Make your own free website on Tripod.com

Kisah Serangan Israel Yang Zalim
(Tales of Abuse Amid Israeli Attack)
oleh Cameron W.Barr - The Christian Science Monitor

BURQIN, Tebing Barat – Kalau diperhatikan dari kebun pepohon zaitun di bukit berbatu di perkampungan Tebing Barat, Jenin merupakan satu perkhemahan orang pelarian yang sungguh tenang. Tidak ada apa-apa yang bergoyang. Ada beberapa kereta kebal Israel dan tenteranya yang mundar-mandir di jalanraya yang lengang. Di bahagian dalam perkhemahan itu, dua buah bangunan sedang terbakar sambil mengeluarkan kepulan asap yang naik berlegar-legar ke angkasa.

Tetapi di Burqin dan juga di beberapa perkampungan yang lain, para pelarian Jenin yang didera oleh penaklukan 10 hari tentera Israel telah menceritakan dengan lantangnya kisah kezaliman tentera Israel: betapa puntung rokok dicucuh kepada kulit manusia, lima orang muda ditembak mati di khalayak ramai, penimbusan mayat yang banyak bergelimpangan dengan menggunakan jentolak sahaja.

Sambil duduk menceritakan pengalamannya semalam, Atra Nijmi merenung beberapa muka wartawan dan menitiskan airmatanya. Perkataan yang keluar dari mulutnya jelas dan pantas sahaja: “Mereka musnahkan rumah, membunuh kanak-kanak dan budak-budak lelaki,” katanya, dan perkataan “mereka” itu dimaksudkannya askar Israel.

“Tidak ada air, ataupun apa benda untuk membasuh pakaian,” kata beliau. Pesawat pengebom menyerang kami siang dan malam.”

Walaupun askar Israel berundur kelmarin daripada 24 perkampungan di Tebing Barat, mereka masih bertahan di pusat yang penuh manusia dalam usaha membasmi “akar-umbi keganasan.”

Dalam pertemuan hari ini di Israel, Setiausaha Negara Colin Powell dijangka akan mendesak perdana menteri Ariel Sharon untuk berundur, tetapi Sharon sudah bertegas bahawa operasi ketenteraan itu akan diteruskan sehingga kerajaan puas hati ia dapat diselesaikan.

Pihak Israel memang memperakui betapa mereka menghadapi tentangan yang hebat di khemah pelarian Jenin – ratusan pejuang bersenjata yang menggunakan raifel, bom tangan, jerangkap samar dan dalam satu peristiwa seorang pengebom relamati, menunggu ketibaan askar Israel. Tetapi jurucakap Israel telah bertegas menafikan adanya pembunuhan beramai-ramai warga Palestin di situ.

Pagi semalam tentera Israel mengumumkan penyerahan diri tiga dozen pejuang Palestin di khemah pelarian itu, dalam usaha menonjolkan kekuasaan Israel ke atas kawasan itu. (pejuang yang menyerah diri telah dibunuh dengan kejam oleh tentera itu akhirnya – penterjemah)

Pegawai Israel berkata askar mereka telah berhati-hati dengan kehadiran orang awam. Brig. Gen Ron Kitrey , ketua jurucakap tentera Israel telah mengeluarkan arahan agar askar Israel tidak menggunakan peluru mereka apabila berdepan dengan orang awam.

Gen Kitrey menambah betapa militant Palestin “sengaja memilih kawasan yang sesak dengan orang awam” untuk memerangi askar Israel. Tetapi orang awam yang lari dari khemah pelarian itu menyatakan betapa askar Israel sengaja mengganas dalam satu peperangan keganasan yang disebut oleh ketua mereka.

Memang tidak dapat disahkan laporan yang keluar daripada khemah pelarian Jenin, kerana askar Israel terus menghalang wartawan asing di kawasan itu, dan juga di banyak kawasan di Tebing Barat. Semalam ramai wartawan yang mahu memasuki Jenin telah dihalau keluar di beberapa sekatan pemeriksaan di jalanraya.

