Make your own free website on Tripod.com
GELITA 14 APRIL 2002 BERJAYA

Laporan Wartawan Suara PRM


Hari ini, sambutan ulang tahun Gelita 14 April, tarikh Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara, dilaksanakan dengan jayanya di empat tempat. Sebelah pagi Pelancaran Galeri 14 dan Kempen Mogok Lapar diadakan di Dewan Perhimpunan Cina dan Pasar Seni, Kuala Lumpur, dan sebuah Forum diadakan di Pejabat Penerangan keADILan Pusat, di Shah Alam. Kira-kira masa yang sama, di Kemunting satu perhimpunan menyokong tahanan ISA yang mogok lapar telah diadakan. Sebelah malam berlangsung pula ceramah perdana menyokong mogok lapar di Markas PAS Pusat di Taman Melewar.

Di bawah ini dilaporkan secara ringkas apa yang berlaku di  Dewan Perhimpunan itu dan selanjutnya di Pasar Seni. Kami harap teman-teman yang menghadiri sambutan yang lain akan memberikan laporan mereka pula. Ini penting kerana media milik dan menyokong BN tidak akan memberikan liputan.

Sambutan di Dewan Perhimpunan ini telah bermula pada jam 10.45 pagi. Dewan kecil di tingkat atas penuh sesak dengan lebih 200 orang, dari semua kaum, lelaki dan perempuan. Di luar lebih 100 orang berpusu-pusu kerana tidak dapat masuk.  Tetamu istimewa ang hadir ialah pemogok-pemogok lapar yang telah mogok lapar empat hari di Taman Melewar, sebagai menyokong enam orang tahanan ISA yang mogok lapar di Kem Tahanan Politik Kamunting.

Setelah Low Chee Chong dari Pemuda keADILan memberi ucapan aluan,  Datuk Fadzil Noor (Presiden PAS),  Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden keADILan) dan Dr Syed Husin Ali (Presiden PRM) telah memberikan ucapan masing-masing. Mereka menyatakan penentangan terhadap ISA yang zalim dan membantah keras terhadap penahanan  tanpa bicara semua yang ditahan di bawah ISA. Seterusnya mereka  menyokong serta menyanjung khususnya pemimpin keADILan Ezam Mohd Noor, Tian Chua,  Dr Badrul Amin, Shaari Sungip dan Lokman Mohd Nor, serta aktivis reformasi  Hishamuddin Rais, yang mogok lapar kerana membantah tahanan mereka, dan juga mereka yang turut mogok lapar di luar sebagai meneruskan perjuangan teman-teman mereka yang dalam tahanan itu.

Selepas itu para pemimpin muda BA, terdiri daripada Saifuddin Nasution (keADILan), Faizal Sanusi (PRM), Hanifah Maidin (PAS) telah berucap pula. Semasa Saifuddin sedang berucap, ambulans telah sampai untuk membawa keluar pemogok lapar Gobalakrishnan yang pengsan kerana tidak makan dan minum empat hari. Selesai saja sesi ucapan ini, pelancaran Galeri Gelita 14 berlangsung. Ketiga-tiga pemimpin muda ini besama-sama memotong pita. Galeri ini mempamerkan gambar-gambar tentang perjuangan Sdr Anwar Ibahim, sebagai menyambut pecalonannya untuk Hadiah Nobel Untuk Keamanan.

Kira-kira jam 12.45 semua pemogok lapar beserta pemimpin BA dan  sebahagian besar hadirin telah berpindah ke Pasar Seni. Di sana mereka telah mengedarkan risalah mengenai mogok lapar. Tidak lama kemudian beberapa orang  pegawai polis dan pasukan FRU sampai. Salah seorang pegawai telah merampas sebungkus risalah. Beberapa orang peguam serta pemimpin BA membuat bantahan keras. Akhirnya mereka mendapat kembali sebahagian daripada risalah yang dirampas. Tindakan pegawai itu nyata sekali untuk memprovokasi.

Tidak ada apa-apa peristiwa berlaku. Pasukan polis berdiri saja memerhatikan para pemogok serta penyokong menyanyikan lagu-lagu perjuangan. Pengedaran risalah terus dijalankan di tepi pintu masuk Pasar Seni. Para pemimpin pula mula bergerak dalam Pasar Seni untuk menemui peniaga serta pelanggan, bersalaman dan berbual-bual dengan mereka, sambil mengedarkan risalah. Kemudian mereka kembali untuk menyertai pemogok lapar yang dari mula sudah lama duduk, menyanyi dan mengibarkan sepanduk di pintu masuk pasar itu.

Tepat jam 2.00 petang, kempen ini berakhir dan semua bersurai.

(Semalam, 13hb April, pengedaran risalah dijalankan di Menara Berkembar Petronas)