Kalau Aku Jadi Perdana Menteri

Patut Aku Sudah Lama Bersara

Dalam situasi pengaruh, prestasi dan kepimpinan yang
sudah merosot. Tidak lagi mendapat sokongan rakyat
terbanyak kecuali barua-barua, pengampu-pengampu dan
pengemis-pengemis politik  yang sudah kehilangan
maruah diri mereka yang masih setia mengelilingi
pinggang rapuh seorang PieM yang nyanyuk ketuaan usia
dipenghujung senja kegelapan...

Rakyat terbanyak pula sudah tergaru-garu hati menuntut
supaya aku letak jawatan dan lepaskan jawatan yang
tidak lagi boleh aku angkat. Para intelek, cerdik
pandai dan generasi muda bangsa  pula sudah lama
memberikan isyarat lampu merah agar aku undur diri dan
menyerahkan jawatan penting itu kepada rakyat yang
lebih berwibawa dan berkemampuan.

Pilihan Aku Bila Aku Bersara?

Rakan, kawan, sahabat dan juga lawan pun sudah
memberikan isyarat penuh kehalusan agar aku berundur
secara terhormat, ketika nama ku masih harum mewangi
menyegar ke seluruh pelusuk tanah air ku yang tercinta
Malaysia yang damai, sentosa dan aman permai. Malah
seantero dunia kenal tentang aku seorang PM Malaysia
yang banyak mengangkat nama negara, mengharumkan nama
negara di persada dunia antarabangsa. Kalau aku adalah
Perdana Menteri Malaysia pada saat dan ketika itu,
dalam masa yang sama penganti atau generasi pimpinan
pelapis sudah tersedia dan bersedia untuk menggalas
pimpinan Malaysia di persada dunia yang lebih
berwibawa daripada aku. Pasti aku tidak akan menunggu
lama, aku dengan hati rela berundur dan menyerah
seikhlas dan seputih hati teraju negara kepada
pimpinan baru yang lebih hebat, gagah, berkarisma,
berwibawa dan dihormati serta disegani kawan juga
lawan, tidak lain dan tidak bukan calon pengganti ku
ialah calon pilihan rakyat yang juga menjadi Calon
Anugerah Keamanan Nobel 2002, iaitu DS Anwar Ibrahim.

Aku Mesti Bersara

Kenapa aku bersara dari jawatan PM, padahal aku masih
boleh berkuasa penuh setelah berbelas tahun jadi PM,
semua institusi dalam negara ini sudah seperti kerbau
yang dicocok hidung. Apa yang ku cakap semua orang
ikut lebih-lebih lagi barua-barua, pengampu-pengampu
aku dan politikus yang miskin jiwa, miskin harga diri,
 miskin harta dan miskin segala-galanya. Aku terus
mahu bersara dari politik, kerana aku takut lebih lama
aku berkuasa memegang jawatan PM akan lebih teruk lagi
cara dan gaya kepimpinan aku yang semakin rakus,
tamak, lupa diri, tambah angkuh, gila kuasa, gila
harta, gila nama dan gila segila-gilanya..

Ini yang aku takut. Takut menerima bala siksaan Allah
yang teramat berat di hari akhirat kelak akibat
menjadi pemimpin ikut nafsu serakah dan ikut kuasa
yang aku miliki selama berbelas dan berpuluh tahun
jadi Perdana Menteri. Aku jadi PM yang lupa daratan,
lupa ajaran Islam dan lupa akhirat. Yang aku ingat
hanyalah keasyikan aku dengan pangkat kuasa, pujaan
orang dikeliling pinggang aku, akulah hebat, paling
terbaik di negara aku dan juga paling lama menjadi PM
bagi negara aku. Aku benar-benar lupa siapa aku
sebenarnya. Padahal aku memiliki segala kelemahan yang
aku tidak sedar bahawa aku sudah terlajak jauh
dipersimpangan kebatilan. Aku lupa kata-kata pemimpin
yang baik itu sebagaimana pernah diucapkan oleh ramai
pemimpin Islam dahulu kala ditika mereka memegang
tampuk kuasa. Mereka selalu ingatkan diri mereka di
depan rakyat mereka 'taatlah kepada aku selama aku
taat kepada Allah dan rasul-Nya...betulkanlah
kesilapan aku...sekiranya tidak taat kepada Allah dan
rasul-Nya jangan taat lagi pada ku'. Tetapi aku sudah
terlajak perahu...