Ada wartawan yang berjaya membolosi sekatan itu telah ditangkap, dan ramai lagi yang mendapati kesukaran bertugas dalam keadaan begitu takut ditangkap ataupun didera lebih teruk lagi. Michael Keating, seorang pegawai PBB yang berjaya memasuki Bandar itu dan tidak dibenarkan memasuki khemah pelarian telah berkata melalui telefon betapa Jenin “sudah hancur lebur, lebih dahsyat dari Ramallah.”

Bandar itu merupakan pusat ekonomi dan budaya di Tebing Barat, telah diduduki oleh askar Israel sejak Mac 29. Tentera Israel telah menguasai sebahagian besar ibupejabat PA dan pejabat Yasser Arafat di Ramallah.

Mr. Keating berkata PBB dan beberapa pertubuhan amal telah menerima laporan kehadiran penduduk yang sudah diserang trauma di Jenin. Inilah gambaran yang seiras kisah yang diceritakan oleh Puan Nijmi yang lari dari perkhemahan itu pada hari Rabu dan kini berlindung di Burqin.

Nijmi berkata pasukan perjuangan Palestin telah kehilangan 200 pejuang syahid di khemah itu. Israel menganggarkan kematian hanya sekitar 100 sahaja.

Mengikut taksiran Israel, warga Palestin yang mati adalah mereka yang dibunuh kerana menentang kemaraan tentera Israel. Nijmi tidak dapat menceritakan kisah 200 yang mati itu, tetapi berkata dia bersama ramai lagi orang lain telah menyaksikan bagaimana askar Israel telah menembak mati anak=anak muda yang tidak bersenjata.

Anak-anak lelaki muda telah menyorok dalam rumah dan enggan keluar untuk disoal-siasat oleh askar Israel. Apabila mereka dikesan oleh askar itu mereka dihukum mati di situ jua. Beliau menceritakan bagaimana askar Israel telah mengheret keluar mayat Palestin itu.

Nijmi menceritakan bagaimana askar Israel telah menanam 13 mayat di kawasan hospital, lima di kawasan masjid dan antara 15-20 mayat dalam satu kubur besar yang digali oleh jentolak. Dia masih tidak tahu apa yang terjadi kepada suami dan anak lelakinya sejak mereka diheret oleh askar Israel pada 3 April lalu.

Di kampung Rummane, pelarian lelaki daripada Jenin yang telah ditahan dan dibebaskan oleh askar Israel telah menjadikan masjid tempatan sebagai tempat mereka berlindung. Amjad Khazem adalah seorang pembaik TV, telah menunjukkan kesan deraan di tangannya.

Kesan Penderaan

Dua pergelangan tangan lebam dan mempunyai kesan luka. Katga Khazem itulah kesan ikatan plastik yang menggari tangannya yang dilakukan oleh askar Israel. Ramai lagi orang bekas tahanan menceritakan bagaimana askar Israel merempuh masuk rumah kediaman mereka sambil memecahkan kelengkapan dan perabot rumah dengan menggunakan manusia rebusan sebagai perisai mereka.

Setelah ditahan pada 5 April askar Israel telah menggari Khazem, menanggalkan pakaiannya dan membiarkan dia berseluar dalam sahaja dan matanya pun ditutup. Ketika disoal-siasat berkali-kali penyiasat yahudi telah mendesak apakah dia menganggotai Hamas, yang dikatakan bertanggungjawab dengan serangan terhadap Israel. Khazem menjawab dia bukannya anggota Hamas, dan mengulangi jawaban itu berkali-kali.

Beliau dialihkan daripada satu rumah ke satu rumah yang lain dan kerap disumbat ke atas bas untuk beberapa jam tanpa sebarang makanan, air untuk diminum ataupun diberi peluang melegakan diri ke tandas. Oleh kerana kesukaran itu dia tidak ada pilihan lain kecuali kencing dalam seluar sendiri.

Ada satu ketika dalam tahanan rumah, dia telah melonggarkan ikatan matanya dan melihat seorang askar Israel mencucuh puntung rokok yang masih menyala pada badan seorang tahanan yang telah melanggar perintah untuk tidak merokok.

Setelah melepaskan Khazem pada hari Selasa, askar Israel telah membiarkannya sendirian dia satu persimpangan jalan Jenin, tanpa sepatu dan memakai seluar dalamnya sahaja. Untuk pertama kali selama empat hari itu, barulah mereka memotong plastic yang menjerut pergelangan tangannya.

SPAR