Make your own free website on Tripod.com

JENIN - Nama Yang Harus Dalam Kenangan
(Jenin - Remember This Word)

Oleh: Ramzy Baroud 10/4/2002.
Ketua Pengarang http://www.Palestine chronicle.com dan Presiden Independent News Agency

JENIN, inilah satu nama yang mesti diingat selalu, kerana setiap kali anda lupa akan kepercayaan terhadap perikemanusiaan, apa yang anda perlu ingat ialah nama ini. Ulangi perkataan itu selalu, ketika anda merasa murung dan berduka. Ia pasti menyuntik semangat dan tenaga yang baru. Inilah dia lambang keberanian, yang melampaui batasan putus harap dan kehampaan, keberanian yang sudah menjadi satu legenda, semakin menghampiri status metos pula. Betapa lagi kita dapat menjelaskan perkara ini apabila sebuah khemah orang pelarian yang kecil, yang tidak sampai satu kilometer persegi keluasannya terpaksa berhadapan dengan kepungan beberapa ratus kereta kebal, helikopter Apache dan ribuan pembunuh yang terlatih dan menggelar diri mereka askar kerajaan?

Khemah pelarian yang mengandungi tempat perlindungan yang berbumbungkan khemah ini telah dibina pada tahun 1953 untuk menampung kemasukan ribuan pelarian Palestin. Inilah khemah kecil penempatan manusia yang membiakkan ketahanan dan kedegilan. Ramai warga Palestin yang telah dinyah daripada perkampungan kelahiran mereka di Palestin terpaksa hidup merempat dan melarat sedangkan mereka masih mampu melihat tanah mereka yang dirampas dulu, hanya dengan berpaling ke bahagian Barat khemah pelarian itu.

Selama hampir lima dekad mereka merenung ke arah barat. Kini, apabila golongan tua keluarga mereka sudah mati, anak-anak yang dibenarkan dalam keadaan yang sungguh hina tetapi membesarkan mereka dengan penuh bangga sebagai Palestin, telah diajar untuk merenung ke Barat jua. Barat adalah bumi Palestin, tanahair mereka. Di sanalah mereka pernah mendengar cerita lama daripada nenek yang sudah semakin ganyut usia mereka betapa indahnya kehidupan di situ satu ketika dulu. Itulah kisah yang mengingatkan betapa azabnya hidup mereka di bawah penjajahan.

Tiga belas ribu pelarian berlindung di khemah pelarian Jenin, yang terletak di pinggir Jenin di Tebing Barat. Impian mereka sudah melepasi jalan yang bertar, sistem saluran najis yang berfungsi dan sekolah pendidikan yang bestari. Impian mereka menjentik semangat untuk pulang ke kampung halaman. Ramai yang masih memegang geran tanah pusaka di Palestin itu, malahan masih ramai yang menyimpan anak kunci kepada mangga pintu rumah mereka, dan kebanyakan mereka itu amat faham apa ertinya resolusi PBB nombor 194: betapa mereka punya hak untuk pulang.

Tetapi, untuk beberapa dekad, pelarian itu semuanya merempat tanpa rumah kediaman, tanpa hak, dan untuk beberapa dekad juga mereka dihina dan diaibkan tanpa ada hentinya kezaliman yang direncana. Pada tahun 1967, Israel menambah keaiban ke atas mereka lagi, apabila ia menakluki Tebing Barat dan Gaza, menjadikan pelarian itu semua tertakluk kepada penjajah ketenteraan.

Di tahun yang kebelakangan ini, penduduk golongan muda di khemah pelarian telah membesar sehingga merupakan 44 persen daripada jumlah pelarian semuanya. Tanpa banyak kemudahan, mereka mampu mencapai tahap pendidikan yang sempurna di beberapa universiti berhampiran di Bir Zeit, Baitul Laham dan Najah. Maka lahirlah satu generasi golongan muda yang berpendidikan dan kental pendiriannya setelah dibesarkan oleh suasana orang pelarian. Mereka membesar sebagai satu golongan yang tidak pernah lupa mengabaikan tugas melihat ke arah barat di mana terletaknya Palestin sehingga mereka menjadi satu generasi yang tidak pernah gusar mengangkat obor yang difaraidkan oleh satu generasi yang semakin tua. Generasi tua itulah yang mendidik mereka satu pengajaran yang paling berharga; jangan lupa tanah air kita, hak kita, kebanggaan kita dan martabat bangsa. Itulah yang mereka ingatkan selalu tanpa ada tepiannya.

Apabila jalanraya Palestin meledak oleh kemarahan gara-gara laungan mahukan kebebasan, kebangkitan itu cuma baru bermula, dan pelarian Jenin sudahpun berada di sana, memimpin himpunan manusia, melaungkan semangat juang secara lantang, mahukan keadilan, hak asasi manusia dan kemestian mahu pulang.

Israel sudah amat matang memahami apa yang dimaksudkan oleh Jenin sebagai aspirasi militan mereka, betapa khemah pelarian yang itu adalah penghalang segala usaha Israel untuk menindas bangsa Palestin; kerana penindasan begitu dianggap penting untuk meluntur dan memusnahkan semangat mereka.