Persaraanku Bukan Masanya

Aku sebagai PM yang telah banyak membawa kemudaratan
kepada rakyat dalam kemajuan yang tidak merata dan aku
juga terlalu banyak bertindak zalim kepada penegur dan
lawan-lawan politik ku yang mahu merebut kuasa politik
yang sedang aku rangkul sekuat-kuatnya sekarang.
Padahal, aku sedar tentangan mereka kepada adalah
kerana kesalahan ku dalam kepimpinan ku yang zalim,
tidak adil, banyak merosakkan sistem negara ini dari
sistem ekonomi, pembangunan, kehakiman, sosial,
pendidikan dan banyak lagi. Rakyat tahu selama aku
jadi PM banyak pembangunan dan pembaharuan tetapi
hanya mengenyangkan beberapa kerat korporat, tauke dan
kroni-kroni aku. Sedang rakyat hanya melihat kemajuan
itu dari jauh, merasai pada pandangan mata dan tidak
merasai pada hakikatnya kecuali sedikit sahaja.

Aku dan seluruh barua-barua, pengampu, korporat
bikinan yang bankrup, tauke dan kroni-kroni, juga anak
bini ipar duai aku hari-hari membilang RM juta-juta,
makan minum yang enak-enak belaka di mana saja pusat
penranginan, hotel 5, 6, 10 bintang, aku pula
bersemayam tinggal di mahligai yang tiada taranya di
dunia dengan kos perbelanjaan ratusan juta wang
rakyat, bulan-bulan aku keluar negara berjumpa
pemimpin dunia bersama pengiring, barua-barua,
pengampu dan korporat atau tauke yang hanya nampak di
atas bintang di langit, tak pernah melihat ke bawah
binatang yang melata di permukaan bumi, dalam segala
kemewahan itu... tapi rakyat yang aku menjadi PM terus
menderita ada lagi yang miskin tidak berumah, tidak
cukup makan, tidak bersekolah, tidak...tidak ada
apa-apa untuk dimakan melainkan menjadi pengemis
jalanan, menjadi setinggan dan menderita dalam negara
yang dipimpin oleh aku sebagai PM.

Padahal, sudah berbelas dan berpuluhan tahun aku jadi
PM sekadar mencatat rekod PM yang terlama, tetapi
hakikatnya aku masih tidak membahagiakan rakyat yang
ku pimpin selama itu. Sebaliknya, ada PM yang menjadi
PM hanya beberapa tahun tapi telah banyak memberikan
kesenangan, kemudahan dan pembangunan untuk rakyat dan
negara aku. Itulah beza aku sebagai PM dengan PM yang
telah aku ganti itu.

Aku Seorang PM Yang Terlambat Menyesal

Sekarang aku menyesali kePeiManku selama ini hanya
nampak hebat pada nama...bangunan besar, mega, tinggi
melangit, mahligai besar, megah, projek
mega-mega...tetapi rakyat aku yang terbanyak tidak
dapat menikmati kesemuanya.

Kalaulah aku sedar lebih awal tentu aku tidak macam
sekarang. Dipandang serong oleh rakyat yang ku pimpin
selama ini. Inilah salah aku...aku ingin bersara
politik tapi aku malu semalu-malunya, aku ingin turun
dari takhta kerusi PM itu tetapi terasa berat untuk ku
tinggalkan. Kerana aku sudah gila...gila pangkat, gila
harta, gila kuasa, gila nama, gila pujaan, gila
mengkayakan barua-barua aku yang masih taat setia pada
aku, walaupun rakyat terbanyak benar-benar telah
membenci aku.

Aku benar-benar menyesal seribu sesal.....sekarang aku
bersara tidak mahu lagi jadi PM, tidak mahu lagi ambil
pusing bab politik...tapi kehormatan aku sudah lama
hilang kerana sikap, salah dan silap aku sendiri.
Kalau aku bersara sejak dulu lagi tidak aku derita
mecam ini. Aku rasa orang yang aku penjara lebih
bahagia hidupnya dipenjara daripada aku yang bersara
penuh dengan pangkat, nama, harta dan kroni yang
barua-barua itu...barua-barua aku sudah lupakan aku,
aku sudah kehilangan segala-galanya. Kembali aku
menyesal kalau aku tahu begini nasib aku biar aku mati
dalam kerusi PM itu. Tapi derita aku tiada siapa yang
tahu...

Aku bukan lagi PM...aku bukan lagi PM...aku sudah
bersara buat selama-lamanya. Tetapi bersaranya aku,
terasa lebih derita ku rasakan, walaupun dihujung
kuasa aku sebagai PM dulu pun cukup derita untuk
melepaskan kerusi PM itu. Kini derita itu lebih
dahsyat...kerana salah aku selama menjadi pemimpin
bernama PM.

Jangan ada lagi yang ikut macam aku jadi PM. Cukuplah
aku yang menerima derita itu!!!

Ibn Sabah,
13.4.2002M.