Make your own free website on Tripod.com

IDF Gunakan Jentolak Menanam Mayat Palestin
(IDF Bulldozers Buried Jenin Dead Say Palestinians)
Oleh Anat Cygielman, Amos Harel dan Amira Hass
Ha’aretzDialy.com. Jumaat April 12, 2002.


Pasukan IDF (Israel Defence Forces – penterjemah) telah menimbus berdozen mayat Palestin yang dibunuhnya dalam pertempuran di perkhemahan pelarian di Jenin. Mayat itu dikambus dalam satu lubang besar dengan menggunakan jentolak. Demikian yang dilaporkan oleh sumber daripada Palestin, tetapi dinafikan sekeras-kerasnya oleh tentera Israel.

IDF menyebut mahu menanam mayat itu hari ini di Tebing Barat. Sekitar 200 orang warga Palestin telah terbunuh dalam pertempuran dengan askar Israel sejak pelancaran operasi mereka minggu dulu, walaupun tidak jelas berapa banyakkah mayat yang terlibat.

Sumber tentera Israel menyebut bahawa setakat ini IDF belum lagi menanam mayat yang ada. Sumber itu menceritakan betapa dua kompeni infantri, bersama pasukan ‘rabbinate’ (pasukan agama) akan memasuki khemah itu hari ini untuk mengumpulkan mayat. Mereka yang dapat dicam sebagai orang awam akan dialihkan ke hospital di Jenin untuk dikebumikan sedangkan mereka yang diangggap pengganas akan ditanam di satu kawasan khas di Lembah Jordan.

Ada satu sumber Israel yang menyebut keputusan menanam mayat dibuat begitu untuk mengelak Palestin menggunakan mayat sebagai bahan propaganda. Ada satu sumber lagi berkata alasannya ialah untuk tujuan kesihatan, kerana ada mayat yang sudah mereput kerana terlalu lama tersadai di khemah itu.

Pentadbiran Palestin telah menyatakan kekesalan terhadap sikap Israel menyorok jumlah sebenar yang sudah mati, kerana sengaja menyekat kemasukan pasukan perubatan Palestin memunggah mayat dan memberikan rawatan kepada mereka yang cedera di khemah itu sejak minggu yang lalu.

Penduduk yang menghuni khemah itu berkata kelmarin betapa ISDF telah pun memunggah berdozen mayat warga Palestin yang terkorban dengan menggunakan jentolak untuk menanam mereka dalam satu longkang. Palestin telah membuat aduan akan hal aib itu kepada organisasi antarabangsa seperti UNRWA. (Laporan BBC menyatakan mayat itu dihumban ke dalam longkang saluran najis – penterjemah)

Rangkaian TV semalam telah menayangkan gambar daripada khemah pelarian itu buat pertama kalinya sejak IDF menyerang khemah itu. Gambar yang dirakam oleh kakitangan Palestin, menunjukkan kemusnahan di seluruh perkampungan itu, walaupun tidak ada mayat yang kelihatan. Seorang wanita Palestin menjerit betapa askar Israel “telah mengheret mayat yang mereka bunuh dan menghumbannya dalam longkang supaya kalian tidak dapat mengesannya.”

IDF telah mendakwa bahawa mereka telah merayu beberapa kali minggu ini agar kumpulan seperti Palestinian Red Crescent Society (Bulan Sabit Palestin) datang mengumpulkan mayat dan mereka yang tercedera. Tetapi panggilan mereka tidak terjawab (BB kata ambulan Palestinpun ditembak dengan roket, kerana itu ambulan yahudi mengibarkan bendera Israel dalam pergerakan mereka - penterjemah). Jabatan perhubungan awam Israel menyatakan betapa Palestin sengaja mahu membiarkan mayat bergelimpangan sebagai bahan propaganda mereka. Tetapi banyak badan amal menyangkal dakwaan IDF dan menuduhnya sengaja menghalang mereka memasuki perkhemahan itu.


SPAR.
******