan segala rangkaian keganasan yang mengancam begitu dahsyat dan berbisa seperti kejadian semalam. Tetapi tindakan membalas dendam yang begitu terdesak itu lahir disebabkan selama setengah abad mereka diperlekehkan dan menjadi begitu tidak bertenaga, dan kematian orang awam adalah lebih berbisa daripada penderitaan yang ditanggung oleh Israel sejak 18 bulan yang lalu. Apakah alternatif yang dimiliki oleh kerajaan untuk mempertahankan keselamatan rakyatnya dalam keadaan sedemikian, tanya ahli politik Israel. Jawapannya memang begitu nyata: berundur daripada segala wilayah yang pernah dijajahnya sejak 1967 dan perbetulkan masalah penghapusan kaum yang menjadi penyebab kewujudan wilayah penempatan yahudi itu sejak 19 tahun yang lalu.

Sharon tidak mempunyai sebarang niat berbuat demikian. Sebaliknya dia dia telah menciplak gelagat peperangan ala-Peranchis terhadap pejuang FLN di Algeria pada 1950-an dulu. Seperti Sharon dengan kekuatannya di Israel, Peranchis telah melancarkan segala kekuatan ketenteraan terhadap pengebom, pejuang bersenjata, sambil membunuh, mendera dan memenjarakan ribuan manusia, dan menghenyak kumpulan penentang (kasbah) dengan penuh kezaliman. Namun, sejurus selepas satu tempoh berdiam, revolusi rakyat membara kembali lebih kuat dan hebat, berbanding sebelumnya sehinggakan Peranchis akur dan terpaksa lari keluar. Selalunya orang Israel mempunyai ilusi yang sedikit terhadap apa yang sedang berlaku di negara mereka berbanding penyokong mereka di barat. Michael Ben Yair seorang Ketua Peguam Israel pada pertengahan 1990-an, telah memberikan gambaran betapa intifada Palestin adalah satu 'peperangan pembebasan nasional' sambil menambah: “Kita sengaja memilih menjadi satu masyarakat penjajah, memperlekehkan perjanjian antarabangsa, merampas tanah orang, memindahkan penduduk Yahudi daripada perkampungan Israel untuk menduduki wilayah yang dirampas, sambil mencuri dan mencari justifikasi kepada segala tindakan itu......kita telah menubuhkan satu regim apartheid.”

Di sebalik rayuan terbuka yang dilakonkan oleh Presiden Bush, agar Sharon menarik balik askarnya daripada wilayah Palestin, Amerika Syarikat yang merupakan satu-satunya kuasa besar dunia yang mempunyai segala kuasa ketuanan terhadap Israel untuk berundur selama-lamanya, tidakpun menunjukkan petanda begitu serius mahu menggunakan kuasa untuk menghukum negara kecil peliharaannya itu. Sebaliknya pentadbiran AS dengan laungan bersambut oleh khadamnya kerajaan British, telah mengulang-ulang 'kefahamannya' kenapa Israel menyerang Palestin pada tahap awal penaklukan mereka itu. Ketegasan Sharon mahu memusnahkan bukan sahaja 'rangkaian keganasan' dan infrastruktur ketenteraan Pihak Berkuasa Palestin (Palestine Authority) , dan juga infrustruktur awam sekali - termasuk institusi pendidikan dan kesihatan – sebenarnya telah diberikan lampu hijau keizinan kerajaan AS. Sharon dan Bush mahu menyempurnakan strategi mengnyahkan pemimpin Palestin yang dipilih ramai,Yasser Arafat, walaupun ketokohannya di merata dunia Arab sudah membesar begitu menonjol sebaik sahaja Israel merancang mahu menghapuskannya. Mereka berdua mahukan masalah yang mereka hadapi itu dikeluarkan daripada agenda Palestin agar ia menjadi bahan perdebatan sejagat di tahap yang lebih luas lagi. Sikap haprak AS itu semakin jelas dipertontonkannya dengan kelakuan setiausaha negaranya Collin Powell yang sengaja melengah-lengahkan perjalanannya di Afrika utara sambil membiarkan tentera Israel menyerang dan melumatkan Jenin, Nablus dan Baitul Laham. Sebenarnya, kemusnahan Pihak Berkuasa Palestin adalah satu tindakan yang menjadi satu dasar yang diluluskan oleh Washington.