Bulan Mac lalu, Israel melancarkan “Operasi Pengembaraan Warna-warni” (Operation Colorful Journey) dalam usaha mengganyang khemah pelarian Jenin dan Balata. Seperti yang disebut, ‘operasi’ itu memang penuh warna-warninya, dalam bentuk tumpahan darah di mana hampir 20 orang Palestin terbunuh dan ratusan yang tercedera di khemah pelarian itu. Banyak rumah kediaman yang musnah, namun semangat juang mereka masih kental. Pegawai Israel ada mengatakan bahawa tujuan missi mereka di Jenin adalah laksana “mencari pengganas dengan penyepit.” Itupun, penyepit bala tentera yang nombor empat terbesarnya di dunia, dan yang merupakan salah satu kuasa nuklear terbesar di dunia, tidak mampu melunturkan ketahanan jati diri Jenin. Jenin bertindak balas dengan berani, dan ketika askar Israel berundur, orang Palestin muncul di pintu rumah, membawa masuk mayat yang bergelimpangan dan melaungkan kata semangat kebebasan Palestin berulang-ulang.

Tetapi General Sharon masih tidak dapat melupakan peperangannya yang belum selesai. Balas dendam adalah mainannya, walaupun terpaksa menghalakan dendam itu ke arah penghuni khemah pelarian yang tidak berdosa, yang bertindak balas dengan senjata lama dan pisau dapur sahaja. Semasa dia mengerahkan tentera menakluki Tebing Barat dia telah menggemblengkan hampir 300 kereta kebal, ribuan askar dan banyak Apache untuk menakluki khemah pelarian Jenin.

Setakat tulisan ini disediakan, lapan hari sudah berlalu di mana pengeboman dilaksanakan bertalu-talu, pembunuhan kejam dan pembunuhan beramai-ramai sudahpun berlaku. Khemah pelarian itu tidak musnah sepenuhnya. Ratusan rumah kediaman telah dihancurkan, lubang besar untuk dijadikan kubur beramai-ramai sudahpun digali, banyak mayat telah ditanam secara tergesa-gesa, manusia telah tertanam di bawah runtuhan kediaman mereka, tetapi khemah pelarian itu masih tegak dengan gagahnya.

Kerana rimas dengan saiz kecil khemah yang daif itu, kereta kebal Israel telah merempuh apa saja, rumah kediaman dan masjid menjadi mangsa kegilaan mereka, untuk membolehkan satu medan perang baru dibuka memudahkan usaha berdepan dengan pelarian yang masih kental semangatnya; sambil melihatkan khemah itu masih berdiri gagah menantikan serangan mereka.

Ketua tentera Israel, Shaul Mofaz, yang menerima keaiban kerana kesilapannya, telah menerajui ‘operasi’ itu sendiri untuk melancarkan pembunuhan ganas, sambil seluruh dunia diam terpaku untuk menunggu, menantikan berita bagaimana pelarian Palestin memerangi kereta kebal dan Apache yang menyerang tanpa henti.

Lebih lima puluh (50) peluru berpandu dihalakan ke arah khemah pelarian itu dalam jangkamasa satu jam, sehingga ratusan penghuninya tertimbus di bawah runtuhan, banyak mayat bergelimpangan di jalanraya. Askar Israel telah melancarkan pengeboman yang bersistem pada keseluruhan khemah itu, sambil mangsa yang mengalami pendarahan merana menanti kematian, tanpa ada bantuan perubatan. Hanya raungan kaum ibu yang meratapi penderitaan mereka sehinggalah nyawa berpisah dari jasadnya. Dengan peralatan yang amat daif khemah pelarian yang kecil itu bukan sahaja telah menentang serangan, tetapi mampu mengenakan balasan terhadap askar yang menggila yang sebelum itu berlagak angkuh betapa mereka amat perkasa.

Dari bahagian pedalaman khemah itu, dengan menggunakan satu telefon bimbit yang semakin daif kekuatan baterinya, seorang pejuang Palestin telah menghubungi TV Al-Jazeera. “Saya cuma mahu mengingatkan seluruh dunia yang begitu berbangga itu, agar tidak runsing sangat, kami sedang bertahan dan akan terus berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir.” Di bahagian belakang, satu bangsa yang tinggi martabatnya sedang mendengar apa yang dituturkan oleh pejuang tadi, sambil berfikir sama apakah dunia masih mendengar ataupun prihatin dengan perjuangan mereka. Mereka menjerit dalam satu suara untuk kebebasan dan kemerdekaan Palestin. Sejurus itu bateri telefon itu pun pupus, mungkin tidak akan dicas semula.

Pada waktunya artikel ini diterbitkan, mungkin khemah pelarian Jenin sudah pun disodok oleh jentolak, di mana ratusan nyawa lagi sudah terkorban. Mungkin juga pertempuran itu masih berlarutan. Tetapi, yang pasti, pelarian khemah Jenin tidak akan mudah dipujuk-rayu untuk melupakan perjuangan mereka untuk bebas. Mereka pasti akan bangkit untuk melawan semula.

Israel masih lagi tidak dapat mengerti bahawa segala kecanggihan senjata perang yang dibikin oleh Amerika yang mereka gunakan terhadap penghuni khemah pelarian Jenin tidak akan berupaya mendesak mereka menggugurkan hak untuk berjuang mempertahankan maruah diri. Mereka tidak akan berhenti berpaling ke arah Barat, di mana letaknya tanah pusaka mereka dan tersimpannya martabat bangsa, kerana itulah tanahnya yang menjadi kunci rahsia yang menarik semangat orang Palestin untuk pulang semula.

SPAR. 14/4/02.