Perkara itu memang tidak memeranjatkan. Bantuan ketenteraan Amerika dan sokongan ekonominya terhadap Israel adalah bernilai $70 bilion sejak 1979. Inilah yang membuatkan Israel menjadi ekor-libas kuasa imperial Amerika di Timur Tengah sekurang-kurangnya sejak 1960. Memang wujud mitos yang meluas betapa di penghujung satu spektrum yang berunsur fantasi anti-semitik terdapat konspirasi yahudi bersifat sejagat: betapa ketaksuban AS menyokong Israel adalah kesan daya usaha kegiatan pelobi di Washington. Hakikatnya, ia didorong oleh kemestian menempatkan kepentingan strategi di kancah pengeluar minyak yang paling penting di rantau itu. Berbeza dengan negara Arab yang diperintah oleh pemimpin peliharaan mereka, Amerika dan beberapa negara Barat yang lain mahu menentukan bekalan minyak sentiasa mengalir tanpa hentinya. Kerana itu Israel adalah sekutu yang paling dipercayai dengan rekod ketenteraan mengganyang tentera Arab yang sudah teruji. Kecemerlangan tentera Israel yang telah berjaya menumpaskan kemaraan nasserism yang sungguh berbahaya itu dengan kalahnya tentera Arab dalam peperangan enam hari. Sebagai satu negara penempatan baru yang wujud di satu wilayah yang liar, berbekalkan sistem politik dan ekonomi yang teruji dan bergantung harap kepada sokongan ketenteraan dan kewangan Amerika, sebarang tindakan Israel menyimpang daripada kepentingan AS di rantau itu adalah tindakan yang tidak diduga. Walaupun tidak mungkin untuk memikirkan kemungkinan penduduk Israel memenangkan sebuah kerajaan yang anti-barat, tanggapan itu adalah satu pengaharapan negara Arab yang tidak mungkin akan tertunai.

Trenda perhubungan yang sedia ada sebenarnya diasaskan oleh Britain ketika masih merupakan kuasa imperial di rantau itu pada awal abad yang lalu. Sir Ronald Stors, yang merupakan gabenor pertama Jerusalem di bawah penjajahan British pada 1920-an dulu, memberikan penjelasannya betapa kewujudan Israel adalah persis 'Ulster yang dihuni oleh Yahudi yang taat setia’ di tengah-tengah wilayah Arab yang liar sikapnya. Beberapa lama kemudiannya itulah peranan sebenar yang dimainkan oleh Israel untuk AS bagi kepentingan barat yang lebih luas. Ini juga merupakan penjelasan kenapa Israel diberikan lesen di kalangan negara Timur Tengah untuk mewujudkan satu negara yang memiliki tenaga nuklear yang berani memperlekehkan segala resolusi Majlis Keselamatan PBB sesuka hatinya sehinggakan EU berkemungkinan tidak akan bersetuju menguat-kuasakan sekatan ekonomi dan ketenteraan seperti yang diluluskan oleh Parlimen Eropah. Keakraban persekongkolan itu tidak bermakna AS tidak akan terus menggunakan sedikit kekerasan terhadap negara-emasnya itu, seandainya keadaan memang memerlukannya. Setiapkali AS merasakan Israel sudah naik mua sehingga menjejas kepentingan AS – seperti yang pernah berlaku pada tahun 1956 dulu, sewaktu Israel bersekongkolan dengan Britain dan Peranchis untuk merampas terusan Suez, sebagai contohnya. Ataupun pada 1980-an kettika ia cuba menahan penjualan pesawat risikan AWACS kepada Arab Saudi - mereka sanggup mengherdek sekutunya itu walaupun ramai rakannya yang berkeliaran di Capitol Hill.

Demikianlah keadaannya paradoks ke arah perdamaian di Timur Tengah sambil AS terus menjadi rakan pembantu di satu pihak dalam setiap episod perbalahannya. Hanya melalui penglibatan AS barulah tercapai satu penyelesaian berdamai untuk satu tempoh yang lama. Usaha acuh-tak-acuh Bush untuk melakonkan satu rencana mendamaikan kegiatan ganas Sharon telah menyerlahkan betapa wujudnya ketakutan terhadap kegelisahan dan ketegangan di rantau itu. Itulah masalah yang dicetuskannya untuk memudahkan rencana kebinatangan AS dalam usaha mahu membaham Iraq. Tetapi Amerika hanya akan bertindak dengan penuh keyakinan apabila ia yakin betapa kepentingannya yang memang sudah terancam.

SPAR.